أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلْمُلْكِ تُؤْتِى ٱلْمُلْكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلْمُلْكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ ۖ بِيَدِكَ ٱلْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ (٢٦)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita dibangkitkan dalam kalangan orang yang bertakwa di akhirat kelak. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang lalai seperti menggunakan telefon atau berbual-bual ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Semoga Allah SWT menerima amal ibadah kita.
Mimbar mengingatkan para jemaah sekalian, marilah kita istiqamah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau dan bersama-samalah menyemarakkan kempen “subuh macam Jumaat” yang diadakan di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan.
Semoga kita menjadi pencinta masjid dan surau serta mendapat limpahan rahmat, keampunan dan keberkatan hidup daripada Allah SWT.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Dirgahayu Tuanku, Jasa Tuanku Tersemat Di Kalbu”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Memiliki raja, sultan atau ketua negara yang bersifat adil, rahmah dan berkebajikan adalah suatu anugerah yang besar daripada Allah SWT kepada negara. Hikmah yang diperoleh rakyat ialah dapat merasai nikmat keamanan, kedamaian, keselamatan dan keadilan. Sewajarnya nikmat ini kita syukuri dan berdoa mengharap kepada Allah SWT, Tuhan Pemilik segala kerajaan, agar nikmat ini berterusan.
Sebagai muslim, kita wajib beriman bahawa urusan berkaitan kuasa pemerintahan adalah milik mutlak Allah SWT. Tiada manusia yang kekal berkuasa selamanya, sampai masanya akan berlaku perubahan tampuk kepimpinan. Sistem penggiliran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di antara sembilan Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan, menjadi bukti kekuasaan dan jawatan bukan bersifat mutlak.
Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 26 yang dibacakan tadi yang maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan. Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Ali ‘Imran 3:26)
Sebagai warganegara, kita hendaklah bersyukur kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dianugerahkan taufik dan hidayah, kudrat serta keafiatan daripada Allah SWT untuk melaksanakan amanah besar memayungi Malaysia. Selama hampir lima tahun, begitu banyak jasa dan sumbangan yang telah Baginda curahkan yang pastinya menyentuh jiwa dan sanubari kita, para rakyat jelata di seluruh pelosok negara.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut mendapat kepercayaan daripada Raja-Raja Melayu dalam memayungi negara hampir lima tahun. Nasihat dan pandangan yang dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu telah berupaya untuk membantu Baginda dalam merungkai pelbagai kemelut yang melanda negara. Semangat musyawarah Baginda dan Raja-Raja Melayu perlu terus dijunjung dan diperkasakan sebagai mekanisme semak dan imbang ke atas tadbir urus negara yang telus, demi kelangsungan hidup rakyat jelata.
Sepanjang bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia, Baginda Tuanku telah menempuh pelbagai peristiwa dan badai gelora, termasuk kemelut politik yang melanda tanah air. Terpahat dalam lipatan sejarah negara, bahawa Baginda Tuanku merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang Perdana Menteri bersama empat Jemaah Menteri yang berlainan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kita harus fahami bahawa Institusi Yang di-Pertuan Agong merupakan satu mercu tanda yang melindungi Perlembagaan Persekutuan, menjadi sumber keadilan, tonggak kestabilan dan penjaga kepada amalan demokrasi negara. Institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara menjadi tiang seri kepada perpaduan melangkaui kaum, bangsa dan agama. Ia menjadi pemusatan dan tumpuan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh Kerajaan Persekutuan, Angkatan Tentera Malaysia dan rakyat jelata sekaliannya.
Selain itu, institusi Yang di-Pertuan Agong juga berperanan menjadi pelindung kepada sekalian rakyat jelata. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seumpama obor yang sentiasa menyinari negara agar tidak tergelincir daripada acuan Perlembagaan Persekutuan, idealisme cita-cita dan harapan negara. Justeru, dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara, tidak ada lagi alasan untuk sekalian rakyat tidak patuh dan taat kepada Baginda Tuanku. Imam al-Bukhari Rahimahullah telah meriwayatkan hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radiallahuanhuma, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Mendengar dan taat adalah wajib bagi setiap individu muslim, sama ada dalam perkara yang disukai atau yang tidak disukai, selagi dia tidak diperintahkan melakukan maksiat. Jika dia diperintahkan untuk melakukan maksiat, maka tidak ada lagi (kewajipan untuk) mendengar dan tidak ada lagi (kewajipan untuk) taat.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kejayaan Baginda Tuanku bukan sahaja dalam menyelesaikan kemelut politik, tetapi juga dalam menyantuni rakyat jelata. Sering kali Baginda melaksanakan aktiviti turun padang bersama rakyat seperti aktiviti Baginda mencemar duli dalam program Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan telah berjaya mendekatkan hubungan Raja dan rakyat, dan meningkatkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.
Bahkan lebih daripada itu, Baginda Tuanku juga memberikan perhatian yang tinggi kepada kebajikan dan kesihatan rakyat. Tempoh pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda juga turut diselubungi dengan penularan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat jelata sehingga proklamasi darurat terpaksa diisytiharkan dan negara pula terpaksa menempuh perintah kawalan pergerakan.
Prihatin terhadap nasib pesakit buah pinggang yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan hemodialisis, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menubuhkan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah. Baginda Tuanku turut berkenan mencemar duli untuk merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Cheras dan Setiawangsa, Kuala Lumpur bagi kemudahan rawatan pesakit buah pinggang. Melalui penubuhan pusat hemodialisis ini, ramai pesakit buah pinggang yang tidak berkemampuan dapat diberikan rawatan dengan sebaiknya.
Di saat rakyat Palestin di Gaza menghadapi situasi peperangan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan solidariti terhadap mereka dan berkenan menyempurnakan bantuan kemanusiaan Ops Ihsan untuk rakyat Palestin di Gaza.Keprihatinan Seri Paduka Baginda berdua merupakan cerminan semangat kemanusiaan Malaysia ke atas kesengsaraan yang sedang membadai rakyat Palestin.
Dengan keberadaan kita di bulan Rejab ini, marilah seluruh jemaah dan rakyat jelata bersama-sama mendoakan agar Allah SWT melimpahkan rahmat, mengurniakan kesihatan dan keafiatan, serta memberikan taufik dan petunjuk kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin dan sultan yang berpegang teguh dengan akidah dan syariat Islam. Kita juga berdoa semoga Allah SWT memberikan kesejahteraan kepada negara kita dan mengembalikan keamanan kepada negara Palestin.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Ketua negara yang bersifat adil, rahmah dan berkebajikan adalah suatu nikmat yang besar anugerah daripada Allah SWT kepada sesuatu umat dan negara.
Kedua: Kita wajib beriman bahawa urusan berkaitan kuasa pemerintahan adalah milik mutlak Allah SWT. Tiada manusia yang kekal berkuasa selamanya.
Ketiga: Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah satu mercu tanda yang melindungi Perlembagaan Persekutuan, menjadi sumber keadilan, tonggak kestabilan dan penjaga kepada amalan demokrasi negara.
Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 58:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعًۢا بَصِيرًۭا (٥٨)
Bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
(An-Nisa’ 4:58)
Tarikh Dibaca: 14 Rejab 1445H/26 Januari 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid,Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment