Teks Khutbah Jumaat (WP): Islam Menjulang Keadilan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَأَنِ ٱحْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ وَٱحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَنۢ بَعْضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَٱعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَـٰسِقُونَ (٤٩)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama mempertingkat takwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita semua mendapat kerahmatan dan perlindungan-Nya di dunia dan di akhirat. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang lalai seperti menggunakan telefon atau berbual-bual ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Semoga Allah SWT menerima amal ibadah kita.

Mimbar mengingatkan para jemaah sekalian, marilah kita istiqamah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau dan bersama-samalah menyemarakkan kempen “subuh macam Jumaat” yang diadakan di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan. Semoga kita tergolong bersama hamba-hamba Allah SWT yang tekun mengimarahkan rumah Allah serta mendapat limpahan rahmat dan keberkatan hidup.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Islam Menjulang Keadilan”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Undang-undang Syariah merupakan sebahagian undang-undang yang diturunkan bertujuan mengatur dan mengawal kehidupan manusia sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri. Para ulama bersepakat bahawa undang-undang Islam adalah paling lengkap dengan keperluan dan kehendak manusia serta relevan dilaksanakan pada mana-mana zaman dan tempat.

Keyakinan ini juga berkait rapat dengan akidah dan keyakinan kita terhadap ajaran Islam yang benar dan syumul. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 49 yang dibacakan pada awal khutbah tadi bermaksud:

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq.”

(al-Maidah 5:49)

Undang-undang Syariah tidak hanya berkisar tentang hukuman bagi orang yang melakukan kesalahan, bahkan ia merangkumi kemuliaan akhlak dan pengajaran yang penuh hikmah kepada umat manusia seluruhnya. Ia mendidik manusia menjadi yang terbaik dan lebih berdisiplin dalam menguruskan kehidupan.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Perundangan Islam sangat mengutamakan keadilan dan menghapuskan kezaliman tanpa mengira pangkat dan darjat. Ia merangkumi kebaikan buat semua pihak sama ada peringkat individu, keluarga, bahkan kepentingan masyarakat dan negara juga turut dipelihara dalam keadilannya. Inilah garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah an-Nisa’ ayat 105:

إِنَّآ أَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَآئِنِينَ خَصِيمًۭا (١٠٥)

Bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.”

(an-Nisa’4:105)

Dalam konteks negara kita, kewujudan dan pelaksanaan undang-undang Islam telah bermula sejak zaman Kerajaan Kesultanan Melayu manakala Penubuhan Mahkamah Syariah selepas kemerdekaan pula berasaskan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mentadbir undang-undang Islam di negeri masing-masing.

Berdasarkan punca kuasa tersebut, Negeri-Negeri telah pun mengadakan peruntukan termasuklah mengenai penubuhan, keanggotaan, susunan dan tatacara Mahkamah Syariah di bawah Akta atau Enakmen Negeri-Negeri. Perlembagaan Persekutuan juga mengiktiraf dan menghormati kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.

Pada tahun 1988, Fasal (1A) Perkara 121 telah digubal dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan ini bertujuan untuk menetapkan bidang kuasa yang jelas di antara mahkamah sivil dengan Mahkamah Syariah dan melalui pindaan ini ia telah meningkatkan lagi kedudukan dan kewibawaan Mahkamah Syariah di negara ini. Menurut peruntukan Fasal (1A) Perkara 121 itu, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Memandangkan Persekutuan dan Negeri masing-masing mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan undang-undang jenayah, adakalanya akan timbul isu pertindanan kesalahan di antara kesalahan yang terdapat di dalam Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dengan kesalahan yang terdapat di dalam Kanun Keseksaan [Akta 574] atau undang-undang persekutuan yang lain, contohnya seperti kesalahan liwat, judi dan sumbang mahram.

Sememangnya kerajaan menyambut baik cadangan penubuhan suatu Jawatankuasa Khas sebagaimana titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang bertindak selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), semasa Mesyuarat MKI pada 28 Ogos 2023 bagi menangani apa-apa isu yang berbangkit daripada pertindanan di antara bidang kuasa Dewan Undangan Negeri dengan Parlimen mengenai undang-undang Islam dan undang-undang Persekutuan.

Justeru, marilah kita mendoakan agar Jawatankuasa Khas yang dibentuk tersebut akan dapat berperanan dengan berkesan dan berhikmah ke arah mencapai matlamat memastikan pemerkasaan sistem perundangan dan kehakiman Syariah di negara kita dan seterusnya dapat menjalankan fungsinya menegakkan hukum dengan adil dalam masyarakat.

Ini merupakan salah satu usaha dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa di antara Persekutuan dengan Negeri dan di antara mahkamah sivil dengan Mahkamah Syariah demi memartabatkan dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman Syariah di negara ini dan mencari satu jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni. Justeru, masyarakat seharusnya menyokong dan menghormati usaha ini dalam memastikan Mahkamah Syariah dapat terus diperkasakan di negara ini dan seterusnya menegakkan hukum dan keadilan berdasarkan perintah Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Undang-undang Islam amat menekankan keadilan dan menghapus kezaliman. Penubuhan Mahkamah Syariah berasaskan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mentadbir undang-undang Islam di negeri masing-masing.

Kedua: Masyarakat hendaklah menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Khas bagi mengatasi pertindanan bidang kuasa dalam bidang perundangan Islam demi memastikan keadilan dan kesejahteraan masyarakat dapat dilaksanakan secara adil, berhikmah dan harmoni.

Ketiga: Berikan ruang dan keyakinan kepada Jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mencari penyelesaian yang terbaik buat umat Islam dan negara seluruhnya.

Mengakhiri khutbah, hayati firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat 36:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍۢ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَـٰلًۭا مُّبِينًۭا (٣٦)

Bermaksud: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

(al-Ahzab 33:36)

Tarikh Dibaca: 28 Rejab 1445H/9 Februari 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑