Soalan
Adakah batal wuduk jika memegang pegang rambut berlainan jantina?
Penjelasan
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Antara perkara yang membatalkan wuduk ialah menyentuh kulit antara lelaki dan wanita ajnabi walaupun tanpa syahwat. Ini bersandarkan firman Allah SWT:
أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ
Maksudnya: “atau kamu bersentuh dengan perempuan,”
(Surah al-Maidah 5:6)
Maksud kalimah bersentuhan dalam ayat surah al-Maidah itu ialah sentuhan secara langsung kulit dengan kulit. Maksud kulit adalah selain rambut, gigi, kuku dan juga selain biji mata.
Meskipun begitu, riwayat yang menyebutkan bahawa wuduk tidak batal apabila bersentuhan dengan wanita ajnabi adalah status da’if, ‘Aisyah RA meriwayatkan bahawa:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبَّلَ بَعْضَ نِسَائِهِ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ وَلَمْ يَتَوَضَّأْ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW mencium tangan sebahagian isterinya, kemudian beliau pergi menunaikan solat tanpa berwuduk kembali.
(Riwayat al-Tarmizi)
Imam al-Tarmizi memberikan komentar bahawa hadis ini tidak dijadikan hujah kerana pada sanadnya terdapat masalah iaitu Habib bin Abi Thabit tidak mendengar hadis daripada ‘Urwah bin al-Zubair. Meskipun terdapat jalur lain iaitu Ibrahim al-Taimi meriwayatkan daripada ‘Aisyah RA namun jalur ini juga bermasalah kerana tidak dapat diketahui bahawa berlaku samaʻ(mendengar hadis) antara Ibrahim al-Taimi dan ‘Aisyah RA. Antara ulama yang berpandangan seperti ini ialah Yahya bin Saʻid al-Qattan dan al-Bukhari. Imam Ibn Hajar menyatakan bahawa al-Bukhari mendaifkan hadis ini.
Seterusnya, hakikat sentuhan kulit pada kulit mestilah tanpa ada penghalang walaupun dengan lapik yang tipis. Sentuhan yang berlapik antara ajnabi yang berlainan jantina tidak membatalkan wuduk berdasarkan kenyataan Imam Al-Nawawi dalam Majmuk:
أَنَّ الْتِقَاءَ بَشَرَتَيْ الْأَجْنَبِيِّ وَالْأَجْنَبِيَّةِ ينتقض سواء كان بشهوة وبقصد أم لا ولا ينتقص مَعَ وُجُودِ حَائِلٍ وَإِنْ كَانَ رَقِيقًا
“Menyentuh kulit ajnabi yang berlainan jantina adalah perkara yang membatalkan wuduk sama ada dengan bersyahwat atau tidak. Dan tidak membatalkan wuduk sekiranya terdapat halangan (berlapik) walaupun nipis.”
Justeru itu, wuduk akan terbatal apabila bersentuhan kulit dengan dua syarat iaitu sentuhan kulit tanpa lapik dan bersentuhan dengan ajnabi yang berlainan jantina bukan kalangan mahram.
Walau bagaimanapun, sekiranya tidak yakin apa-apa yang disentuh itu kulit ajnabi mahupun tidak, maka ia tidak membatalkan wuduk menurut mazhab Syafi’i:
ولو شك هل ما لمسه شعر أو بشرة لم ينتقض كما لو وقعت يده على بشرة لا يعلم أهي بشرة رجل أو امرأة أو شك: هل لمس محرما أو أجنبية؟
“Apabila masih ragu-ragu antara memegang rambut ataupun kulit, wuduknya tidak batal seperti tangannya menyentuh kulit yang tidak mengetahui mana satu kulit lelaki atau wanita atau ragu sama ada menyentuh mahram atau orang lain”.
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan yang dibentangkan, wuduk akan terbatal apabila bersentuhan kulit dengan syarat sentuhan langsung kulit ke kulit tanpa lapik terhadap ajnabi yang berlainan jantina. Sementara itu, gigi, rambut, kuku, biji mata bukan kategori kulit.
Wallahu A’lam
Sumber: PMWP
Leave a comment