Nazar: Memahami Jenis dan Hukumnya

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pengertian Nazar

Takrif nazar pada sudut bahasa ialah satu janji untuk melakukan kebaikan atau keburukan. Menurut istilah syarak pula nazar ialah mewajibkan sesuatu perbuatan yang asalnya tidak wajib untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. Syeikh Zainuddin al-Malibari mendatangkan takrif yang lebih tepat dan padat, beliau berkata;

النذر: التزام مسلم مكلف رشيد قربة لم تتعين نفلا كانت أو فرض كفاية

Maksudnya: Nazar merupakan satu ucapan seorang Muslim mukalaf lagi cerdik yang mewajibkan ke atas dirinya untuk melakukan kebaikan yang asalnya tidak wajib secara ‘aini, sama ada ia amalan sunat atau fardu kifayah. 

Berdasarkan penjelasan di atas maka nazar tidak sah apabila dilakukan oleh seorang non-Muslim, juga tidak sah dilakukan oleh kanak-kanak yang belum baligh, serta orang yang tidak mempunyai akal. Nazar juga tidak sah dilakukan oleh orang yang belum cerdik, yang tidak diperakui syarak untuk membolehkan beliau menunaikan apa yang dinazarkan. Ia juga tidak sah dilakukan oleh seorang yang dipaksa untuk mengucapkan lafaz nazar.

Nazar tidak akan sah melainkan dengan memenuhi tiga rukun di bawah ini:

  1. Seseorang yang bernazar
  2. Perkara yang dinazarkan iaitu bentuk ketaatan kepada Allah SWT.
  3. Lafaz atau ucapan nazar

[Rujuk: al-Majmuk syarah al-Muhazzab, jld.8, hlm. 449, Mughni al-Muhtaj, jld. 6, hlm. 231, I’anah al-Talibin, jld. 2, hlm. 407]

Hukum Nazar Dan Dalil Pensyariatannya

Para ulama tidak sependapat tentang hukum nazar; ada yang berpendapat bahawa bernazar itu merupakan satu ibadah dan ada pula segolongan ulama yang menghukumkan nazar itu sebagai makruh. Namun apabila seseorang telah bernazar untuk melakukan ibadah atau qurbah, maka menjadi kewajipan ke atasnya untuk menunaikan nazar tersebut. Para ulama yang menghukum makruh bernazar, mereka berpandukan hadis berikut;

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ النَّذْرِ، وَقَالَ: «‌إِنَّهُ ‌لَا ‌يَرُدُّ ‌شَيْئًا، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ البَخِيلِ»

Maksudnya: Dari Ibnu Umar r.anhuma, dia berkata: Rasululullah SAW melarang daripada perbuatan bernazar, seraya bersabda, sesungguhnya nazar tidak mampu menolak takdir, ia hanya dilakukan daripada seorang yang bakhil (untuk mendapat balasan daripada amalan yang ia nazarkan)

(Sahih al-Bukhari no: 6608, Sahih Muslim no: 1639)

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda,

لاَ تَنْذرُوا فَإِنَّ النَّذرَ لاَ يُغْنِى مِنَ الْقَدَرِ شَيْئًا وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ الْبَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah bernazar, Kerana nazar tidak akan mampu menolak takdir sama sekali. Nazar hanyalah dilakukan dari seorang yang bakhil”

(Sahih Muslim no.1640) 

Kedua-dua hadis di atas menunjukkan larangan bernazar. Orang yang bernazar dikira tidak ikhlas dalam melaksanakan nazarnya, mempunyai niat tersembunyi pada nazarnya, dan tujuannya itu hanyalah untuk mendapat imbalan yang baik daripada nazar yang dilakukan, bukannya ikhlas mahu melakukan ibadah itu. Begitulah sikap seorang yang bakhil dengan Allah SWT.

Golongan kedua pula berpendapat bahawa nazar itu ialah satu ibadah yang dikira sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia sebagai wasilah untuk berbuat kebaikan, iaitu tujuan sebenar daripada amalan bernazar adalah untuk melakukan kebaikan seperti bersedekah, berpuasa dan sebagainya. Justeru, wasilah juga dikira sebagai amalan baik kerana ia menjadi jambatan untuk melakukan amalan kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Kenyataan ini berdasarkan kaedah:

الوسائل في حكم المقاصد

Maksudnya: Segala perantaraan itu seperti hukum maqasid (segala tujuan)

Bernazar ialah satu amalan yang baik, maka sesiapa yang menunaikan amalan ini mendapat pujian Allah SWT. Sekiranya amalan ini tidak mendatangkan kebaikan, tentu sekali Allah SWT akan mengeji orang yang melakukannya, tetapi sebaliknya Allah SWT menyatakan bahawasanya amalan ini adalah antara amalan al-Abrar (orang-orang yang baik). 

Firman Allah SWT;

يُوفُونَ بِٱلنَّذۡرِ وَيَخَافُونَ يَوۡمٗا كَانَ شَرُّهُۥ مُسۡتَطِيرٗا

Maksudnya: (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya, serta mereka takut hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.

(Surah al-Insan 76:7)

Antara petanda amalan nazar itu ialah satu ibadah dan amalan yang baik di sisi Allah SWT ialah pembalasan yang baik, sedangkan amalan yang makruh adalah satu amalan yang tidak disukai Allah SWT dan sudah pasti tidak akan mendapat ganjaran yang baik dari sisi-Nya.

Berkata al-Qadhi ‘Iyadh; diganjarkan kepada mereka yang menunaikan nazar seperti ganjaran melakukan amalan yang wajib. Allah SWT berfirman:

وَمَآ أَنفَقۡتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَوۡ نَذَرۡتُم مِّن نَّذۡرٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَعۡلَمُهُۥۗ

Maksudnya: Apa saja yang kamu nafkahkan atau apa saja yang kamu nazarkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya (membalasnya).

(Surah al-Baqarah 2:270) 

Para ulama menjelaskan bahawasanya hadis yang melarang amalan bernazar dan dihukumkan sebagai makruh adalah pada kes seseorang yang bernazar sedangkan dia tidak mampu untuk melaksanakannya. Terdapat juga keterangan para ulama bahawa nazar yang dimakruhkan itu ialah nazar lajaj sahaja dan tidak pada lainnya. [Lihat Mughi al-Muhtaj, jld. 6, hlm 231, Fath al-Mu’in, hlm. 310]

Kategori Perkara Yang Dinazarkan

Perkara yang dinazarkan terbahagi kepada beberapa bahagian:

  1. Bernazar melakukan maksiat seperti bernazar untuk meminum arak, melakukan zina, membunuh, sembahyang semasa berhadas dan berpuasa semasa kedatangan haid, berpuasa pada hari raya, membaca al-Quran ketika berjunub atau bernazar untuk membunuh diri. Nazar sebegini adalah tidak diiktiraf pada syarak dan sewajarnya nazar ini hendaklah dihindari. Sesiapa yang telah bernazar dengannya maka hukumnya tidak sah dan tidak dikenakan sebarang kifarah. Sabda Nabi SAW:

لَا نَذْرَ فِي مَعْصِيَةٍ

Maksudnya: Tidak sah nazar pada perkara maksiat

(Sahih Muslim 1641)

  1. Bernazar melakukan perbuatan yang harus iaitu satu perbuatan yang boleh dilakukan dan juga ditinggalkan pada hukum syarak seperti bernazar untuk makan, minum, berdiri dan duduk, sekalipun tujuan makan itu adalah untuk mengembalikan kekuatan dan tenaga bagi beribadah kepada Allah SWT dan tidur atas niat untuk mendapatkan kecergasan melakukan ibadah malam. Sememangnya dengan niat yang murni itu seseorang akan mendapat ganjaran pahala tetapi asal perbuatan makan dan tidur itu bukannya satu ibadah, tetapi ganjaran pahala itu hanya daripada niat baik jua. Nazar seperti ini juga adalah tidak sah dan tidak dikenakan bayaran kifarat jika melanggarnya. Dari Abdullah Bin Umar, Nabi SAW bersabda;

لَا نَذْرَ إلَّا فِيمَا ابْتُغِيَ بهِ وَجْهُ الله

Maksudnya: Bukanlah nazar kecuali atas tujuan beribadah dengan ikhlas kerana Allah SWT.

   (Sunan Abu Daud 3273)

  1. Nazar melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan ia pula terbahagi kepada tiga bahagian:
    • Bernazar untuk melakukan perbuatan yang telah diwajibkan seperti bernazar untuk menunaikan sembahyang fardu lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan juga bernazar untuk meninggalkan perkara yang diharamkan agama. Nazar seperti di atas adalah tidak sah kerana sudah pun menjadi satu kewajipan sekalipun tidak dinazarkan.
    • Nazar untuk menunaikan ibadat yang sunat iaitu setiap ibadah yang disyariatkan untuk tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan juga satu yang amat dituntut ke atas hamba-Nya bagi melaksanakannya. Contohnya, berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, sembahyang sunat, bersedekah harta, dan duduk beriktikaf di masjid. Hukumnya adalah wajib ditunaikan. Imam Nawawi juga mengutarakan pendapat Imam Haramain tentang wajib menunaikan nazar ibadah berstatus fardu kifayah sama ada pada ibadah yang memerlukan kos kewangan untuk dilaksanakan seperti pengurusan jenazah ataupun yang tidak memerlukannya seperti tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar, dan inilah pendapat yang Asah mazhab Syafii.
    • Akhlak baik dan adab Islam seperti menziarahi pesakit, memberi salam, menjawab bersin. Hukum menunaikan nazar tersebut adalah wajib pada pendapat yang sahih . [Lihat Majmu’ Syarah al-Muhazzab jld 8, hlm. 452-454

Hukum Nazar dan Kifarat

Nazar dari sudut dikenakan kifarat atau sebaliknya adalah berpandukan situasi berikut:

1. Nazar Tabarrur iaitu bernazar untuk melakukan kebaikan, sama ada dalam bentuk:

  • Nazar Mujazah yang ditakrifkan sebagai seseorang mewajibkan ke atas dirinya untuk melakukan kebaikan sebagai balasan kerana mendapat sesuatu nikmat seperti sembuh daripada penyakit yang sedang dihidapi, dikurniakan anak yang sudah lama dinantikan dan lainnya atau terselamat dari bala seperti terlepas dari mati tenggelam dilautan dan sebagainya, atau diistilahkan sebagai nazar bertaklik sebagai contohnya ia berkata “sekiranya saya sembuh daripada penyakit ini maka bagi Allah SWT berkewajipan ke atas diriku berpuasa”. Sekiranya berlaku apa yang ia taklikkan, maka berkewajipan untuk ditunaikan nazarnya. Firman Allah SWT;

    ۞وَمِنۡهُم مَّنۡ عَٰهَدَ ٱللَّهَ لَئِنۡ ءَاتَىٰنَا مِن فَضۡلِهِۦ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

    Maksudnya: Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah SWT dengan berkata: “Sesungguhnya jika Allah SWT memberi kepada kami daripada limpah kurnia-Nya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh”

    (Surah al-Taubah 9:75)

    Pada ayat di atas Allah SWT telah mencerca amalan segolongan manusia yang telah berjanji dengan Allah SWT untuk melakukan sesuatu perkara tetapi tidak melaksanakannya. Ini bermaksud amalan menunaikan nazar untuk melakukan qurbah adalah amat dicintai Allah SWT. [Lihat Bidayah al-Muhtaj, jld.4, hlm. 424]

    Sabda Nabi SAW:

    “مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَ اللهَ فَلَا يَعْصِهِ”

    Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar bahawa dia akan mentaati Allah SWT, hendaklah dia taat kepada-Nya. Sesiapa yang bernazar bahawa dia akan melakukan maksiat kepada-Nya, janganlah dia menderhakai-Nya.

    (Sahih al-Bukhari 6696)

    • Nazar Mutlak iaitu bernazar untuk melakukan kebaikan tanpa dikaitkan dengan sesuatu peristiwa. Sebagai contoh seseorang itu berkata “aku bernazar untuk melakukan sembahyang sunat”. Wajiblah dilaksanakan apa yang telah dinazarkan seboleh yang mungkin. Firman Allah SWT bagi mengambarkan tentang nazar mutlak yang dilakukan oleh Maryam;

    إِذۡ قَالَتِ ٱمۡرَأَتُ عِمۡرَٰنَ رَبِّ إِنِّي نَذَرۡتُ لَكَ مَا فِي بَطۡنِي مُحَرَّرٗا فَتَقَبَّلۡ مِنِّيٓۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ 

    Maksudnya : (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

    (Surah Ali Imran 3:35)

    Dua bentuk nazar tabarrur mestilah dilaksanakan serta tidak diserupakan dengan hukum sumpah, maka tidak boleh dibayar kifarat atas alasan untuk tidak melakukannya [Lihat I’anat al-Talibin, jld. 2, hlm. 407, Bidayah al-Muhtaj, jld.4, hlm. 423]

    2. Nazar Lajaj atau Ghadhab iaitu bernazar atas tujuan menghalang diri daripada melakukan sesuatu,dengan mewajibkan perbuatan qurbah, sebagai contoh seseorang itu berkata “jika aku berkata-kata dengan dia, maka wajib bagiku berpuasa”. Dengan berlakunya pelanggaran nazar lajaj ini si pelaku akan dikenakan kifarah nazar yang sama dengan kifarat sumpah. Sabda Nabi SAW;

    كَفَّارَةُ النَّذْرِ كَفَّارَةُ يَمِينٍ

    Maksudnya: Kifarat Nazar adalah sama dengan kifarat sumpah.

    (Sahih Muslim 1645)

    Kifarat Nazar

    Kifarat Nazar boleh dilaksanakan secara pilihan daripada salah satu tiga perkara berikut:

    • memerdekakan seorang hamba mukmin yang selamat dari cacat yang mengganggu tugasannya, atau
    • memberi makan sepuluh orang miskin, bagi setiap miskin satu cupak dari makanan asasi penduduk di negerinya, atau;
    • memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin, masing-masing satu pakaian (Seluar, kemeja, serban, tudung, kain sarung);

    Sekiranya tidak berkemampuan untuk melakukan kesemua perkara di atas, wajiblah digantikan dengan berpuasa tiga hari,namun tidaklah disyaratkan secara berturut turut. [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 6, hlm.192]

    Firman Allah SWT:

    لَا يُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغۡوِ فِيٓ أَيۡمَٰنِكُمۡ وَلَٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ ٱلۡأَيۡمَٰنَۖ فَكَفَّٰرَتُهُۥٓ إِطۡعَامُ عَشَرَةِ مَسَٰكِينَ مِنۡ أَوۡسَطِ مَا تُطۡعِمُونَ أَهۡلِيكُمۡ أَوۡ كِسۡوَتُهُمۡ أَوۡ تَحۡرِيرُ رَقَبَةٖۖ فَمَن لَّمۡ يَجِدۡ فَصِيَامُ ثَلَٰثَةِ أَيَّامٖۚ ذَٰلِكَ كَفَّٰرَةُ أَيۡمَٰنِكُمۡ إِذَا حَلَفۡتُمۡۚ وَٱحۡفَظُوٓاْ أَيۡمَٰنَكُمۡۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ 

    Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.

    (Surah al Maidah 5: 89)

    Kesimpulan

    • Melanggar nazar yang tidak sah pada syarak tidak akan dikenakan sebarang kafarah.
    • Kafarah nazar lajaj adalah sama dengan kafarah sumpah dan memadai sekadar niat ketika melakukan pembayaran tanpa perlu dilafazkan.
    • Harus menggunakan wang simpanan yang diberikan oleh ibu bapa, kawan atau sanak saudara untuk membuat pembayaran tersebut.

    Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

    Wallahu’aklam.

    Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

    Leave a comment

    Blog at WordPress.com.

    Up ↑