Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiada bayi yang boleh bercakap ketika masih bayi kecuali tiga orang, antaranya: Isa bin Maryam dan seorang bayi yang hidup pada zaman Juraij.”
Ibuku atau Solatku
Juraij ialah seorang lelaki ahli ibadah, dia mendirikan sendiri tempat ibadahnya. Pada suatu hari semasa sedang bersolat ibunya memanggil, ‘Wahai Juraij.’ Juraij berkata dalam hatinya, ‘Ya Tuhanku, adakah aku perlu jawab panggilan ibuku atau lebih baik meneruskan solatku?’ Juraij meneruskan solatnya. Lalu ibunya pergi.
Keesokan harinya, ibu Juraij datang ketika ia sedang solat lagi. Si ibu memanggil, ‘Wahai Juraij!’ Juraij mengadukan kepada Allah, ‘Ya Tuhanku, perlukah aku memenuhi panggilan ibuku atau meneruskan solatku?’ Ia meneruskan solatnya. Lalu ibunya pergi meninggalkan Juraij.
Fitnah Pelacur
Pada suatu pagi ibu Juraij datang lagi, ketika itu Juraij sedang solat. Si ibu memanggil, ‘Wahai Juraij!’ Juraij berkata, ‘Ya Tuhanku, perlukah aku memenuhi panggilan ibuku atau, meneruskan solatku?’ Dia akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan solatnya.
Lalu ibu Juraij bersumpah, ‘Ya Allah, janganlah Engkau matikan dia, sehingga ia menghadapi fitnah melakukan hubungan dengan pelacur!’
Orang Bani Israil sering menyebut-nyebut akan hal ketekunan ibadah Juraij. Tiba-tiba datanglah daripada kalangan mereka seorang pelacur yang sangat cantik berkata, ‘Jika kamu semua menghendaki, aku akan memberinya fitnah.’ Perempuan tersebut lalu pergi menemui Juraij dan menggodanya. Tetapi Juraij tidak memperdulikannya. Lalu pelacur tersebut pergi berjumpa seorang penggembala yang sedang berteduh dekat tempat ibadah Juraij. Dia telah melakukan zina dengannya sehingga hamil.
Bayi Juraij?
Tidak lama kemudian pelacur itu melahirkan seorang bayi. Orang ramai bertanya, ‘Bayi ini hasil perbuatan siapa?’ Pelacur itu menjawab, ‘Juraij.’ Maka mereka telah pergi ke rumah ibadah Juraij dan memaksanya keluar. Selanjutnya mereka memukul Juraij, mencaci maki dan merobohkan tempat ibadahnya.
Juraij bertanya, ‘Ada apa ini, mengapa kamu semua perlakukan aku seperti ini?’ Mereka menjawab, ‘Engkau telah berzina dengan pelacur ini, sehingga diamelahirkan seorang bayi.’ Ia bertanya ‘Di manakah bayi itu sekarang?’. Kemudian mereka datang membawa bayi tersebut.
Ayahku Penggembala
Juraij berkata, ‘Berilah aku peluang untuk menunaikan solat!’ Lalu Juraij pun solat. Selesai solat Juraij menghampiri bayi itu lalu mencuit perutnya seraya bertanya, ‘Wahai bayi, siapakah ayahmu?’ Bayi menjawab, ‘Ayahku ialah seorang penggembala.’
Serta-merta orang-orang yang menyaksikan karamah Juraij meminta maaf kepadanya. Mereka berkata, ‘Kami akan mendirikan kembali tempat ibadah untukmu daripada emas!’ Juraij menjawab, ‘Jangan! Cukup daripada tanah saja sebagaimana dahulu.’ Mereka lalu membangun tempat ibadah sebagaimana yang dikehendaki Juraij.
Jangan Jadikan Aku Seperti Dia
Ketika ibu si bayi memangku anaknya untuk disusui, tiba-tiba seorang lelaki menunggang kuda yang gagah dan tampan lalu di situ. Maka ibu itu berdoa, ‘Ya Allah, jadikanlah anakku seperti dia.’ Tiba-tiba bayi itu melepaskan susu ibunya dan menoleh kepada penunggang kuda tersebut seraya berkata, ‘Ya Allah, jangan jadikan aku seperti dia.’ Lalu ia kembali meneruskan susuannya.”
Abu Hurairah r.a berkata, “Seolah-olah aku melihat Rasulullah s.a.w. meniru gerakan si bayi dan meletakkan jari telunjuknya di mulut lalu mengisapnya.”
Mangsa Fitnah Zina
“Kemudian lalu serombongan orang membawa wanita hamba sahaya sambil memukulnya. Mereka menuduh, ‘Kamu telah berzina, kamu telah mencuri!’ Sementara hamba sahaya perempuan itu berkata, ‘Cukuplah Allah sebagai pelindungku!’
Melihat kejadian ini, si ibu berdoa, ‘Ya Allah, jangan jadikan anakku seperti dia. Maka bayi itu melepaskan susu ibunya dan melihat ke tempat wanita hamba sahaya tersebut sambil berdoa, ‘Ya Allah jadikan aku seperti dia.’
Wahai Ibu…
Dan pembicaraan itu berulang. Si ibu berkata kepada anaknya, ‘Di belakangku berlalu seorang penunggang kuda yang gagah dan tampan, lalu aku berkata, ‘Ya Allah, jadikan anakku seperti dia.’ Lantas engkau berkata, ‘Ya Allah, jangan jadikan aku seperti dia.’ Kemudian lalu di hadapanku, wanita hamba sahaya dan mereka memukulinya serta mengatakan bahawa ia telah berzina, ia telah mencuri! Melihat hal yang mencemaskan ini, aku berdoa, ‘Ya Allah, jangan jadikan anakku seperti dia.’ Lalu engkau berkata, ‘Ya Allah, jadikan aku seperti dia.’
Maka bayi itu menerangkan kepada ibunya, ‘Wahai ibu, sesungguhnya penunggang kuda yang tampan itu seorang yang sangat sombong. Maka aku berdoa, ya Allah, jangan jadikan aku seperti dia! Sedangkan hamba sahaya wanita itu, yang dituduh melakukan zina, padahal dia tidak berzina, dituduh mencuri padahal dia tidak mencuri. Maka, aku berdoa, ya Allah, jadikan aku seperti dia.’ (Riwayat al-Bukhari, 3436; Muslim, 2550)
Pengajaran
1. Kewajipan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa terutama ibu, kerana doanya terhadap anak akan dikabulkan oleh Allah.
2. Allah menyelamatkan seseorang dengan ketakwaan dan kesolehannya.
3. Jika suatu urusan perlu dilakukan serentak, hendaklah mengutamakan yang paling penting berbanding yang kurang penting.
4. Disunatkan berwuduk terlebih dahulu sebelum berdoa untuk hal-hal yang sukar.
5. Wuduk sudah diketahui umat sebelum ini dan disyariatkan sebelum Nabi Muhammad.
6. Penetapan karamah para wali, yang dapat diperoleh melalui ikhtiar atau usaha mereka.
7. Orang alim hendaklah berlemah lembut dan berkasih sayang kepada murid ketika memberikan pendidikan kepadanya.
8. Orang yang memiliki kepercayaan yang tinggi kepada Allah akan dipelihara daripada fitnah.
9. Kita dibolehkan memperbanyak ibadah secara maksima bagi yang mengetahui bahawa dirinya mampu.
10. Doa ibu bapa buat anaknya dimakbulkan Allah s.w.t.
11. Orang yang secara tiba-tiba dilemparkan kepadanya suatu tuduhan hendaklah segera memohon bantuan Allah dengan bersolat.
12. Keyakinan Juraij adalah sangat tinggi kepada Allah untuk memperoleh pertolongan-Nya. Sehingga ketika dia meminta bayi itu berbicara, Allah mengabulkannya. Padahal biasanya bayi kecil tentu belum dapat bercakap.
13. Sombong dan membanggakan diri adalah perbuatan tercela, demikian juga orang yang sombong dan zalim, mereka semua dicela.
14. Orang yang dizalimi mempunyai kedudukan dan kelebihan di sisi Allah.
15. Seseorang itu dibenarkan membatalkan solat sunatnya ketika ibu bapanya mengehendakinya untuk melakukan sesuatu hal yang penting.
16. Kita dilarang mempercayai suatu tuduhan tanpa bukti.
Sumber: 101 Kisah dan Pengajaran daripada al-Quran, al-Hadis dan Hayatus Sahabah oleh Zahazan Mohamed
Leave a comment