Pada tulisan kali ini saya ingin mengajak semua remaja-remaja di luar sana untuk menghayati keimanan terhadap dekatnya hari akhirat.
Pertama: Jangan Membuang Masa Mencari Bila Berlakunya Kiamat
Seorang remaja mukmin tidak perlu mencari-mencari bila akan berlakunya hari kiamat dan menjangkakan pada tahun sekian ataupun sekian. Ini kerana terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Baginda SAW tentang dekatnya hari kiamat apabila Baginda diutuskan. (Hadis Riwayat al-Bukhari) yang ertinya: Rasulullah SAW bersabda: Diutuskan aku dan hari kiamat itu begini, baginda menunjukkan dengan dua jarinya (telunjuk dan tengah) dengan memanjangkan keduanya.
Dengan itu, secara akidahnya cukup bagi seseorang beriman untuk mengetahui dekatnya hari kiamat.
Namun soalan tentang dekatnya hari kiamat ini pernah ditanya kepada Baginda SAW secara khusus. Diriwayatkan dalam Sahih AlBukhari yang ertinya: Daripada Anas bin Malik RA berkata seorang daripada orang Badawi datang bertemu Nabi SAW, dia bertanya kepada Rasulullah SAW: “wahai Rasulullah, bilakah berlakunya hari kiamat?” Baginda Menjawab: “Hati-hati dengan soalan mu itu, apa yang kamu sediakan untuk menghadapinya (hari kiamat).”
Difahami daripada hadis ini, yang perlu difahami oleh para remaja ialah bukannya bila, tetapi apakah yang kita sediakan, walaupun dah lebih 1000 tahun lebih hari berlalu daripada Rasulullah SAW menyatakan dekatnya hari kiamat. Manusia diminta percaya dengan mepersiapkan diri untuk menghadapinya.
Kedua: Amalan Perlu Diteruskan Walau Telah Hampir Berlakunya Hari Kiamat
Baginda SAW bersabda dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari yang ertinya: Daripada Anas bin Malik RA berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Jika di ambang kiamat dan ditangan kalian benih pohon, jika dia mampu untuk menanamnya sebelum berlakunya kiamat, maka hendaklah dia menanamnya.
Ini menunjukkan perlunya amalan diteruskan walau telah hampir berlakunya hari kiamat. Bukannya kita perlu takut atau berpeluk tubuh menanti kedatangan hari kiamat. Hanya satu cara sahaja yang dapat menyelamatkan kita sekiranya tiba hari kiamat, iaitu amalan kita.
Walaupun umur kita masih remaja dan secara adatnya masih banyak masa untuk bertaubat, namun sesiapa pun tidak mampu menjamin mati tidak datang menjengah bila-bila masa tidak kira muda, tua, miskin dan kaya.
Ketiga: Yakini Bahawa Hari Kiamat Pasti Datang
Sepertimana kita semua percaya dengan yakin bahawa hari kiamat merupakan hari yang pasti datang. Janji Allah SWT hari tersebut tidak datang kecuali dalam keadaan tidak boleh dijangka bila, bagaimana ia bermula dan apakah nasib seseorang manusia ketika itu.
Allah SWT berfirman:
..لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةًۭ ۗ يَسْـَٔلُونَكَ..
Ertinya: (Hari kiamat) ianya tidak datang kecuali dalam keadaan yang manusia tidak menjangkakannya. (Al-A’raf 7: 187)
Hari kiamat akan disusuli dengan tiupan sangkakala yang pertama maka semua makhluk yang dikehendaki mati akan mati. Seterusnya tiupan kedua, maka semua yang mati akan bangkit semula.
Allah SWT berfirman:
وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا مَن شَآءَ ٱللَّهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌۭ يَنظُرُونَ (٦٨)
Maka ditiupkan sangkakala yang pertama, lalu akan mati semua yang di langit dan di bumi. Selepas itu ditiupkan yang kedua, maka mereka bangun melihat apa yang telah terjadi.
(Az-Zumar 39:68)
Saat berlakunya hari kiamat merupakan detik-detik yang menakutkan kepada manusia. Itulah pengakhiran kepada segala nilai-nilai yang manusia kejar di dunia daripada pangkat, harta, kedudukan dan lain-lain.
Oleh itu, mengejar sesuatu yang akan hancur tiada guna ibaratkan seperti seorang bayi yang bermain-main tidak dapat membezakan mana yang baik dan buruk.
Oleh itu, saya ingin mengajak semua remaja agar sentiasa mempersiapkan diri dengan amal soleh dan menjauhi segala perbuatan yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT. Sekiranya kita diberi umur yang panjang, maka banyak amalan yang dikumpulkan kerana telah melakukan amal kebaikan waktu muda. Sekiranya ajal kita telah dekat walau usia remaja, maka kita telah bertemu Allah dengan jiwa yang bersih dan suci. Wallahuallam.
Dr. Muhammad Ikram bin Abu Hassan
Bahagian Kurikulum dan Pengajaran Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Majalah Cahaya, JAKIM
Leave a comment