Syarat Saksi Nikah 

Soalan

Saya sudah berkahwin 4 tahun. Ketika saya nikah dulu, seorang saksi nikah saya adalah adik ipar mak mertua saya. Adakah sah pernikahan saya? Sebab saya pernah dengar ada ustaz cakap, pernikahan yang ada kaitan dengan mak/mak mertua, contoh adik kepada mak/mak mertua, abang kepada mak/mak mertua, pernikahan itu tidak sah. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Rukun-Rukun Nikah

Terdapat perbezaan pendapat para ulama empat mazhab mengenai jumlah rukun-rukun nikah, secara ringkas rukun-rukun nikah pada pandangan mazhab Imam Syafei berjumlah lima perkara. 

Rukun Nikah itu adalah seperti berikut:

  1. Pengantin Lelaki (suami)
  2. Pengantin Perempuan (isteri)
  3. Wali
  4. Dua orang saksi
  5. Ijab dan Kabul

Setiap rukun nikah seperti yang dinyatakan di atas, mestilah memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan.

Syarat-Syarat Sah Saksi

Peranan saksi juga amat penting di dalam sesebuah pernikahan yang bakal dilangsungkan. Ini kerana, saksi merupakan mereka yang bertanggungjawab menjamin kesahihan sesuatu ijab dan kabul selain daripada berperanan untuk memberikan penjelasan sekiranya berlaku pertelingkahan atau permasalahan di dalam sesebuah rumah tangga di kemudian hari.

Sabda Rasulullah SAW;

لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ وَشَاهِدَيْ عَدْلٍ

Maksud: “Tidak sah sebuah pernikahan tanpa wali dan dua orang saksi yang adil”.

(Sunan Ibnu Majah No. 1247)

Syarat-syarat saksi bagi setiap perkahwinan orang Islam adalah seperti berikut

1. Beragama Islam

Ikatan perkahwinan merupakan amalan beragama terkait dengan kesucian Islam. Ia ialah satu akad suci untuk menghalalkan pergaulan yang asalnya adalah haram, penyaksian tersebut tidak layak sama sekali dilakukan oleh seorang yang tidak menerima Islam sebagai agama anutan.

2. Lelaki

Tidak sah akad perkahwinan yang disaksikan para wanita sahaja atau hanya dihadiri saksi seorang lelaki dan dua orang wanita. Berkata Imam al-Zuhri ‘ Sunah Nabi SAW menetapkan bahawa tidak diharuskan penyaksian wanita pada kes-kes melibatkan hudud, perkahwinan dan perceraian’.

3. Baligh

Saksi kanak-kanak dalam urusan akad perkahwinan tidak diiktiraf syarak, sekalipun mereka telah mencapai umur mumaiyiz. 

4. Berakal

Antara tujuan penyaksian ialah pemakluman perkahwinan dan pembuktian akad perkahwinan pada masa akan datang sekiranya timbul pertikaian dan ia tidak sah dilakukan oleh seorang yang tidak siuman.

5. Merdeka

Jumhur ulama dan juga mazhab Syafii berpendapat kedua-dua saksi mestilah seorang yang merdeka dan bukannya daripada kalangan hamba sahaya.

6. Sekurang-kurangnya dua orang

Berdasarkan hadis Nabi SAW yang lalu, telah menjadi satu kesepakatan para ulama bahawa akad perkahwinan tidak sah sekiranya disaksikan oleh seorang saksi sahaja.

7. Tahu dan faham kandungan lafaz ijab dan qabul

Saksi yang tidak faham dan pandai dalam satu-satu bahasa adalah tidak layak dan tidak sah untuk menjadi saksi ijab kabul akad perkahwinan yang menggunakan bahasa yang tidak dapat difahaminya. Memahami kandungan akad tersebut adalah antara tujuan utama penyaksian. Para saksi hendaklah memahami apa yang disebutkan oleh kedua belah pihak yang berakad.

8. Tidak buta atau pekak

Akad nikah tidak sah dengan kedua-dua saksi yang buta dan pekak. Pembuktian terhadap ucapan ijab dan kabul hanya dapat dipastikan oleh orang yang melihat dan mendengar sahaja.

9. Bersifat Adil

Adil pada pandangan zahir amalannya, tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Seorang fasik yang secara sengaja menzahirkan perbuatan buruknya adalah tidak layak untuk dipercayai penyaksiannya.

10. Bukan tertentu yang menjadi wali

Seorang yang hanya layak menjadi wali, iaitu pada kes perkahwinan yang tidak ada wali yang lain selain dia sendiri, dalam situasi begini, wali tersebut tidak boleh melantik orang lain untuk menjadi wakil wali dan dia pula bertindak sebagai seorang saksi.

[Lihat: Mughni al-Muhtaj jld. 4, hlm. 234-237, al-Fiqh al-Manhaji jld. 4, hlm. 70-72, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu jld. 9, hlm. 6562-6567]

Kesimpulan

Daripada penjelasan di atas kami berpandangan bahawa perkahwinan yang bersaksikan adik ipar kepada mak mertua adalah sah sekiranya syarat-syarat sah menjadi saksi itu dipatuhi.

Kami juga yakin dan percaya bahawa pihak yang bertanggungjawab atau Naib Kadi telah meneliti semua syarat sah menjadi saksi yang telah ditetapkan syarak sebelum akad nikah dijalankan.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑