Soalan
Berkata Syeikh Mulla Ali al-Qari Rahimahullah bagi syarah hadis ini:
قد صرح علماؤنا بأن غير المحرم أيضا عند الضرورة يحجم ويقصد ويختن وقال الطيبي – رحمه الله – : يجوز للأجنبي النظر إلى جميع بدنها للضرورة وللمعالجة
Maksudnya: “Telah dijelaskan oleh para ulama kita bahawa sekalipun bukan mahram boleh untuk menjalankan rawatan bekam, fasdu, dan khitan.” Berkata al-Taibi Rahimahullah: “Dibenarkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatkan pada sekalian tubuh wanita bagi tujuan darurat dan rawatan.”
(Rujuk Marqah al-Mafatih 3103)
Saya ingin dapatkan maklumat mengenai rawatan berbekam dan fasdu yang dikaitkan dengan Islam. Adakah sahih rawatan tersebut terdapat di dalam mana-mana kitab dan boleh dilakukan terutamanya rawatan fasdu?
Penjelasan
Bekam dalam Islam
Bekam atau dalam bahasa Arabnya الحِجامة yang diambil daripada perkataan الحجم bermaksud menyedut.
Bekam daripada segi istilah pula didefinisikan sebagai mengeluarkan darah daripada tubuh badan dengan cara membelah kulit, yang berbeza dengan al-fisadah yang melalui urat. [Lihat al-Mausu’ah al-Tibbiyyah al-Fiqhiyyah, hlm. 327]
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bekam bermaksud mengeluarkan darah kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah sedikit pada kepala atau belakang badan dan menghisap darah kotor dengan tanduk atau cawan panas yang ditelangkupkan pada tempat yang dibedah itu.
Ramai masyarakat sekarang yang menjadikan berbekam atau fasdu sebagai salah satu kaedah dan alternatif dalam merawat penyakit yang dialami atau untuk menjaga kesihatan tubuh badan.
Perubatan dengan menggunakan kaedah-kaedah ini dihukumkan sebagai sunat. Hal ini adalah berpandukan kepada beberapa hadis Nabi Muhammad SAW yang telah diriwayatkan, di antaranya;
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَفْضَلَ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ أَوْ هُوَ مِنْ أَمْثَلِ دَوَائِكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kalian gunakan adalah berbekam atau berbekam itu merupakan sebaik-baik perubatan untuk kalian”
(Sahih Muslim 1577)
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الشِّفَاءُ فِي ثَلاَثَةٍ شَرْبَةِ عَسَلٍ، وَشَرْطَةِ مِحْجَمٍ، وَكَيَّةِ نَارٍ، وَأَنْهَى أُمَّتِي عَنِ الْكَىِّ
Maksudnya: “Penyembuh itu terdapat pada tiga perkara: meminum madu, berbekam, dan al-kayy (tuaman menggunakan besi panas). Aku menegah umatku daripada al-kayy”
(Sahih Bukhari 5680)
Juga dalam riwayat lain daripada Jabir bin Abdullah, sabda Rasulullah SAW:
إِنْ كَانَ فِي شَىْءٍ مِنْ أَدْوِيَتِكُمْ خَيْرٌ فَفِي شَرْبَةِ عَسَلٍ أَوْ شَرْطَةِ مِحْجَمٍ أَوْ لَذْعَةٍ مِنْ نَارٍ، وَمَا أُحِبُّ أَنْ أَكْتَوِيَ
Maksudnya: Jika terdapat kebaikan dalam sesuatu yang menjadi ubat kepada kamu, maka ia terdapat pada meminum madu atau berbekam atau menuam menggunakan besi panas. Dan aku tidaklah menyukai perbuatan menuam menggunakan besi panas.
(Sahih Bukhari 5702)
Fasdu dalam Islam
Fasdu daripada segi bahasa bermaksud belahan urat atau pembuluh darah. [Lihat Lisan al-‘Arab]
Manakala, menurut istilah fasdu didefinisikan sebagai belahan urat dengan tujuan untuk mengeluarkan darah yang memberi memberi kemudaratan kepada tubuh badan. [Lihat al-Syarh al-Saghir ‘ala Aqrab al-Masalik ila Mazhab al-Imam Malik, jld. 4, hlm. 771]
Dr. Ahmad Muhammad Kan’an telah menjelaskan mengenai al-fisadah dalam karya beliau iaitu al-Mausu’ah al-Tibbiyyah al-Fiqhiyyah bahawa;
والفصادة وسيلة علاجية معروفة منذ القدم، وكانت تستخدم لعلاج آلام المفاصل والعضلات وكثير من الأمراض الأخرى، لأن أسباب معظم الأمراض كانت مجهولة، والوسائل العلاجية كانت محدودة جدا آنذاك، وقد فتر الاهتمام بمثل هذه الوسائل العلاجية فترة من الزمن نتيجة التقدم العلمي الواسع الذي حصل في حقول الطب المختلفة، ثم عاد الاهتمام بها مرة أخرى في العقود الأخيرة من القرن العشرين الميلادي في إطار العودة للطب بعدما ظهرت للعلماء فوائد هذا النوع من الطب في بعض الأمراض، وبعدما تفاقمت مشكلات التأثيرات الجانبية الضارة لمعظم الأدوية المركبة
Maksudnya: Al-Fisadah ini merupakan satu cara perubatan yang terkenal sejak zaman dahulu. Ia digunakan untuk merawat penyakit yang melibatkan sendi-sendi dan otot-otot serta banyak penyakit yang lain juga. Hal ini disebabkan oleh ketidaktahuan mengenai sebab penyakit-penyakit tersebut dan cara perubatan pada ketika itu adalah sangat terhad. Dan pada suatu tempoh masa, perhatian ke atas cara perubatan ini telah berkekurangan akibat daripada kemajuan saintifik yang meluas telah berlaku dalam pelbagai bidang perubatan. Namun, pada dekad terakhir abad ke-20 Masihi perhatian kembali diberikan kepadanya selepas para ulama menyedari manfaat-manfaat perubatan ini dalam merawat beberapa penyakit, dan selepas munculnya kesan sampingan yang memudaratkan hasil daripada ubat-ubat yang telah dihasilkan.
Beliau menjelaskan lagi bahawa;
وتعد الفصادة اليوم إحدى الطرق الطبية المعتبرة في علاج قصور القلب الحاد (Acute Heart Failure) المصحوب بضيق النفس(Dyspnea) وارتشاح الرئتين(Pulmonary Infiltration) وتعد الفصادة علاجا إسعافيا لا مندوحة عنه في مثل هذه الحالات، حيث يسحب (300 -500 سم مكعب الدم) من أحد الأوردة، فتتحسن الدورة الدموية، ويستعيد القلب نشاطه!
Maksudnya: Dan kini, al-fisadah dianggap sebagai salah satu kaedah perubatan yang dipertimbangkan dalam merawat kegagalan jantung akut (Acute Heart Failure), yang disertai dengan Dyspnea (sesak nafas) dan Pulmonary Infiltration (kebocoran paru-paru). Dan al-fisadah ini dijadikan sebagai rawatan kecemasan yang tidak boleh dielakkan dalam kes-kes ini, dengan cara mengeluarkan darah (300-500 mm darah) daripada salah satu urat yang menyebabkan peredaran darah menjadi lebih baik, serta mengaktifkan kembali jantung! [Lihat al-Mausu’ah al-Tibbiyyah al-Fiqhiyyah, hlm. 771]
Disebutkan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah mengenai hukum melakukan fasdu ini, iaitu;
“Diharuskan untuk membuat fasdu namun dengan syarat dilakukan oleh seorang yang mempunyai kemahiran mengenainya, kerana al-fisadah ini – menurut pendapat para pengamal perubatan merupakan suatu yang berbahaya, maka tidak boleh dilaksanakan oleh seseorang melainkan dia adalah seorang yang mahir.” [Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 32, hlm. 147]
Sebagaimana kaedah bekam, penggunaan kaedah al-fasdu ini sebagai alternatif dalam perubatan juga disandarkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW, iaitu:
الشِّفَاءُ فِي ثَلاَثَةٍ شَرْبَةِ عَسَلٍ، وَشَرْطَةِ مِحْجَمٍ، وَكَيَّةِ نَارٍ، وَأَنْهَى أُمَّتِي عَنِ الْكَىِّ
Maksudnya: Penyembuh itu terdapat pada tiga perkara: meminum madu, berbekam, dan al-kayy (tuaman menggunakan besi panas). Aku menegah umatku daripada al-kayy.
(Sahih Bukhari 5680)
Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan hadis ini mengatakan bahawa:
وذلك أن الأمراض الامتلائية تكون دموية وصفراوية وبلغمية وسوداوية، وشفاء الدموية بإخراج الدم، وإنما خص الحجم بالذكر لكثرة استعمال العرب وإلفهم له، بخلاف الفصد فإنه وإن كان في معنى الحجم لكنه لم يكن معهودا لها غالبا. على أن في التعبير بقوله ((شرطه محجم)) ما قد يتناول الفصد، وأيضا فالحجم في البلاد الحارة أنجح من الفصد، والفصد في البلاد التي ليست بحارة أنجح من الحجم.
Maksudnya: Dan begitu juga bagi penyakit disebabkan imtila’iyyah (penyumbatan/berlebihan) yang meliputi darah, jenis penyakit kuning (cairan hempedu), jenis cairan yang menyerang tekak (lendir) dan jenis penyakit hitam. Dan penyembuhan bagi pendarahan yang berlebihan adalah dengan mengeluarkan darah (darah kotor). Telah disebutkan secara khusus mengenai al-hijam (bekam) berikutan penggunaannya secara kerap oleh orang Arab serta pemahaman mereka mengenainya, berbeza dengan al-fasd yang mempunyai makna yang sama dengan al-hijam namun ghalibnya penggunaan al-fasd ini bukanlah merupakan satu kebiasaan. Walau bagaimanapun, dalam ungkapan ((شرطه محجم)) ini boleh jadi terkaitnya juga al-fasd ini, maka al-hijam ini lebih berkesan penggunaannya di negara panas, dan al-fasd ini lebih kesan penggunaannya daripada al-hijam di negara yang tidak panas.
[Lihat Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, jld. 11, hlm. 282-283]
Faedah Bekam dan Fasdu
Berbekam dan fasdu mempunyai faedah yang banyak dalam mengubati dan menyembuhkan penyakit dengan izin Allah SWT, dan faedah-faedah daripada kedua-dua alternatif perubatan tersebut telah disebutkan dalam beberapa buah kitab perubatan, dan di antaranya ialah al-Tibb al-Nabawi karya Ibn Qayyim.
Ibn Qayyim al-Jauziyah telah menerangkan dalam kitabnya dengan panjang lebar mengenai manfaat-manfaat berbekam dan fasdu; iaitu:
“Manakala manfaat-manfaat berbekam: sesungguhnya ia lebih bermanfaat untuk menyucikan permukaan badan berbanding dengan fasdu. Manakala, al-fasd lebih bermanfaat untuk mengeluarkan darah daripada bahagian dalam tubuh. Berbekam berfungsi membuang darah daripada berbagai-bagai bahagian kulit.”
“Kedua-dua kaedah ini adalah berbeza bergantung pada waktu, tempat, usia dan keadaan pesakit. Berbekam lebih bermanfaat daripada fasdu di negeri panas, cuaca panas, dan organ bersuhu panas yang mempunyai darah yang mendekati matang. Darah yang matang dan kotor akan berkumpul berhampiran kulit. Oleh itu, berbekam mengeluarkan darah itu lebih berkesan berbanding fasdu.”
“Hadis Nabi Muhammad SAW: ((Sebaik-baik perubatan bagi kamu adalah berbekam)) adalah ditujukan kepada penduduk Hijaz dan negara-negara panas: hal ini disebabkan oleh keadaan darah mereka baik dan beredar lebih dekat dengan permukaan kulit, dan pori-pori kulit mereka terbuka luas serta kekuatan mereka menjadi lemah.”
“Fasdu pula mempunyai manfaat khusus. Rawatan fasdu melalui pembuluh darah basilik (pembuluh darah besar yang terletak pada sisi dalaman lengan) bermanfaat untuk menyembuhkan panas hati, limpa, dan penyakit yang disebabkan oleh darah pada kedua-dua organ ini. Ia juga bermanfaat untuk mengatasi tumor di paru-paru, sakit perut dan pleurisy, juga bermanfaat untuk penyakit darah dari kawasan bawah lutut sehingga pinggul.”
“Rawatan fasdu melalui pembuluh darah pada kelopak mata dapat menyembuhkan penyakit yang berkaitan dengan darah dan darah kotor yang terdapat di seluruh badan. Kemudian, rawatan fasdu melalui pembuluh darah belakang boleh menyembuhkan penyakit di kepala dan leher akibat darah berlebihan atau darah kotor. Manakala, rawatan fasdu melalui pembuluh darah leher dapat memberi manfaat untuk menyembuhkan penyakit limpa, asma, rongga dada dan sakit dahi.”
“Dan berbekam di bahagian atas belakang memberi manfaat pada kesakitan di bahu dan tekak. Kemudian, berbekam pada kedua-dua belakang leher dapat memberi kesembuhan kepada penyakit-penyakit di bahagian kepala: seperti muka, gigi, telinga, mata, hidung dan tekak; sekiranya penyakit tersebut berpunca daripada darah berlebihan, darah yang kotor atau keduanya sekali.”
“Berbekam di bahagian bawah dagu dapat memberi manfaat pada sakit gigi, wajah dan jangkitan tekak sekiranya dilakukan pada waktu yang tepat; serta dapat membersihkan kepala dan rahang. Seterusnya, berbekam di bahagian atas kaki dapat menyembuhkan borok yang terdapat pada bahagian peha dan kaki, gangguan haid dan gatal-gatal pada bahagian kemaluan wanita”
“Manakala, berbekam di bahagian bawah dada pula dapat menyembuhkan jerawat serta sakit kudis pada peha, penyakit gout, buasir, penyakit gajah dan gatal pada bahagian belakang.”
(Lihat al-Tibb al-Nabawi, hlm. 41-45)
Berbalik kepada persoalan yang telah diajukan, maka berdasarkan perkongsian di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa penggunaan al-hijam dan al-fasd sebagai salah satu kaedah dalam merawat penyakit yang berkaitan adalah dibolehkan, bahkan ia merupakan salah satu sunnah kerana telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi.
Namun begitu, perlu diingatkan bahawa kaedah ini perlu dilakukan oleh seseorang yang mahir melakukannya, keadaan pesakit yang sesuai untuk menerima rawatan tersebut, di samping menjaga tatacara perubatan sama ada dari sudut kebersihan, aurat dan sebagainya seperti mana yang telah digariskan oleh Islam sepanjang proses rawatan tersebut.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.
Wallahu’aklam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment