Idola Membawa Ke Neraka!

Gambaran pergaduhan, kutuk mengutuk sesama ahli neraka sememangnya dirakamkan Allah dalam alQuran. 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

قَالَ ٱدْخُلُوا۟ فِىٓ أُمَمٍۢ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِكُم مِّنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ فِى ٱلنَّارِ ۖ كُلَّمَا دَخَلَتْ أُمَّةٌۭ لَّعَنَتْ أُخْتَهَا ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا ٱدَّارَكُوا۟ فِيهَا جَمِيعًۭا قَالَتْ أُخْرَىٰهُمْ لِأُولَىٰهُمْ رَبَّنَا هَـٰٓؤُلَآءِ أَضَلُّونَا فَـَٔاتِهِمْ عَذَابًۭا ضِعْفًۭا مِّنَ ٱلنَّارِ ۖ قَالَ لِكُلٍّۢ ضِعْفٌۭ وَلَـٰكِن لَّا تَعْلَمُونَ (٣٨)

وَقَالَتْ أُولَىٰهُمْ لِأُخْرَىٰهُمْ فَمَا كَانَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍۢ فَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْسِبُونَ (٣٩)

Firman Allah SWT: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; Oleh itu, berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda daripada (azab) neraka”. Allah berfirman: “Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui (38) Dan berkatalah golongan pertama di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): “Tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami” (39).

(Al-A’raf ayat 7:38-39) 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

إِذْ تَبَرَّأَ ٱلَّذِينَ ٱتُّبِعُوا۟ مِنَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوا۟ وَرَأَوُا۟ ٱلْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ ٱلْأَسْبَابُ(١٦٦)

وَقَالَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوا۟ لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةًۭ فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّءُوا۟ مِنَّا ۗ كَذَٰلِكَ يُرِيهِمُ ٱللَّهُ أَعْمَـٰلَهُمْ حَسَرَٰتٍ عَلَيْهِمْ ۖ وَمَا هُم بِخَـٰرِجِينَ مِنَ ٱلنَّارِ(١٦٧) 

Ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat seksa, dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah orang-orang yang mengikut, “Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri daripada mereka, sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami.” Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan keluar daripada api neraka”.

(Al-Baqarah 2:166-167)

Secara ringkasnya, keji mengeji sesama ahli neraka berlaku kerana ikutan atau menjadikan seseorang sebagai idola dalam mengamalkan sesuatu amalan atau perkara yang bertentangan dengan syarak. 

Menariknya, orang yang menjadikan amalan idola ini sebagai azimat akhirnya mengutuk idolanya sendiri pada hari kiamat kerana ajaran idolanya ini menjadi lesen mereka ke neraka. Walhal memohon agar Allah menambahkan azab kepada idola mereka ini dengan sebesar-besar azab. 

Dialog lebih menarik apabila si idola ini menjawab kepada si pengikutnya dengan mengatakan “Tidak ada kelebihan kamu atas kami untuk meringankan azab kamu, atau nak melebihkan azab atas kami. Sebab kamu pun buat dosa juga. Kamu tidak kurang salahnya daripada kami. Sebab kamu ikutlah yang menyebabkan kami ni sangka kami benar dulu. Kamu sekarang pun sudah masuk neraka sama-sama dengan kami.” 

Penulis beranggapan bahawa pemilihan idola ini bermula dari keluarga. Menurut Steve Bidulph dalam bukunya “Rasing Boys” permulaan si kecil dalam memilih idola perlu melalui tiga tahap:

Peringkat pertama, pada usia kelahiran sehingga 6 tahun, ibunya adalah idola dan model bagi si kecil ini. Peringkat ini membolehkan si ibu memberi sepenuh kasih sayang dan keselamatan pada si kecil.

Peringkat kedua iaitu ketika si kecil berusia 6 sehingga 14 tahun menjadikan si ayah sebagai idola yang mampu untuk bermain, belajar kemahiran bersama sehingga si kecil ini gembira sentiasa.

Peringkat ketiga ini adalah masalah bagi si kecil kerana fasa ini iaitu ketika usia 14 sehingga remaja mereka lebih memilih idola atau mentor (orang luar) selain ibu dan ayah. 

Sekiranya si anak ini memilih idola luar yang salah maka dikhuatiri akan menjerumuskan mereka ke dalam api neraka. Sebagai contoh, idola artis Korea yang sangat diminati anak muda hari ini. Sekiranya boleh anak muda ingin mengikuti corak kehidupan dari A hingga Z daripada aspek pembedahan plastik, gaya hidup hedonisme, amalan minum arak, serta keagamaan yang jauh menyimpang dari agama Islam. 

Justeru, si ibu dan si ayah menerusi dua fasa ini perlu memberi perhatian sepenuhnya pada si kecil anda. Kadang-kadang fasa inilah si ibu dan si ayah sibuk dalam bekerja sehingga aspek pemilihan idol terbaik ketika si anak berusia 14 tahun ke atas diabaikan. 

Ya! pendidikan agama perlu, tetapi adakah berbaloi dua peringkat ini apabila si kecil di hantar ke sekolah berasrama penuh sedangkan dua fasa ini berkait rapat dengan si kecil menjadikan idola mereka ini sebagai contoh? Seolah-olah si anak hilang kepercayaan pada idola ibu dan ayah apabila mereka diabaikan pada peringkat kelahiran sehingga 14 tahun lalu mencari idola yang tidak dianjurkan dalam agama Islam.

Jika anda adalah ibu dan ayah yang bertanggungjawab, didiklah anak sehingga andalah menjadi tempat utama buat mereka meluahkan segala masalah dan idea mereka walaupun mereka sudah berusia 14 tahun ke atas.

Janganlah menjadikan mereka tercari-cari idola yang salah bahkan dikhuatiri memilih idola yang menyesatkan mereka sehingga membawa mereka ke neraka. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu”.

Dr. Mohd Zahir Abdul Rahman
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia
Majalah Cahaya, JAKIM

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑