Apakah Hasad Dengki?
Hasad dengki adalah keburukan yang merosakkan amal soleh dan menghasut manusia untuk berbuat dosa. Ini adalah penyakit yang sangat merbahaya di mana Ulama yang sangat terpelajar dan ahli tafsir Al-Quran sekalipun telah dilihat menderita kerananya, apa lagi yang perlu dikatakan kepada orang awam dan orang yang jahil yang ditimpa masalah hasad dengki dan cemburu. Sifat ini begitu merosakkan insan. Telah dikatakan:
سِتَّةٌ يَدْخُلُونَ النَّارَ بِسِتَّةٍ: العَرَبُ بِالعَصَبِيَّةِ والأُمَرَاءُ بِالجَوْرِ والدَّهَّاقين
بِالكَبْرِ وَالتَّجَّارُ بِالخِيَانَةِ وَأَهْلُ الرَّسَاتِيقِ بِالجَهْلِ وَالعُلَمَاءُ بِالحَسَدِ
Maksud: Enam jenis orang akan masuk api neraka kerana enam sebab: orang Arab kerana prasangka perkauman; orang kaya kerana penindasan; tuan tanah dan pemimpin kerana kesombongan; orang berniaga kerana tidak jujur dan orang kampung kerana jahil dan ulama kerana hasad dengki.
Oleh itu, adalah begitu penting bagi kita untuk menyelamatkan diri daripada malapetaka hasad dengki yang turut mampu mengheret Ulama ke dalam Neraka.
Penyakit Hasad Dengki Melahirkan Lima Jenis Maksiat
1. Hasad Dengki Merosakkan Ibadah & Amalan
Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis.
Maksud: “Wajiblah kamu menjauhi sifat dengki kerana dengki itu boleh memakan segala kebaikan (merosakkan akhlak dan menghapuskan pahala) seperti api yang memakan kayu”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
2. Hasad Dengki Menimbulkan Dosa & Perbuatan Buruk
Wuhab bin Manbah telah menunjukkan tiga tanda orang yang cemburu dan berhasad:
- Ketika bersemuka dengan sesiapa sahaja, dia gemar menyanjung dan memuji;
- Kemudian kerap mengumpat di belakang; dan
- Berasa gembira mendengar orang lain ditimpa kesusahan
Bukti yang paling nyata dari sifat hasad dengki adalah bahawa Allah Ta’ala telah memerintahkan kita di dalam Al-Qur’an agar berlindung dari kejahatan orang-orang yang hasad.
Maksud: “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.
(Surah Al-Falaq 113:5)
Jelas bahawa Maha Suci Allah telah menyebutkan kecemburuan orang yang hasad itu seiring syaitan dan ahli sihir, lantas memerintahkan kita untuk berlindung daripada sikap ini! Lihatlah betapa besarnya dosa berhasad dengki. Oleh sebab itulah Allah SWT telah memerintahkan kita untuk berlindung kepada-Nya dan memohon pertolongan-Nya terhadap maksiat ini.
3. Serangan Kesedihan yang Sia-Sia & Penderitaan Berpanjangan
Ini membebankan fikiran manusia dan mendorongnya untuk melakukan dosa. Dalam konteks ini Ibnu Samak telah berkata:
لم أر ظالما أشبه بالمظلوم من الحاسد نفس دائم وعقل هائم وغم لازم
“Aku tidak melihat orang zalim lebih menyerupai orang yang dizalimi daripada orang yang hasad dengki. Dia sentiasa kecewa dengan mentalitinya dan sentiasa mengalami kebimbangan dan kerisauan yang menyakitkan.”
4. Hati Manusia Hilangan Wawasan Rohani & Keupayaan Untuk Merenung dan Bertindak Berlandaskan Perintah Ilahi
Sufyan Sauri berkata:
“Sentiasalah berdiam diri dan bersunyi-sunyi. Keadaan ini akan memupuk ketaqwaan dan warak dalam dirimu. Janganlah kamu tamak, supaya kamu tidak terjerumus ke dalam fitnah dan kerosakan. Jauhi dari mengulas orang lain agar terhindar dari ejekan dan fitnah. Jauhkan diri daripada hasad dengki untuk mencapai akal dan kepekaan dan wawasan rohani.”
5. Hasad Dengki Membawa Kepada Kegagalan Objektif, Penghinaan & Aib Serta Kekalahan Kepada Musuh
Hatim Asam berkata:
“Orang yang hasad bukanlah orang yang beragama. Seseorang yang mencari kesalahan orang lain tidak boleh menjadi orang yang soleh dan khusyuk. Seorang pengumpat tidak dapat menjalani kehidupan yang aman. Dia terhalang dari rahmat dan pertolongan Allah”
Saya katakan bahawa orang yang berhasad tidak akan pernah berjaya dalam program-programnya, kerana dia menghendaki agar kurnia Allah SWT dapat diambil dari orang lain dan dikurniakan kepadanya. Ini adalah hasrat yang mustahil untuk direalisasikan. Musuh-musuh dia yang sebenarnya adalah hamba-hamba yang disukai Allah SWT, lantas orang yang hasad dengki itu tentu tidak akan pernah berjaya.
Abu Yaqub telah berkata:
“Ya Allah! Peliharalah aku daripada hasad dengki terhadap nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada hamba-hambaMu dan perbanyakkanlah nikmat ini.“
Pendek kata, hasad dengki adalah dosa yang besar sehingga mengurangkan pahala ibadat dan membawa kepada dosa kemaksiatan. Ia memusnahkan kedamaian dan ketenteraman, kemudahan dan keselesaan dan, seterusnya, menghilangkan keupayaan orang yang cemburu untuk memahami Islam sebagai cara hidup.
Hasad dengki menyebabkan kegagalan dan membuatkan musuh-musuh menjadi berani. Hasad dengki ini paling berbahaya dari semua penyakit rohani dan memerlukan rawatan segera. Jadi jangan sekali-kali lalai dalam mencari ubat yang berkesan untuk merawat penyakit hasad dengki.
Sumber: Minhajul Abidin oleh Imam Al-Ghazali
Leave a comment