Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 14 – Halalnya Darah Seorang Muslim

Daripada Ibn Masud berkata, bahawa Rasulullah bersabda:

لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِى مُسْلِمٍ ، إِلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ: النَّيْبُ الزَّانِي، وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ، وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ.

Maksudnya: “Tidak halal darah seorang Muslim kecuali kerana salah satu daripada tiga perkara: Berzina, padahal dia sudah berkahwin, membunuh orang dan meninggalkan agamanya serta memisahkan diri daripada jemaah (murtad).”

(Riwayat al-Bukhari no. 6878) (Riwayat Muslim no. 1676)

Terdapat penambahan dalam Riwayat al-Bukhari dan Muslim:

… مُسْلِم يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللهِ…

Maksudnya: …Seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada yang disembah melainkan Allah dan Aku ialah utusan Allah.”

Huraian 

Dalam beberapa riwayat disebutkan:

Kalimah Satu 

Kalimah “… yang bersaksi bahawa tidak ada yang disembah melainkan Allah dan aku ialah utusan Allah” merupakan penjelasan daripada perkataan “seorang Muslim” atau orang Islam.

Kalimah Dua

“…serta memisahkan diri daripada jemaah” adalah penjelasan daripada perkataan “… yang meninggalkan agamanya.” Kalimah itu bermaksud keluar daripada Islam. Inilah yang menyebabkan darahnya dihalalkan. Yang dimaksudkan dengan kalimah “jemaah” ialah kaum Muslimin.

Kalimah Tiga

Kalimah “… dan meninggalkan agamanya” dikaitkan dengan merosakkan jemaah ialah kalimah umum yang mencakupi setiap orang yang keluar daripada agama Islam dalam bentuk apa pun, maka wajib dibunuh jika tidak mahu kembali kepada Islam.

Para ulama berkata:

“Kalimah tersebut juga mencakupi setiap orang yang menyimpang daripada kaum Muslimin dengan berbuat bidaah, merosak dan lain-lain.”

Secara tersurat, kalimah yang umum tersebut dikhususkan kepada orang yang melakukan pencerobohan terhadap hak-hak kaum Muslim.

Maka untuk mengatasi gangguannya itu, dia boleh dibunuh, kerana perbuatan seperti itu termasuk kategori merosak kaum Muslim.

Juga dapat difahami daripada hadis ini bahawa seorang Muslim tidak boleh dengan sengaja dibunuh kecuali kerana dia melakukan salah satu daripada tiga hal tersebut.

Pengajaran

1. Tidak boleh menumpahkan darah kaum Muslimin (menghukum bunuh) kecuali kerana tiga sebab: Berzina bagi orang yang telah berkahwin atau muhsan. Membunuh manusia dengan sengaja. Meninggalkan agama (murtad) dan berpisah daripada jemaah kaum Muslimin.

2. Islam sangat menjaga kehormatan, nyawa dan agama dengan menjatuhkan hukuman mati kepada mereka yang mengganggunya seperti dengan melakukan zina, pembunuhan dan murtad.

3. Sesungguhnya agama yang disepakati adalah yang dipegang oleh jemaah kaum Muslimin, maka wajib dijaga dan tidak boleh keluar daripadanya.

4. Hukum jenayah dalam Islam sangat keras. Ini bertujuan mencegah (preventive) dan melindungi. 

5. Pendidikan bagi masyarakat untuk takut kepada Allah dan selalu merasai diawasi oleh-Nya dalam keadaan tersembunyi atau terbuka.

6. Pentingnya menjaga kehormatan dan kesucian diri, keluarga dan masyarakat.

7. Ancaman bagi sesiapa yang membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah SWT.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

One thought on “Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 14 – Halalnya Darah Seorang Muslim

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑