Perkataan rezeki berasal daripada perkataan Arab dengan kata dasarnya razaqa, yarzuqu, rizqan. (Abd al-Baqi t.th). Perkataan ini telah dijadikan sebagai satu istilah dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu dan ditakrifkan segala sesuatu yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk keperluan rohani dan jasmani seperti makanan, ilmu dan sebagainya; pendapatan, penghasilan, pencarian (wang dan lain-lain untuk sara hidup); peluang untuk beroleh makanan dan lain-lain, keuntungan, perolehan. (Kamus Dewan Edisi Keempat). Rezeki juga boleh disinonimkan dengan nafkah, mata pencarian, periuk nasi, pendapatan, perolehan gaji, upah, keuntungan, laba, elaun, komisen, dividen, bonus atau ganjaran hasil. (Kamus Dewan Edisi Keempat).
Setiap manusia telah ditetapkan rezeki, jodoh dan kematian yang menjadi rahsia Allah SWT. Sebagai manusia, kita perlu berusaha untuk mendapatkan rezeki tersebut di samping berdoa dan menyerahkan takdir ketentuan hanya kepada Allah SWT. Janganlah menyalahkan takdir Allah SWT sekiranya tidak mendapat apa yang diingini. Sebaliknya tanyalah kepada diri sendiri sejauh mana usaha yang dilakukan untuk memperoleh rezeki daripada-Nya. Ini berdasarkan kepada Firman Allah SWT:
وَمَا مِن دَآبَّةٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّۭ فِى كِتَـٰبٍۢ مُّبِينٍۢ (٦)
Maksudnya: “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya, dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”
(Surah Hud 11:6)
Pemahaman dan pengajaran dalam Surah Hud ayat 6 menyatakan bahawa rahmat Allah SWT sangat luas kepada makhluk-Nya. Setiap kelahiran dan ciptaan akan lahir bersama dengan jaminan rezeki. Bahkan, bagi mereka yang bertakwa, Allah SWT menjanjikan rezeki daripada ruang atau jalan yang tidak disangka.
Rezeki merupakan apa yang dapat dinikmati dan memberi manfaat kepada diri kita. Ianya mempunyai maksud yang cukup luas bukan semata-mata dalam bentuk fizikal seperti rumah, tanah, keuntungan perniagaan, gaji, kenderaan dan sebagainya. Bahkan turut merangkumi bentuk rohani seperti ketenangan, kejayaan, kebahagiaan, kesihatan dan seumpamanya.
Perkataan berkat yang digunakan dalam bahasa Melayu merupakan perkataan pinjaman daripada bahasa Arab iaitu barakah. Maksud perkataan barakah mengikut Kamus Dewan ialah berkenaan dengan rezeki, ilmu, amalan dan sebagainya, mendapat reda daripada Allah. Imam al-Qurtubi (t.th), iaitu seorang ulama tafsir mentakrifkan barakah sebagai “kathrat al-khayr wa ziyadatuh” iaitu banyak dan bertambahnya kebaikan.
Berdasarkan kepada maksud di atas, dapat disimpulkan bahawa rezeki yang berkat ialah rezeki yang sentiasa mencukupi dan bertambah, manakala rezeki yang tiada keberkatan ialah tidak memberikan manfaat dan membawa pemiliknya kepada kerosakan dan ketidakcukupan. Ini telah berlaku satu peristiwa di zaman Rasulullah SAW iaitu “Jabir ibn Abdullah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang kepayahan dan keperitannya memikul bebanan hutang yang dibuat oleh ayahnya yang telah syahid dalam peperangan Uhud. Lalu Baginda SAW pergi ke kebun Jabir dan berdoa agar diberikan keberkatan pada hasil mahsulnya. Selepas itu Jabir mampu membayar hutang bapanya selain dia masih memiliki lebihan daripadanya.” (Al-Bukhari 1367H)
Keberkatan dalam mendapatkan rezeki merupakan perkara penting yang perlu dititikberatkan supaya hidup kita selamat dan bahagia di dunia dan akhirat. Islam amat menggalakkan umatnya supaya keluar bekerja dan mencari rezeki yang halal bagi meneruskan kelangsungan hidup. Islam juga menganjurkan agar umatnya menikmati segala kurniaan Allah dan bersyukur di atas segala nikmat dan rezeki yang diberikan. Sebagaimana Firman Allah SWT:
فَكُلُوا۟ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا وَٱشْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ (١١٤)
Maksudnya: “Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.”
(Surah an-Nahl 16:114)
Justeru, marilah kita berusaha melaksanakan pekerjaan dengan sifat amanah, tekun dan penuh komitmen bagi mendapat keberkatan dalam kehidupan. Bekerja merupakan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara dan juga amanah Allah SWT.
Kita perlu menjauhkan diri daripada perkara-perkara negatif ketika bekerja seperti sikap malas dan bersembang perkaraperkara yang tidak berfaedah sesama rakan sekerja, sedangkan masih banyak tugasan yang belum diselesaikan.
Begitu juga dengan sikap seseorang yang mudah terpengaruh dengan gaya hidup mewah yang di luar kemampuannya akan terdedah dengan amalan menerima rasuah. Contohnya, seorang pengurus di sebuah syarikat yang melakukan penipuan berjuta-juta ringgit bukanlah terdesak untuk memenuhi keperluan asasi hidupnya, tetapi lebih kepada memenuhi tuntutan gaya hidup mewah. Sekiranya rezeki yang diterima tiada keberkatan, akan timbullah pelbagai masalah dalam kehidupan seperti ketidakharmonian dalam rumahtangga. Justeru, rezeki yang diperolehi dengan cara yang halal tanpa merugikan pihak lain akan membawa keberkatan dalam hidup dan membentuk perilaku seseorang dengan nilai-nilai yang terpuji.
Kesimpulan
Keberkatan merupakan anugerah Allah SWT kepada sesiapa yang dikehendaki dalam kalangan hamba-Nya. Dalam mencari rezeki, kita hendaklah berusaha untuk memperolehi keberkatan tersebut dengan memperbaiki amalan dan sikap kita terhadap Allah SWT, mengamalkan etika dan budaya kerja yang baik serta menjaga hubungan sesama manusia.
Umat Islam perlu memahami bahawa rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT walaupun sedikit tetapi berkat dan mencukupi adalah lebih baik berbanding dengan rezeki yang banyak tetapi sentiasa kehabisan dan tidak mendatangkan kebaikan serta tiada keberkatan.
Justeru, setiap Muslim perlu beriltizam dengan berusaha mencari rezeki bukan hanya untuk kesenangan hidup semata-mata, tetapi mesti meletakkan keutamaan untuk mendapatkan rezeki yang halal dan berkat supaya hidup sentiasa tenang, lapang dan bahagia. Kita perlu bermuhasabah dan beristiqamah setiap kali melangkah keluar dari rumah bahawa semua kerja yang dilaksanakan adalah kerana mengharap reda Allah SWT.
Di dalam Islam, pekerjaan yang dilakukan dianggap ibadah kerana semuanya akan dilihat dan dinilai di sisi Allah SWT. Semoga setiap langkah yang diatur dari mula keluar rumah pada awal pagi sehingga lewat petang akan dikira sebagai ibadah dan semoga setiap rezeki yang diperolehi mendapat keberkatan dan keredaan daripada Allah SWT.
Dr. Wan Nadzirah binti Wan Mohamad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Maqasid Syariah,
JAKIM
Leave a comment