Penulisan Ayat Al-Quran Dalam Tulisan Rumi 

Soalan

Adakah kita dibenarkan untuk menulis ayat Al-Quran dalam tulisan rumi? Mohon penjelasan.

Penjelasan

Firman Allah SWT dalam Surah Fussilat ayat 3:

كِتَـٰبٌۭ فُصِّلَتْ ءَايَـٰتُهُۥ قُرْءَانًا عَرَبِيًّۭا لِّقَوْمٍۢ يَعْلَمُونَ (٣)

“Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam Bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya”.

(Fussilat 41:3)

Para ulama sepakat mengatakan bahawa tidak dibenarkan menulis ayat Al-Quran dalam tulisan selain tulisan Arab Mushaf Uthmani. Imam Ibnu Hajar Al-Haytami menjelaskan dalam kitab Fatwanya, para ulama sepakat melarang menulis ayat Al-Quran dalam tulisan selain tulisan Arab walaupun dengan tujuan untuk mengajar.

Dakwaan yang mengatakan jika ditulis ayat Al-Quran menggunakan tulisan yang difahami oleh sesuatu masyarakat memudahkan mereka untuk belajar Al-Quran, dakwaan itu adalah sesuatu pembohongan dan tidak mengikut amalan umat Islam terdahulu.

Al-Zurqani menjelaskan dalam kitabnya ‘Manahil al-‘Irfan’, para ulama melarang menulis ayat Al-Quran menggunakan tulisan selain tulisan Arab kerana ia membuka ruang yang luas kepada penyelewengan dan perubahan makna.

Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Lujnah Fatwa Al-Azhar, berkaitan menulis ayat Al-Quran menggunakan tulisan rumi: Dilarang menulis ayat Al-Quran menggunakan tulisan rumi, walaupun dikatakan ia boleh menyamai dengan konsep tulisan Arab (iaitu menggunakan transliterasi), kerana apabila menulis ayat Al-Quran menggunakan tulisan rumi sudah pasti akan berlaku perubahan cara bacaan dan makna.

Wajib menjaga Al-Quran daripada sebarang bentuk perubahan atau penyelewengan. Selain itu jika yang dimaksudkan dengan menulis بسم الله الرحمن الرحيم itu adalah dengan menulis secara transliterasi iaitu “Bismillahirahmanirrahim” maka pada asalnya ianya tidak dibenarkan dan ianya juga tidak dikira sebagai Al-Quran. Ini kerana terdapat sebahagian huruf Bahasa Arab yang tiada di dalam huruf rumi dan ini boleh menyebabkan berlakunya kesalahan dalam bacaan yang mana boleh membawa kepada perubahan makna Al-Quran itu sendiri.1

Sekiranya disertakan sekali dengan ayat Al-Quran tersebut, maka ianya dibenarkan dalam sesetengah pendapat yang mana bertujuan untuk pembelajaran. Ini selalunya bagi memudahkan mereka yang bukan Arab untuk membaca Al-Quran namun perlulah dari semasa ke semasa untuk memperbaiki bacaan mereka agar bertepatan dengan sebutan serta makhraj. Al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya Fatwa Kontemporari turut menjelaskan perkara yang sama iaitu pada asalnya tidak dibenarkan namun dibolehkan untuk ayat Al-Quran ditulis dari selain bahasa Arab dalam konteks penulisan akademik dan juga pembelajaran.2

Sekiranya yang dimaksudkan dengan menulis بسم الله الرحمن الرحيم itu dengan terjemahannya iaitu “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang” maka ia dibenarkan dan ianya termasuk di dalam kategori terjemahan Al-Quran. Namun, terjemahan itu perlulah bertepatan dengan kaedah Bahasa Arab yang telah ditetapkan.

Kesimpulan

Kami lebih cenderung untuk mengatakan tidak boleh untuk menulis ayat Al-Quran dengan tulisan rumi untuk menutup ruang penyelewengan yang boleh berlaku dari sudut perubahan makna dan juga lafaz. Seterusnya, sudah pasti ianya juga tidak menepati tajwid dan menyalahi apa yang telah ditulis oleh para ulama’ berkenaan dengan rasm al-Quran itu sendiri.

Allah SWT telah menyebutkan berkenaan al-Quran di dalam Bahasa Arab maka begitulah juga mafhumnya tulisan hendaklah juga di dalam Bahasa Arab.

Adalah sangat perlu bagi mereka yang ingin membaca al-Quran berguru, bertalaqqi dan bersyafawi melalui tuan-tuan guru sepertimana yang dipelajari oleh nenek moyang kita secara bersilsilah sejak dahulu lagi. Ini juga melihat bagaimana para Sahabat mengambil bacaan al-Quran itu sendiri daripada Nabi SAW dan seterusnya sampai kepada kita dengan cara bersanad.

Wallahuaklam.

Rujukan

  1. Lihat Manahil al-‘Irfan oleh Syeikh al-Zurqani (2/134) yang mana beliau memetik dari Lajnah Fatwa Al-Azhar mengenai isu ini. ↩︎
  2. Fatwa Kontemporari. PTS Publication. Jilid ↩︎

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑