Konsep Makrifatullah: Pendidikan Asas Ajaran Islam 

Pendahuluan 

Perbincangan mengenai makrifatullah merupakan konsep tauhid yang penting dalam Islam. Makrifah Allah merupakan asas tauhid yang kukuh. Allah s.w.t berfirman,

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ (٥٦)

“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.” yang dimaksudkan liya’buni (untuk beribadah kepadaku) ialah liya’rifuni (untuk mengenalKu) dan liyuwahhiduni (untuk mentauhidkanKu).

(Al-Quran, al-Dhariyat 51: 56) 

Pengertian ini yang mengandungi makna tauhid dan ketaatan Ibadat selari dengan peranan manusia diciptakan sebagai khalifah dan Hamba Allah untuk mentaatiNya dengan paksi tauhid yang bersendikan perlaksanaan shariat dengan hati yang ikhlas kepadaNya. 

Konsep Makrifah Allah Yang Sebenar 

Mengenal Allah merupakan asas tauhid dalam ajaran Islam. Makrifah Allah bermaksud mengenali dengan menyakini membenarkan dan beriman dengan hati kewujudan Allah, namaNya, sifatNya dan perbuatanNya dan tiada sesuatu yang serupa denganNya serta menerima segala ajaranNya.

Para ulama menghuraikan ilmu kewujudan dan ketauhidan Allah dengan beberapa istilah mashur seperti ilmu makrifah, ilmu tauhid, ilmu akidah, ilmu usuluddin, fiqh al-akbar dan ilmu kalam. Walaupun istilah-istilah tersebut berbeza tetapi kesemua kandungannya menunjukkan makna dan tujuan yang sama iaitu keimanan dan kenyakinan yang hakiki kepada Allah dan segala ajaranNya.

Namun begitu, hakikat kesempurnaan makrifah Allah mestilah selari dengan perlaksanaan amalan shariat dan penyucian jiwa melalui ilmu fekah dan ilmu tasawuf. 

Untuk merealisasikan maksud makrifah Allah, ketaatan dan perlaksanaan secara zahir amalan shariat Islam adalah wajib seperti yang dihuraikan dalam ilmu fekah.

Ilmu fekah menerangkan segala suruhan dan larangan Allah serta cara perlaksanaanya. Ia juga melibatkan perjelasan hukum seperti wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Orang yang mengenal Allah sebagai Pencipta yang disembah, mestilah menzahirkan dengan bersunguh-sungguh kebenaran hakikat makrifanya melalui perlaksanan ketaatan segala perintahanNya dan meninggalkan laranganNya. 

Manakala ilmu tasawuf pula berkaitan dengan penyucian hati sehingga bersih daripada segala sifat sifat tercela dan berakhlak dengan segala sifat terpuji sehingga mencapai maqam ihsan. Ilmu tasawuf melatih hati untuk ingat kepada Allah sehingga mencapai maksud makrifah dengan hati yang ikhlas dalam segala ibadah kepadanya. Nabi bersabda:

“Hendaklah kamu beribadah seolah olah kamu sedang melihat Allah, jika kamu tidak dapat melihatNya, maka yakinlah bahawa Allah sedang melihat mu.”

(Riwayat Muslim) 

Sebenarnya, ketiga-tiga ilmu adalah tidak terpisah antara satu sama lain. Kesemuanya mempunyai matlamat yang sama dan satu ialah mengenal Allah dengan hati yang penuh yakin dengan melaksanakan segala perintahnya dengan ikhlas dan sentiasa berada dalam keadaan kehambaan diri kepada Allah dalam semua hal ehwal dan keadaan. 

Allah berfirman:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحْيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ (١٦٢)

Maksudnya: Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

(al-Quran, Al-An’am 6:162)

Namun begitu, terdapat pelbagai kefahaman makrifatullah yang tidak menepati prinsip tauhid dan shariat Islam yang sebenar.

Kefahaman makrifatullah yang hanya mengutamakan hati sahaja dan mengabaikan perlaksanaan segala kewajipan shariat Islam seperti pengabaian solat fardu lima waktu, puasa di bulan Ramadan, zakat dan lain- lain adalah suatu kefahaman yang keliru dan salah.

Kefahaman sebegini boleh merosakkan iman dan menyesatkan seorang muslim Oleh itu, masyarakat Islam mestilah menjahui kefahaman tersebut agar dapat menjadi muslim sebenar yang berpegang dengan ajaran yang dibawa oleh Rasullah SAW dan para Sahabat. 

Kesimpulan 

Hakikat makrifah Allah sebenarnya ialah keimanan dan kenyakinan yang hakiki kepada Allah yang disertai dengan perlaksanaan segala amalan shariat Islam dengan hati yang ikhlas serta sentiasa ingat kepadaNya. Inilah makrifah Allah yang sebenar dalam agama Islam dan menepati kefahaman Ahli Sunah Wal Jamaah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohammad Khairi bin Mahyuddin 
Panel Penulis Pakar 
Jabatan Agama Islam Selangor
 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑