Soalan
Benarkah terdapat kisah perdebatan antara Nabi Musa AS dengan Nabi Adam AS berkenaan dengan kelakuan Nabi Adam AS yang memakan buah larangan dan menyebabkan Baginda dikeluarkan dari syurga?
Penjelasan
Kisah Nabi Adam AS setelah terpedaya dengan godaan syaitan apabila memakan buah daripada pohon larangan lalu Allah SWT memerintahkan baginda AS dan isterinya Hawa turun ke muka Bumi. Kisah ini telah dirakamkan dalam al-Quran melalui firman-Nya:
وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّوَقُلْنَا يَـٰٓـَٔادَمُ ٱسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ ٱلْجَنَّةَ وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ(٣٥)
فَأَزَلَّهُمَا ٱلشَّيْطَـٰنُ عَنْهَا فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ ۖ وَقُلْنَا ٱهْبِطُوا۟ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّۭ ۖ وَلَكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّۭ وَمَتَـٰعٌ إِلَىٰ حِينٍۢ(٣٦)
Maksudnya: Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”. (35) Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”. (36)
(Surah al-Baqarah 2: 35-36)
Peristiwa perdebatan antara Nabi Musa AS dengan Nabi Adam AS tentang kekhilafan yang dilakukan oleh Nabi Adam AS dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
” احْتَجَّ آدَمُ وَمُوسَى فَقَالَ لَهُ مُوسَى أَنْتَ آدَمُ الَّذِي أَخْرَجَتْكَ خَطِيئَتُكَ مِنَ الْجَنَّةِ فَقَالَ لَهُ آدَمُ أَنْتَ مُوسَى الَّذِي اصْطَفَاكَ اللَّهُ بِرِسَالَتِهِ وَبِكَلاَمِهِ ثُمَّ تَلُومُنِي عَلَى أَمْرٍ قَدْ قُدِّرَ عَلَىَّ قَبْلَ أَنْ أُخْلَقَ فَحَجَّ آدَمُ مُوسَى ” .
Maksudnya: Terjadi perdebatan antara Nabi Adam dan Musa. Musa berkata: “Kamukah Adam yang dikeluarkan dari syurga atas kesalahan kamu?”. Adam berkata: “Kamukah Musa yang dipilih oleh Allah SWT dengan Risalah dan Kalam-Nya, lalu kamu mencelaku atas perkara yang telah ditentukan ke atas ku sebelum aku diciptakan?”. Maka Adam menewaskan hujah Musa
(Riwayat Muslim 2652)
Dalam hadis yang lain, Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi SAW, sabdanya:
” احْتَجَّ آدَمُ وَمُوسَى، فَقَالَ لَهُ مُوسَى يَا آدَمُ أَنْتَ أَبُونَا خَيَّبْتَنَا وَأَخْرَجْتَنَا مِنَ الْجَنَّةِ. قَالَ لَهُ آدَمُ يَا مُوسَى اصْطَفَاكَ اللَّهُ بِكَلاَمِهِ، وَخَطَّ لَكَ بِيَدِهِ، أَتَلُومُنِي عَلَى أَمْرٍ قَدَّرَ اللَّهُ عَلَىَّ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَنِي بِأَرْبَعِينَ سَنَةً. فَحَجَّ آدَمُ مُوسَى، فَحَجَّ آدَمُ مُوسَى ” ثَلاَثًا
Maksudnya: Berlaku perdebatan antara Adam dan Musa. Musa berkata: “Wahai Adam, kamu adalah bapa yang telah mengecewakan dan mengeluarkan kami dari syurga”. Adam berkata: “Wahai Musa, kamu dipilih oleh Allah SWT dengan dianugerahkan Kalam-Nya dan mendatangkan catatan wahyu dengan kekuasaan-Nya, lalu kamu mencelaku atas perkara yang telah ditakdirkan Allah SWT ke atasku empat puluh tahun sebelum Dia menciptaku. Maka seperti itu hujah Adam mengatasi hujah Musa, hujah Adam mengatasi hujah Musa. Disebut sebanyak tiga kali
(Riwayat al-Bukhari 6614)
Berhubungan hadis ini, para ulama berbeza pandangan berkenaan waktu dan masa pertemuan antara Nabi Adam AS dengan Nabi Musa AS. Sebahagian pandangan menyatakan bahawa pertemuan mereka terjadi pada zaman Nabi Musa AS dengan cara Allah SWT menghidupkan kembali Nabi Adam AS.
Menurut pendapat yang lain Allah SWT mempertemukan ruh Nabi Adam AS dengan Nabi Musa AS sepertimana Nabi Muhammad SAW dipertemukan dengan ruh para anbia pada malam Israk dan Mikraj. Selain itu, terdapat pandangan yang lain menyatakan bahawa pertemuan mereka berlaku dalam mimpi yang mana mimpi merupakan wahyu bagi para anbia. Menurut Ibn Abd al-Bar dan al-Qabisi, Nabi Musa AS dipertemukan dengan Nabi Adam AS setelah kewafatannya di alam barzakh.
Menurut Qadi ‘Iyad, peristiwa ini boleh dianggap berlaku secara nyata iaitu Nabi Musa AS dan Nabi Adam AS bertemu secara langsung. Perkara ini telah boleh dibuktikan sepertimana hadis Israk bahawa Nabi SAW bertemu dengan para nabi di langit dan Baitul Maqdis serta bersembahyang bersama mereka. Bahkan, perkara ini tidak mustahil sekiranya Allah SWT menghidupkan mereka sepertimana hidupnya para syuhada. Peristiwa pertemuan Nabi Musa AS dan Nabi Adam AS berkemungkinan berlaku pada zaman Nabi Musa AS ketika Baginda AS masih hidup dengan memohon kepada Allah SWT untuk bertemu Nabi Adam AS, lalu Allah SWT menunaikan hajat baginda dan mereka bertemu dan berdialog.
Sebagai kesimpulan, peristiwa dailog dan perdebatan antara Nabi Musa AS dengan Nabi Adam AS berlandaskan hadis Nabi SAW yang wajib diimani. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan pandangan Ibn Jauzi yang menyatakan bahawa wajib beriman ke atas peristiwa ini walaupun tidak dapat melihat bagaimana hal keadaan itu berlaku. Ini kerana hadis tersebut merupakan khabar yang sahih daripada Nabi SAW walaupun perkara tersebut tidak dapat dilihat secara hakikat seperti azab kubur serta nikmatnya, namun wajib menerimanya.
Dr. Umar Sulaiman dalam karyanya Sahih al-Qasas al-Nabawi menyimpulkan bahawa, antara ibrah yang terdapat dalam hadis perdebatan antara Musa AS dan Adam AS adalah menunjukkan tentang keharusan berdialog jika terdapat sebarang kemusykilan dalam keadaan damai dengan menyebut kelebihan antara satu sama lain. Hadis ini juga menunjukkan kewajipan beriman dengan perkara ghaib yang telah sabit dengan dalil yang sahih. Selain itu, hadis ini juga menunjukkan tentang bukti takdir masa lalu, menjelaskan kelebihan Nabi Adam AS yang diciptakan oleh Allah SWT dan para Malaikat sujud kepadanya serta kelebihan Nabi Musa AS yang dianugerahkan kepadanya Risalah dan Kalam Allah SWT. Dalam hadis ini juga menunjukkan bukti wujud kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS.
Wallahua’lam
Sumber: PMWP
Leave a comment