Cara Ganti Puasa Yang Ditinggalkan Bertahun Lamanya

Soalan

Saya ingin bertanya soal gantian puasa yang telah ditinggalkan bertahun lama sehingga tidak ingat berapa hari yang ditinggalkan setiap tahun. Puasa ditinggalkan dari tahun 2008 dan tidak pernah diganti sehingga 2020. Bagaimana caranya untuk saya melunaskan puasa ganti ini? 

Penjelasan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Ibadah puasa pada bulan Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam yang difardukan ke atas setiap umat Islam. Perkara ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadis riwayat daripada Ibnu ‘Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Dibina Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadhan.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian puasa Ramadhan ini adalah perkara utama di dalam Islam. Ia tidak boleh ditinggalkan sekiranya tidak ada sebarang keuzuran yang diharuskan syarak. Imam Ibn Hajar al-Haithami menyebutkan bahawa betapa besarnya kesalahan meninggalkan puasa dengan sengaja terutamanya di bulan Ramadhan. Hal ini jelas seperti yang disebutkan beliau:

الْكَبِيرَةُ الْأَرْبَعُونَ وَالْحَادِيَةُ وَالْأَرْبَعُونَ بَعْدَ الْمِائَةِ: تَرْكُ صَوْمِ يَوْمٍ مِنْ أَيَّامِ رَمَضَانَ، وَالْإِفْطَارُ فِيهِ بِجِمَاعٍ أَوْ غَيْرِهِ بِغَيْرِ عُذْرٍ مِنْ نَحْوِ مَرَضٍ أَوْ سَفَرٍ

Maksud: “Dosa besar yang ke 140 dan 141, meninggalkan puasa pada salah satu hari daripada hari-hari dalam bulan Ramadhan, dan berbuka puasa padanya dengan persetubuhan atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau bermusafir.” (Lihat al-Zawajir. Jld.1, hlm.323).

Namun begitu, syariat Islam masih memberikan peluang kepada umatnya yang telah terlanjur meninggalkan puasa dengan sengaja dan mempunyai kesedaran untuk bertaubat kepada Allah SWT. Maka, para fuqaha’ membahaskan hal ini di dalam perbahasan bab mengqada’ puasa bagi mereka yang meninggalkan puasa secara sengaja.

Kesalahan berbuka dengan sengaja ini sangat berat sehinggakan mazhab Imam Malik dan mazhab Imam Abu Hanifah mewajibkan kafarah dan qada’ kepada orang yang makan dan minum secara sengaja pada bulan Ramadhan.

Mazhab Imam al-Syafie dan Mazhab Imam Ahmad pula berpandangan orang yang meninggalkan puasa dengan makan atau minum secara sengaja tidak dikenakan kafarah, kerana kafarah hanya khusus kepada orang yang melakukan persetubuhan pada siang hari dalam bulan Ramadhan sahaja. Namun kedua mereka seiring bahawa puasa tetap wajib diqada’ kan. (Lihat Mausuah al-Fiqhiyah, jld.28, hlm.60).

Perkara ini turut dinyatakan oleh para fuqaha’ kontemporari berkaitan hukum bagi orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, atau melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan puasa terbatal selain daripada persetubuhan di siang hari. Antaranya sebagaimana yang disebutkan oleh Sheikh Muhammad al-Zuhaili:

من أفطر في رمضان بغير جماع، بأن أكل أو شرب، أو استعط، أو باشر فيما دون الفرج فأنزل، أو استمني فأنزل، وكان يمكنه الصوم، وجب عليه قضاؤه قبل حلول شهر رمضان من العام الذي يليه،

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa ketika Ramadhan selain daripada jima’ dengan makan atau minum, atau memasukkan sesuatu (cecair atau ubat) ke dalam hidung, atau bersentuhan selain pada kemaluan kemudian terkeluar mani, atau melakukan onani, kemudian keluar mani. (Ketika melakukan semua perbuatan ini) dia berkemampuan untuk berpuasa, maka wajib qada’, sebelum masuk bulan Ramadhan tahun seterusnya. (Lihat al-Mu’tamad, jld.2, hlm.200).

Kewajipan Menqadakan Puasa Dan Membayar Fidyah

Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan atas sebab-sebab tertentu, hukumnya adalah harus namun begitu dia wajib mengqadakan puasanya itu mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. 

Firman Allah SWT:

وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”

(Surah al-Baqarah, 2:185)

Di sebalik ayat tersebut dapat difahami bahawa sesiapa yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, dia telah berdosa bahkan wajib mengqadakannya (menggantikannya) sebagaimana sabda Nabi SAW:

منِ استقاءَ فعليهِ القضاءُ

Maksudnya: “Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah mengqadanya”

(Riwayat Ibnu Majah)

Hal ini kerana mereka yang meninggalkan puasa disebabkan keuzuran (yang diharuskan) seperti sakit dan musafir pun diwajibkan ke atas mereka menggantikannya semula. Maka adalah lebih utama (min bab al-Aula) bagi mereka yang sengaja berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran. Begitu juga, mereka perlu menahan diri daripada makan dan minum (selepas berbuka dengan sengaja) sehinggalah waktu berbuka serta wajib mengqadanya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. (Lihat : al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jld.2, hlm.200)

Jika seseorang itu cuai dan tidak mengqadanya sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, dia berdosa dan wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang dilangkaunya.

Perkara ini adalah berdasarkan kepada athar daripada Ibnu Abbas RA, Ibnu Umar RA dan Abu Hurairah RA bahawasanya mereka telah berkata:

فيمَنْ عليهِ صومٌ فَلم يَصُمْهُ حتّى أدركهُ رمضانُ آخَرُ، يُطعِمُ عنِ الأوَّلِ

Maksudnya: “Sesiapa yang ada puasa ganti, tetapi dia tidak menggantikannya lagi sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, hendaklah dia beri makan (fidyah) bagi yang awal (Ramadhan yang lepas)”. [Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa athar-athar ini telah diriwayatkan oleh al-Darqutni dengan sanad yang sahih]

Secupak bersamaan seraup atau (1 1/3) kati Baghdad, iaitu kira-kira 650 gram. Orang yang sakit berterusan hingga masuk bulan Ramadhan yang lain, dia wajib mengqada’ puasanya sahaja tanpa membayar fidyah. Orang yang meninggal dunia sebelum mampu mengqada’ puasanya tidak berdosa dan puasanya tidak perlu diganti disebabkan bukan kecuaiannya. Sementara orang yang meninggal dunia sebelum mengqada’ puasanya, sedangkan dia mampu melakukannya, walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Maksud wali dalam perkara ini ialah saudara-mara si mati. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, jld.2, hlm.92 dan al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jld.2, hlm.200)

Ini berdasarkan hadis, daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: Barang siapa yang mati sedangkan ke atasnya ada puasa (yang perlu diqadakan) maka walinya berpuasa bagi pihaknya.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Ibn Abbas RA, beliau menceritakan:

جاء رجلٌ إلى النبيِّ صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسولَ اللهِ إن أمي ماتتْ وعليها صومُ شهرٍ، أفأقضِيه عنها؟ قال: نعم، قال: فديْنُ اللهِ أحقُّ أن يُقْضَى

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku sudah wafat dan ke atasnya ada sebulan puasa yang perlu diqada, bolehkah aku menunaikannya bagi pihak beliau? Berkata Baginda SAW: Boleh. Adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wali bererti kaum kerabat dan keluarga. Perlu diperhatikan bahawa fidyah hanya wajib dibayar jika seseorang yang meninggal sebelum sempat mengqadakan puasanya sedangkan dia mampu untuk berbuat sedemikian ketika hidup.

Kiraan Fidyah Semasa

Kiraan fidyah semasa perlu berpandukan kepada negeri masing-masing. Sebagai contohnya, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah menetapkan bahawa kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad). 1 gantang Baghdad bersamaan 2.60 kg, dan satu cupak bersamaan 650gram (satu cupak dinilai bersamaan ¼ daripada 1 gantang Baghdad). Harga beras bagi sukatan adalah mengikut harga pasaran semasa. Sebagai contoh, harga zakat fitrah tahun 1444H bagi satu gantang beras adalah RM7.00, Oleh itu 1 cupak (650gram) beras bagi tahun 1444H adalah RM1.75. Selangor RM2.00, Wilayah Persekutuan RM4.00, Perlis RM5.00 dan seterusnya.

Formula Kiraan :

(Hari yang ditinggalkan) x (Tahun gandaan) x (1 Cupak) = FIDYAH

Contoh :

Jika seseorang di Pulau Pinang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:

RM 1.75 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM 15.75.

Seseorang di Selangor meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:

RM 2.00 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM 18.00.

Catatan: Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat manakala pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk).

Kesimpulannya :

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan, setelah diteliti pandangan para ulama mazhab Syafie, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

  • Sesiapa yang telah meninggalkan puasa wajib dengan sengaja ataupun tidak sengaja hendaklah mengqadanya (menggantikannya) semula mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan, sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.
  • Sekiranya dia tidak mengqadanya sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya maka wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang telah dilangkaunya.
  • Sekiranya dia tidak pasti atau tidak ingat bilangan hari yang telah ditinggalkan, kiralah bilangan hari itu mengikut anggaran bilangan hari yang telah ditinggalkan berdasarkan sangkaannya (kecenderungan) yang paling kuat dan Ahwat (lebih berhati-hati). Contohnya: Dia tidak tahu berapa hari dia telah tinggalkan puasa, tapi dia rasa tidak lebih dua minggu. Jadi gantilah sebanyak dua minggu kerana itu yang diyakini (pasti) dan lebih berhati-hati. Kalau dia meninggalkan puasa sebulan Ramadhan maka ambillah kiraan 30 hari yang lebih diyakini. Begitulah juga halnya dengan fidyah bagi bulan-bulan Ramadhan yang telah dilangkau.
  • Boleh juga membuat kiraan asas dengan menggunakan kalkulator fidyah

Kami juga menasihatkan agar memperbanyakkan doa dan jangan pernah berputus asa daripada memohon keampunan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan, Allah SWT menerima taubat kita dan seterusnya menjadikan kita Muslim yang lebih baik lagi. Kami akhiri dengan firman Allah SWT :

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡهَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرٗا كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآۚ

Maksudnya:

 “Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami”

(Surah al-Baqarah 2:286)

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑