Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 18 – Bertakwa Kepada Allah dan Akhlak Terpuji

Daripada Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu’adz bin Jabal RA meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAWbersabda:

اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحسنةَ تَمْحُهَا، وخَالقِ النَّاسَ بخُلُقٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada. Ikutilah segera kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu menghapuskannya, dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.”

(Riwayat al-Tirmizi no. 1988)

Huraian 

Abu Dzar RA yang meriwayatkan hadis ini telah masuk Islam ketika Rasulullah SAW masih di Makkah. Nabi SAW telah menyuruhnya kembali kepada kaumnya. Namun dia tekad untuk tinggal di Makkah bersama Baginda, maka Rasulullah SAW telah memberikan kebenaran kepadanya.

Sabda Baginda SAW kepada Abu Dzar yang bermaksud:

“Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada. Ikutilah segera kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu menghapuskannya.”

Ini selari dengan firman Allah:

إِنَّ الْحَسَنَتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ

Maksudnya: Sesungguhnya segala amal kebajikan menghapus segala perbuatan dosa.

(Surah Hud 11: 114)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

 “Bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik.”

Maksudnya bergaullah dengan manusia dengan cara yang kamu rasa senang bila diperlakukan oleh mereka kepadamu.

Ketahuilah bahawa yang paling berat timbangannya di akhirat kelak adalah akhlak yang baik. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang paling aku cintai antara kamu dan yang paling dekat kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya antara kamu.”

(Riwayat at-Tabrani, no. 6)

Akhlak yang baik adalah sifat para nabi, para rasul dan orang-orang Mukmin pilihan. Perbuatan buruk jangan dibalas dengan keburukan, tetapi dimaafkan dan diampuni serta dibalas dengan kebaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Memberi kemaafan kepada orang yang berbuat jahat kepada kamu.”

(Riwayat al-Hakim no. 7285)

Pengajaran

  • Manusia ialah khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini yang menduduki tahap ketinggian melebihi para malaikat.
  • Bertakwa kepada Allah SWT merupakan kewajipan setiap Muslim dan merupakan asas diterima amal solehnya.
  • Bersegeralah bertaubat dan 3 melakukan ketaatan seandainya tersilap melakukan keburukan, kerana kebaikan akan menghapus keburukan. Taubat merupakan syarat menghapuskan dosa-dosa besar.
  • Bersungguh-sungguhlah menghias diri dengan akhlak mulia. Akhlak merupakan dasar tertegaknya peradaban. Cahaya ketaatan akan menerangi kegelapan maksiat. 
  • Berusahalah memiliki akhlak yang terpuji dengan mencontohi akhlak Rasulullah SAW.
  • Menjaga pergaulan yang baik merupakan kunci kejayaan, kebahagiaan dan ketenangan di dunia dan akhirat.
  • Akhlak merupakan asas ketamadunan kemanusiaan.

Akhlak merupakan asas ketamadunan manusia. Rasulullah SAW bersabda:

إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

(Riwayat al-Baihaqi no. 20782)

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

One thought on “Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 18 – Bertakwa Kepada Allah dan Akhlak Terpuji

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑