Adakah Rukhsah Solat Ketika Walimah?

Soalan

Bagaimanakah hendak menjaga solat semasa walimah? Kebiasaannya pengantin perempuan akan bersolek semasa walimah, jadi jika hendak solat contohnya solat zohor ketika majlis, mesti perlu tanggalkan make up terlebih dahulu untuk berwudhuk dan kemungkinan selepas solat asar akan ada sesi photoshoot dan pengantin akan make up semula. Adakah ada rukhsah yang dibenarkan dalam Islam untuk tetap menjaga solat ketika walimah contohnya, dibenarkan untuk solat zohor dan asar secara jamak/qasar atau sebagainya?

Penjelasan

وعليكم السلام ورحمة الله تعالى وبركاته

Sabda Nabi S.A.W: “Amalan yang pertama yang dihisab (Allah) atas seseorang hamba pada hari kiamat nanti ialah solat. Jika solat seseorang itu baik, baiklah pula seluruh amalannya dan begitu sebaliknya”.

(HR At-Tabrani)

Solat ialah satu ibadat yang menghubungkan hamba dengan Tuhannya yang mengandungi beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam. Solat merupakan tiang agama dan Allah mencela orang-orang yang melalaikan dan bermalas-malasan dalam menunaikan solat. Ia merupakan rukun Islam yang paling utama setelah dua kalimat syahadah. Firman Allah s.w.t:

“Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman”.

(An-Nisa’ 4:103)

Dalam urusan walimatul urus khususnya kepada pengantin perempuan atau ahli keluarga yang terlibat dalam majlis ini hendaklah memahami bahawa segala aktiviti yang dijalankan dalam urusan ini tidaklah termasuk dalam sesuatu urusan yang bersifat dharurah (kesukaran yang mendesak) sehingga wujudnya hukum rukhshah sebagai maslahah (jalan keluar) kerana tidak terdapat padanya masyaqah (kepayahan) yang terlalu mendesak sehingga boleh menyebabkan kematian atau sebagainya. 

Walimatulurus tujuannya adalah untuk mengiklankan perkahwinan pasangan pengantin kepada para jiran tetangga dan sanak saudara di samping mengharapkan doa restu daripada mereka yang hadir sebagai tetamu. Tidak sewajarnya majlis yang penuh kebaikan ini dicemari dengan perkara mungkar dan maksiat yang akan mengundang pula kemurkaan Allah SWT.

Oleh itu bagi memudahkan urusan dan mengharapkan keberkatan dalam majlis yang diadakan, ingin kami kongsikan tips bagaimana memudahkan solat ketika majlis perkahwinan atau walimatulurus yang hendak dilaksanakan;

Berwuduklah sebelum ‘make up’

Jagalah wuduk anda sebaik mungkin dan silalah tinggalkan pesanan kepada suami kesayangan anda, supaya aktiviti menyentuh dan disentuh tidak berlaku sehinggalah anda menunaikan tanggungjawab anda kepada Allah SWT terlebih dahulu.

Mulakan majlis pengantin bertemu dengan para tetamu (makan beradab) selepas masuknya waktu Zohor.

Kebiasaannya para sahabat, jiran atau saudara-mara gemar menunggu sehingga majlis tamat. Jadi, dengan mulakan majlis ini selepas zohor anda dan pasangan akan dapat menemui para tetamu selepas menunaikan solat terlebih dahulu.

Pesan kepada warga DJ dan yang mengendalikan ‘PA system’ supaya menghormati Azan yang berkumandang (Jika menggunakan khidmat ini)

Pesan kepada DJ yang bertugas P.A system supaya memasang lagu yang jenis rentak perlahan, tidak terlalu kuat dan bukanlah lagu jenis mengghairahkan seperti dangdut. Seeloknya, pasang sahaja zikir-zikir atau lagu nasyid di majlis perkahwinan anda. Jangan dicemari dengan aktiviti melalaikan. Insya-Allah, Allah berkati majlis perkahwinan anda. Minta DJ peringatkan masuknya waktu solat dan memaklumkan tempat solat disediakan/ ada masjid/surau yang berdekatan.

Sediakan ruang solat untuk tetamu yang jauh

Letakkan penunjuk arah ruang solat kepada tetamu yang jauh. Cadangkan mereka untuk bersolat terlebih dahulu sementara menunggu kedatangan pengantin.

Cari lokasi majlis yang berdekatan dengan surau/masjid

Kadang-kadang, ada juga tetamu yang tidak gemar untuk solat diruang yang kecil. Jadi, anda boleh memilih lokasi majlis anda berdekatan dengan surau atau masjid untuk memudahkan tetamu yang hadir menunaikan solat.

Tulislah di kad jemputan ‘Jemputan beragama Islam digalakkan bersolat sebelum menghadiri majlis’

Tidak salah untuk memberi peringatan kepada para tetamu supaya melakukan solat terlebih dahulu sebelum menghadiri majlis perkahwinan anda. Secara tidak langsung, tetamu anda tidak terkejar-kejar untuk menunaikan solat.

Perkahwinan yang ‘awesome’ ialah perkahwinan yang diberkati. Solatlah anda sebelum terlambat. Sesungguhnya solat itu tiang agama. 

Apa gunanya cantik, kacak dan majlis yang hebat tetapi menjadi makhluk yang angkuh dan sombong kerana tidak mahu sujud kepada Allah yang Maha Berkuasa sedangkan kita amat mengharapkan segala pertolongan daripada Yang Maha Esa dalam segenap kehidupan kita.

Wallahuaklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑