Soalan
Untuk mereka yang melakukan rawatan dialisis, bolehkah menjamakkan solat fardhu dan meninggalkan solat Jumaat?
Penjelasan
Pesakit yang sedang menjalani rawatan dialisis dibenarkan untuk melakukan solat jamak; sama ada taqdim atau ta’khir mengikut jadual rawatan. Dia hanya boleh melakukan solat jamak semasa sesi rawatan sahaja, jika wujud kesulitan untuk mendirikan solat dalam waktunya yang asal. Pesakit hanya boleh solat jamak, tetapi tidak boleh diqasar solat tersebut. (Rujuk: Atiyyah Saqar, Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al- Ahkam, Jil. 3, Hlm. 421 – 422; JAKIM, Panduan Tayammum, Wudu’ Dan Solat Bagi Pesakit, 2005)
Qadhi Husayn seorang ulama bermazhab Syafi’i berkata, “Dibenarkan solat jamak jika terdapat keuzuran umpama takut dan sakit seperti orang musafir solat jamak, sama ada jamak taqdim atau ta’khir “. (Al-Nawawi, Al-Majmu’, Jil. 4, Hlm. 383)
Mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali Ke-14 pada 22 – 23 0ktober 1985 menyatakan bahawa dalam Islam uzur syarie adalah diertikan seperti berikut:
- Keuzuran yang di luar kuasa seseorang untuk mengatasinya seperti penyakit kronik, menghadapi hujan, ribut dan taufan.
- Keuzuran yang bersabit dengan keluarga atau saudara yang sakit tenat yang tiada harapan untuk hidup yang perlu diziarahi.
- Keuzuran berkenaan dengan berkemungkinan berlaku kerosakan bahan perusahaan yang ditinggalkan semasa menunaikan fardhu Jumaat.
Daripada kesimpulan di atas dapatlah dirumuskan bahawa menjalani rawatan penyakit-penyakit kronik seperti hemodialisis bagi pesakit buah pinggang dan seumpamanya adalah dikira uzur syarie yang di luar kuasa seseorang untuk mengatasinya.
Berdasarkan Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 Negeri Selangor, Fatwa Tentang Hukum Solat Jama’ Kerana Menjalani Rawatan Penyakit-Penyakit Kronik Di Hospital Kerajaan Dan Swasta: “Harus menjamakkan sembahyang kerana menjalani rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama. Manakala berkaitan solat Jumaat, antara syarat yang mewajibkan seseorang itu melaksanakan solat Jumaat adalah sihat. Oleh itu, orang yang sakit tidak wajib melaksanakannya, bahkan digantikan dengan solat Zohor sahaja”. (Ibnu Qudamah, Al- Mughni, Jil. 2, Hlm. 294)
Bagi pesakit yang menjalani rawatan dialisis pada hari Jumaat, maka dia termasuk dalam kategori orang sakit yang tidak diwajibkan solat Jumaat, tetapi tetap wajib melaksanakan Solat Zohor.
Namun, jika rawatan dialysis itu tidak dilakukan pada hari Jumaat dan orang itu berkemampuan untuk pergi bersolat Jumaat, maka dia wajib melaksanakannya. Jika pesakit dialisis mampu mengubah jadual rawatan kepada selain hari Jumaat, maka dia hendaklah berusaha mengubahnya kerana adalah lebih utama dia bersolat Jumaat.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Leave a comment