Bolehkah Solat Jamak Qasar Setiap Minggu?

Soalan

Saya bertugas di Sintok, Kedah dan menetap di Arau, Perlis. Setiap minggu saya pulang ke kampung di Pulau Pinang tidak melebihi 3 hari. Bolehkah saya solat jamak dan qasar ? Kalau tak boleh, sebelum ni saya dah buat jamak dan qasar perlukah saya qadha semula semua solat tersebut?

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SWT hingga ke hari Kiamat.

Solat Musafir

Keluar musafir dari tempat kediaman adalah antara perkara yang tidak dapat dielakkan, ketika permusafiran kita akan menghadapi pelbagai kesulitan dan kepayahan. Perjalanan yang jauh bukan sahaja memerlukan perbelanjaan bahkan juga amat memenatkan, Sabda Nabi SAW;

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ العَذَابِ

Maksudnya: “Bermusafir itu satu bentuk kesulitan”.

(Sahih Bukhari No. 1084, Sahih Muslim No. 1927)

Islam yang sempurna itu datang dengan memberikan kemudahan dan menolak kesulitan daripada umatnya. Allah SWT telah mensyariatkan rukhsah (keringanan) ketika terdapat keuzuran atau kesusahan. Allah SWT berfirman:

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ

 Maksudnya: “Allah SWT menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”

(Surah al-Baqarah 2:185) 

Terdapat beberapa sebab yang membolehkan rukhsah, antaranya ialah permusafiran. Seseorang yang bermusafir mendapat beberapa keringanan antaranya berbuka puasa Ramadan, solat sunat diatas kenderaan, tidak diwajibkan solat Jumaat, mengqasarkan solat serta menjamakkannya.

Keharusan mengqasarkan solat adalah bersandarkan kepada firman Allah SWT;

وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُواْ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ

Maksudnya:” Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa memendekkan solat.”

(Surah al-Nisa’ 4:101)

Berkenaan menjamakkan solat pula, antara hadis yang menjadi sandarannya ialah hadis riwayat Ibnu Abbas RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ، وَيَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ‏.‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW menjamakkan solat Zuhur dengan Asar ketika perjalanan dan menjamakkan solat Maghrib dengan Isya’.”

(Sahih al-Bukhari: 1107)

Syarat solat Qasar ketika musafir adalah seperti berikut:

  • Solat fardu empat rakaat sahaja, memendek solat tiga rakaat dan dua rakaat adalah tidak diharuskan.
  • Perjalanan yang jaraknya 2 marhalah, jarak perjalanan sehari semalam dengan berkenderaan unta berisi muatan iaitu 81 km dan ke atas.
  • Perjalanan yang telah ditentukan tempat tujuannya. Maka orang yang bermusafir tanpa arah tujuan (ikut kaki) adalah tidak harus melakukannya.
  • Solat tersebut dilakukan ketika dalam permusafiran. Seseorang yang masih atau sudah bermukim dalam tempoh empat hari dan ke atas atau mastautin adalah tidak layak melakukannya.
  • Solat dilakukan setelah keluar dari kawasan kediaman. Permusafiran adalah dikira setelah melepasi sempadan qaryah.
  • Tahu tentang hukum keharusan solat secara qasar, adalah tidak sah mengikut imam solat qasar sedangkan makmum itu jahil tentang keharusannya.
  • Perjalanan yang diharuskan syarak, iaitu bukan bertujuan maksiat, namun dibenarkan qasar pada perjalanan yang makruh.
  • Tujuan perjalanan atas alasan yang sahih, qasar solat adalah tidak diharuskan atas alasan yang tidak sahih seperti hanya untuk bersiar siar sahaja.
  • Berniat solat qasar di dalam takbiratul ihram, sekiranya terlupa berniat qasar, solat tersebut mestilah dilaksanakan secara tamam.
  • Tidak mengikut imam yang solat tamam (4 rakaat). Sekiranya mengikut imam bersolat tamam walaupun hanya pada duduk tahiyat akhir sahaja, solat itu mestilah dilakukan secara tamam
  • Tidak melakukan perkara-perkara yang menafikan niat qasar seperti berniat untuk bermukim di tempat tersebut.

Terhenti Perjalanan

Terhenti perjalanan dan tidak boleh lagi melakukan solat secara jamak dan qasar apabila terjadi dua situasi berikut;

  1. Berniat untuk pulang semula ke tempat kediaman sedangkan jarak dari tempat itu ke kediamannya adalah kurang dari dua marhalah.
  2. Niat untuk bermukim di tempat tujuannya selama empat hari dan ke atas, tidak dikira hari ketibaan dan hari keluar dari tempat tersebut. Setibanya di tempat tujuan, solat jamak dan qasar tidak harus lagi dikerjakan. [Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 216]

Berkata Imam al-Nawawi;

أَنَّ مَذْهَبَنَا أَنَّهُ إنْ نَوَى إقَامَةِ أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ غَيْرِ يَوْمَيْ الدُّخُولِ وَالْخُرُوجِ انْقَطَعَ التَّرَخُّصُ وَإِنْ نَوَى دُونَ ذَلِكَ لَمْ يَنْقَطِعْ

Maksudnya: “Pendapat mazhab kami (Syafii) sekiranya berniat untuk bermukim di satu tempat selama empat hari dengan tidak dikira hari sampai dan hari berangkat keluar dari tempat itu, maka tidak diberikan keringanan (Rukhsah), namun sekiranya berniat untuk bermukim di situ kurang dari itu, tidaklah dikira terputus permusafiran”.

(Lihat; Majmuk Syarah al-Muhazzab jld. 4 hlm. 364)

Kesimpulan

Berpandukan keterangan di atas dapatkan disimpulkan seperti berikut;

Harus melakukan solat jamak dan qasar sepanjang perjalanan bermula setelah keluar dari sempadan qaryah dan harus juga dilakukan ketika berada di Pulau Pinang kerana berniat mukim selama tiga hari di tempat tujuan tidak memutuskan permusafiran.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑