Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Masjid Rumah Keduaku

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ 

ٱلْمُهْتَدِينَ (١٨)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua. 

Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Masjid Rumah Keduaku.” 

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah

Masjid bermaksud tempat sujud. Dari segi istilah, satu tempat bersujud yang dibangunkan untuk melaksanakan amalan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Sujud meletakkan kedudukan manusia paling rendah di hadapan Allah SWT. Masjid merupakan tempat ibadah khusus seperti solat dan beriktikaf bagi orang beriman malah syiar dan lambang kesatuan umat Islam. Allah SWT menjelaskan bahawa orang-orang beriman adalah orang-orang yang layak untuk memakmurkan masjid-masjid Allah. Di samping itu, masjid menjadi tempat dimana seseorang hamba berada pada kedudukan yang paling akrab dengan tuhan-Nya. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 18 yang telah dibaca pada permulaan khutbah tadi yang bermaksud: 

“Hanyasanya orang-orang yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

(Al-Taubah 9:18)

Hadirin sekalian

Seperti yang kita fahami, sejak zaman Rasulullah SAW, masjid bukan terhad sebagai tempat beribadah semata-mata namun merupakan pusat kegiatan dakwah. Peranan masjid pada hari ini mencakupi pelbagai aspek seperti penganjuran program keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan seperti dalam aspek kehidupan, pendidikan, kebajikan, platform penyatuan dan perpaduan ummah dan ekonomi umat Islam. Ini termasuklah kegiatan dan aktiviti pengajaran, dakwah, program remaja, sambutan keagamaan serta motivasi kepada masyarakat untuk memakmurkan rumah Allah lima waktu sehari semalam. Apabila masjid dimakmurkan ia menjana kesan positif bagi pembinaan masyarakat madani dalam rangka membina perpaduan umat Islam. 

Hakikatnya, pada hari ini masjid dijadikan sebagai tempat perkembangan syiar Islam. Fungsi masjid bukan sekadar menjadi medan pertemuan jemaah dengan pelbagai sajian majlis ilmu malah kegiatannya dilihat semakin luas dan berkembang. 

Oleh itu, cadangan dan penghayatan menjadikan masjid sebagai rumah kedua adalah sangat releven dalam hidup kita, antaranya : 

1. Menjadikan masjid sebagai tempat pembentukan nilai kerohanian dan jati diri umat Islam.

Masjid memiliki peranan penting sebagai tempat pembentukan kerohanian dalam pelbagai aspek. Antara aspek pembinaan kerohanian yang utama di masjid adalah aspek ibadah dan bermunajat.

Masjid dilihat sebagai lokasi yang paling ampuh untuk membina kekuatan hati, jiwa dan rohani daripada sifat toksik dan tercela. Ini kerana, masjid menjadi tempat rawatan jiwa dan rohani yang terbaik bagi umat Islam. Menurut Imam al-Nawawi Rahimahullah, masjid tempat turunnya rahmat daripada Allah SWT yang bermaksud: “Masjid-Masjid adalah tempat turunnya rahmat.” 

Melihat kepada generasi salaf al-Soleh apabila menghadapi masalah, kebimbangan dan cabaran, mereka akan bergegas mencari masjid sebagai tempat perlindungan dan penyelesaian serta mengadu hal yang dihadapi kepada Yang Maha Kuasa. 

Dalam satu kisah, pada suatu hari, ketika cuaca menjadi kelam, orang bertanya kepada Anas bin Malik Radiallahuanhu: “Pernahkah tuan melihat perkara seperti ini berlaku semasa hayat Rasulullah SAW?” Dia menjawab: “Aku berlindung dengan Allah SWT. Pada masa itu kalau berlaku ribut, kami akan bersegera ke masjid takut kalau-kalau berlaku hari kiamat.” Tidak syak lagi, masjid mempunyai aura positif, keselamatan dan perdamaian. 

Di samping itu, segala kegiatan dan aktiviti di masjid dalam bentuk amalan semuanya menjurus untuk tunduk mengingati Allah SWT. Inilah kelebihan yang ada pada masjid yang tiada pada tempat lain. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Tiada seorang Muslim pun yang sentiasa menghadirkan dirinya ke masjid-masjid untuk solat dan zikir melainkan Allah gembira menyambutnya sebagaimana ahli keluarga yang bergembira menyambut saudaranya yang sudah lama menghilang.”

(Riwayat Ibnu Majah) 

2. Mendambakan masjid sebagai pusat ilmu pengetahuan, pendidikan dan pengajian agama.

Dalam menjadikan masjid sebagai pusat pendidikan dan pengajian Islam, kelas pengajian dan kuliah agama yang dijalankan bukan sekadar memenuhi aktiviti dakwah bulanan. Malah, bentuk pengajian yang disampaikan mestilah menggunakan sukatan pengajian yang lengkap mahupun berkitab bagi mewujudkan proses rantaian kesinambungan ilmu pengetahuan pada jemaah secara berkala dan konsisten. Ini bagi melahirkan umat Islam yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan berakhlak mulia. 

Selain itu, intipati kandungan pengajian dan kuliah juga perlu up-to-date dengan membahaskan isu-isu semasa yang melanda umat Islam. Ini dapat dilihat, apabila berada di masjid Rasulullah SAW selalu ingin mengetahui perkembangan semasa yang berlaku kepada sahabat-sahabat Baginda yang berada di sekitar Madinah. Adakalanya Baginda memulakan pengajian di masjid dengan menyampaikan tazkirah dan mauizah iaitu nasihat kepada para sahabat. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-‘Irbad bin Sariyah katanya yang bermaksud:

“Rasulullah SAW telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan air mata.”

(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi). 

3. Masjid dijadikan pusat komunikasi komuniti setempat.

Langkah dan usaha ini bagi menyerlahkan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai platform kepada segenap lapisan masyarakat meliputi aspek pengaruh psikologi dan spritual. Begitu juga, bagi pentadbir masjid, binalah jambatan ukhuwah agar masyarakat dan jemaah sekitar dapat memakmurkan rumah Allah dengan memperkukuhkan persaudaraan, kesefahaman, kecintaan sesama umat Islam dalam menghayati ajaran Islam serta memperhebatkan aktiviti dan program di kawasan setempat. 

Muslimin yang dikasihi Allah Sekalian

Dalam Islam, Masjid mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia. Ia merupakan tempat yang paling dicintai oleh Allah. Hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Tempat yang disukai oleh Allah adalah Masjid.”

(Riwayat Muslim)

Umat Islam perlu kembali bermuhasabah diri dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya dengan menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai ikutan terbaik. Hal ini sebagaimana sahabat-sahabat Nabi SAW menjadikan solat berjamaah di masjid sebagai rutin harian bagi menzahirkan syiar dan penyatuan umat Islam. Sahabat-sahabat nabi juga bimbang jika mereka tidak hadir untuk solat secara berjemaah akan terbit sifat munafik di dalam diri mereka. Peringatan daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahuanhu pernah berkata maksudnya: 

“Menurut pendapat kami (para sahabat) tidaklah seseorang itu tidak hadir solat berjemaah melainkan dia adalah seorang munafiq yang jelas kemunafikannya.”

(Riwayat Muslim) 

Oleh itu, setiap individu Muslim perlu menjadikan masjid sebagai rumah keduanya dengan melazimkan diri untuk hadir melaksanakan solat lima waktu dan menghadiri majlis-majlis ilmu yang dianjurkan. Memakmurkan masjid adalah salah satu tanda iman dan penyebab cinta Allah. 

Di samping itu, didik anak-anak untuk mencintai rumah Allah dengan membawa anakanak melazimi solat berjemaah pada setiap waktu yang terluang. Selain itu, jadilah hamba yang hatinya sering teringat dan terpaut kepada masjid. Terpaut dengan kemesraan dan keikhlasan jemaah, terpaut dengan pengajian dan aktiviti serta program yang dapat membugarkan hati dan jiwa serta mempunyai nilai tambah kepada ilmu dan ukhuwah.

Setiap Muslim dan masyarakat setempat harus berperanan dalam memakmurkan masjid kerana memelihara dan memakmurkan rumah Allah itu adalah bukti kita mensyukuri nikmat Allah SWT. 

Marilah kita berazam dan bertekad menjadikan masjid sebagai rumah kedua agar hidup sentiasa diberkati dan dirahmati kerana orang yang memakmurkan masjid itu adalah orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, dihapuskan kesalahannya dan diangkat darjatnya. Hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

 “Sesiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian berjalan ke salah satu rumah Allah (masjid) untuk melaksanakan kewajipan yang Allah tetapkan, maka kedua langkahnya, yang satu menghapus kesalahan dan satu lagi meninggikan darjat.”

(Riwayat Muslim) 

Hadis daripada Abu Said al-Khudri Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila kamu melihat orang yang biasa ke masjid, maka naik saksilah bahawa ia orang yang beriman.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadirin yang dikasihi Allah sekalian

Kesimpulan khutbah yang dapat kita ambil pengajarannya pada hari ini adalah: 

1. Umat Islam hendaklah menyakini bahawa masjid adalah tempat ibadat dan menjana ketakwaan. 

2. Umat Islam perlu menjadikan masjid sebagai wadah penyatuan umat Islam serta menghidupkan peranan masjid dengan segala program dan aktiviti keagamaan. 

3. umat Islam sewajarnya menjadikan masjid sebagai tempat pembentukan nilai kerohanian dan jati diri umat Islam. 

فِى بُيُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا ٱسْمُهُۥ يُسَبِّحُ لَهُۥ فِيهَا بِٱلْغُدُوِّ وَٱلْـَٔاصَالِ (٣٦)

 “(Nur hidayat petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.” 

(Surah al-Nur 24:36)

Tarikh Dibaca: 14 Rejab 1445H/26 Januari 2024M
Terbitan: Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑