Islamnya Salman Al-Farisi

Daripada Abdullah bin Abbas r.a. berkata, “Salman al-Farisi menceritakan daripada mulutnya sendiri tentang dirinya kepadaku. Dia berkata: ‘Aku seorang lelaki Parsi berasal dari Isfahan, penduduk suatu desa bernama Jai. Ayahku ialah seorang tokoh masyarakat yang pakar dalam pertanian. Aku ialah anak yang paling disayangi ayahku. Kerana sangat sayang kepadaku, aku tidak dibenarkan keluar rumah, aku diminta senantiasa berada di samping pengasuh, aku dilayan seperti seorang kanak-kanak saja.

Kenali Salman

Aku dilahirkan dalam keluarga Majusi, sehingga aku membesar sebagai penjaga api yang bertanggungjawab untuk menyalakan api dan tidak membiarkannya padam. Ayahku memiliki tanah yang luas. Pada suatu hari beliau sibuk mengurus bangunannya. Beliau berkata kepadaku, ‘Wahai anakku, hari ini aku sibuk di bangunan, aku tidak sempat mengurus tanah, cubalah engkau pergi ke sana.’ Beliau menyuruhku melakukan beberapa perkara yang harus diselesaikan.

Kagum di Gereja Nasrani

Aku keluar menuju tanah ayahku. Dalam perjalanan aku melalui sebuah gereja Nasrani. Aku mendengar suara mereka yang sedang beribadat cara mereka. Aku sendiri tidak mengerti mengapa ayahku melarang aku keluar rumah.

Tatkala aku melalui gereja mereka, dan aku mendengar suara mereka beribadat maka aku masuk ke dalam gereja itu untuk mengetahui apa yang sedang mereka lakukan? Begitu aku melihat mereka, aku kagum dengan peribadatan mereka, dan aku ingin mengetahui ibadat mereka. Aku berkata dalam hati: ‘Demi Allah, ini lebih  baik daripada agama yang aku anut selama ini. Demi Allah, aku tidak berganjak daripada mereka hingga matahari terbenam. Aku tidak jadi pergi ke tanah milik ayahku. Aku bertanya kepada mereka, ‘Dari mana asal usul agama ini?” Mereka menjawab: ‘Dari Syam (Syria).'”

Agama Ayahmu Lagi Bagus

Kemudian aku pulang ke rumah ayahku. Padahal ayahku telah mengarahkan seseorang untuk mencariku. Sementara aku tidak mengerjakan sama sekali tugas yang diarahkan oleh ayahku. Maka ketika aku telah bertemu ayahku, beliau bertanya, ‘Anakku, ke manakah kamu pergi? Bukankah aku telah berpesan kepadamu untuk mengerjakan apa yang aku perintahkan itu?’ Aku menjawab, ‘Ayah, aku lalu pada satu kaum yang sedang beribadat di dalam gereja, aku kagum melihat ajaran agama mereka. Demi Allah, aku tidak berganjak dari tempat itu sampai matahari terbenam.’

Ayahku menjawab: ‘Wahai anakku, tidak ada kebaikan sedikit pun dalam agama itu. Agamamu dan agama ayahmu lebih bagus daripada agama itu.’ Aku membantah: ‘Demi Allah, sekali-kali tidak! Agama itu lebih bagus daripada agama kita.’ Kemudian, ayahku bimbang terhadap diriku, sehingga beliau merantai kakiku, dan aku dipenjarakan di dalam rumahnya.’

Bertemu Pedagang Nasrani 

Suatu hari ada rombongan orang beragama Nasrani diutus menemuiku, maka aku sampaikan kepada mereka, ‘Jika ada rombongan dari Syria terdiri daripada pedagang Nasrani, maka beritahu padaku.’ Aku juga meminta apabila para pedagang itu telah selesai urusannya dan akan kembali ke negerinya, supaya aku diizinkan bertemu mereka. Ketika para pedagang itu hendak kembali ke negeri mereka, mereka memberitahu kepadaku. Kemudian rantai besi yang mengikat kakiku dilepaskan, lantas aku pergi bersama mereka sehingga aku tiba di Syria.

Bertemu Pendeta di Syria

Sesampainya aku di Syria, aku bertanya, ‘Siapakah yang ahli agama di sini?’ Mereka menjawab, ‘Pendeta yang tinggal di gereja.’ Kemudian aku menemuinya. Kemudian aku berkata kepada pendeta itu, ‘Aku sangat mencintai agama ini, dan aku ingin tinggal bersamamu, aku akan membantumu di gerejamu, agar aku dapat belajar denganmu dan beribadat bersama- samamu.’ Pendeta itu menjawab: ‘Silakan. Maka aku pun tinggal bersamanya.

Sebenarnya Pendeta itu Jahat!

Ternyata pendeta itu seorang yang jahat. Dia menyuruh dan menganjurkan umat untuk bersedekah, namun setelah diserahkan kepadanya, dia menyimpan sedekah tersebut untuk dirinya sendiri. Sedekah sehingga itu tidak diberikan kepada orang-orang yang miskin, sehingga terkumpul 7 peti emas dan perak. 

Aku sangat benci perbuatan pendeta itu. Kemudian dia meninggal. Orang Nasrani pun berkumpul untuk mengebumikannya. Ketika itu aku sampaikan kepada khalayak. ‘Sebenarnya, pendeta ini ialah seorang yang berperangai buruk, menyuruh dan menggalakkan kamu supaya bersedekah. Tetapi jika sedekah itu telah terkumpul, dia menyimpannya untuk dirinya sendiri, tidak memberikannya kepada orang-orang miskin sedikit pun.”

Mereka pun mempersoalkan apa yang aku sampaikan, ‘Apa buktinya bahawa kamu mengetahui hal itu?’ Aku menjawab, 

‘Marilah aku tunjukkan kepada kamu semua simpanannya itu.’ Mereka berkata, ‘Baik, tunjukkan simpanan tersebut kepada kami.’ Lalu aku memperlihatkan tempat penyimpanan sedekah itu. Kemudian mereka mengeluarkan sebanyak 7 peti yang penuh berisi emas dan perak.

Setelah mereka menyaksikan betapa banyaknya simpanan pendeta itu, mereka berkata: ‘Demi Allah, selamanya kami tidak akan menguburkannya.’ Kemudian mereka menyalib pendeta itu pada tiang dan melempari jasadnya dengan batu.

Pengganti Yang Zuhud

Kemudian mereka mengangkat orang lain sebagai penggantinya. Aku tidak pernah melihat seseorang yang bukan Islam yang lebih baik daripadanya. Dia sangat zuhud, sangat mencintai akhirat, dan selalu beribadah siang malam. Maka aku pun sangat mencintainya dengan cinta yang tidak pernah aku berikan kepada orang lain. Aku tinggal bersamanya beberapa waktu.

Kemudian ketika ia nazak, menjelang kematiannya, aku berkata kepadanya, ‘Wahai Fulan, selama ini aku hidup bersamamu, dan aku sangat mencintaimu, belum pernah ada seorang pun yang aku cintai seperti cintaku kepadamu, padahal sebagaimana kamu lihat, telah menghampiri saat ketentuan takdir Allah, kepada siapakah aku ini engkau wasiatkan, apa yang engkau perintahkan kepadaku?”

Bertemu Orang di Mosul

Orang itu berkata: ‘Wahai anakku, demi Allah, sekarang ini aku sudah tidak tahu lagi siapa yang mempunyai keyakinan seperti aku. Orang yang terkenal telah mati, dan masyarakat pun mengganti ajaran yang benar dan meninggalkannya sebahagiannya, kecuali seorang yang tinggal di Mosul (kota di Iraq), dia memegang keyakinan seperti aku ini, temuilah ia di sana!’

Lalu apabila ia meninggal dunia, aku pergi untuk menemui seseorang di Mosul. Aku berkata: ‘Wahai Fulan, sesungguhnya si Fulan telah mewasiatkan kepadaku menjelang kematiannya agar aku menemui engkau, dia memberitahuku bahawa engkau memiliki keyakinan sebagaimana dia.’

Seorang Lelaki di Nasibin

Kemudian orang yang kutemui itu berkata, ‘Silakanlah tinggal bersamaku.’ Aku pun hidup bersamanya. Aku dapati ia sangat baik sebagaimana yang diterangkan si Fulan kepadaku. Namun dia pun hampir dengan kematian. Dan ketika menjelang kematiannya, aku bertanya kepadanya, ‘Wahai Fulan, ketika si Fulan mewasiatkan aku kepadamu dan agar aku menemuimu, kini takdir Allah akan berlaku ke atasmu sebagaimana engkau ketahui, oleh sebab itu kepada siapakah aku ini akan diwasiatkan? Dan apa yang engkau perintahkan kepadaku?’

Orang itu berkata: ‘Wahai anakku, demi Allah tak ada seseorang pun seperti aku kecuali seorang di Nasibin (kota di Algeria), yakni Fulan. Temuilah dia!’

Maka setelah beliau meninggal dunia, aku menemui seseorang yang di Nasibin itu. Setelah aku bertemu dengannya, aku menceritakan keadaanku dan apa yang diperintahkan si Fulan kepadaku. Orang itu berkata: ‘Silakan tinggal bersamaku.’ Selepas itu aku mulai hidup bersamanya. Aku dapati ia benar-benar seperti si Fulan yang aku pernah hidup bersamanya. Aku tinggal bersama seseorang yang sangat baik.

Temuilah Si Fulan di Armunia

Namun, kematian hampir datang menjemputnya. Dan di ambang kematiannya aku berkata: ‘Wahai Fulan, ketika itu si Fulan mewasiatkan aku kepada Fulan, dan kelmarin Fulan mewasiatkan aku kepadamu. Sepeninggalmu nanti, kepada siapakah aku akan engkau wasiatkan? Dan apa yang akan engkau perintahkan kepadaku?’

Orang itu berkata, ‘Wahai anakku, demi Allah, tidak ada seorang pun yang kau kenal sehingga aku perintahkan kamu untuk mendatanginya kecuali seseorang yang tinggal di Armunia (kota di Rom). Orang itu menganut keyakinan sebagaimana yang kita anut, jika kamu berkenan, silalah mendatanginya. Dia pun menganut sebagaimana yang selama ini kami pegang.’

Setelah dia meninggal dunia, aku pergi menuju Armunia. Aku menceritakan perihal keadaanku kepadanya. Dia berkata, ‘Silalah tinggal bersamaku.’ Aku pun hidup bersama seorang yang ditunjuk oleh kawannya yang sekeyakinannya.

Dia Pembawa Ajaran Ibrahim

Di tempat orang itu, aku bekerja sehingga aku memiliki beberapa ekor lembu dan kambing. Kemudian takdir Allah pun berlaku untuknya. Ketika itu aku berkata, ‘Wahai Fulan, selama ini aku hidup bersama si Fulan, kemudian dia mewasiatkan aku untuk menemui si Fulan, kemudian si Fulan juga mewasiatkan aku agar menemui si Fulan, kemudian Fulan mewasiatkan aku untuk menemuimu, sekarang kepada siapakah aku ini akan engkau wasiatkan dan apa yang engkau perintahkan kepadaku?’

Orang itu berkata, ‘Wahai anakku, demi Allah, aku tidak mengetahui seorang pun yang akan aku perintahkan kamu untuk mendatanginya. Akan tetapi telah hampir tiba waktu munculnya seorang nabi, dia diutus dengan membawa ajaran Nabi Ibrahim. Nabi itu akan keluar diusir dari suatu tempat di Arab kemudian berhijrah menuju daerah di antara dua bukit. 

Di antara dua bukit itu tumbuh pohon-pohon kurma. Pada diri nabi iaitu terdapat tanda-tanda yang tidak dapat di sembunyikan, dia menerima hadiah, tetapi tidak mahu menerima sedekah, di antara kedua-dua bahunya terdapat tanda kenabian. Jika engkau dapat ke daerah itu, pergilah ke sana!’

Kemudian orang ini pun meninggal dunia. Dan sepeninggalannya, aku masih tinggal di Armunia sesuai dengan kehendak Allah.

Salman Ditipu Pedagang

Pada suatu hari, lalu di hadapanku rombongan orang Kalb, mereka ialah pedagang. Aku berkata kepada para pedagang itu. ‘Bolehkah kamu membawaku menuju tanah Arab dengan ditukarkan dengan lembu dan kambing-kambingku?’ Mereka menjawab: ‘Ya.’ Lalu aku memberikan ternakanku kepada mereka.

Mereka membawaku bersama rombongan mereka. Namun setibanya di Wadil Qura, mereka menipuku, dengan menjualku sebagai hamba ke tangan seorang Yahudi. Maka tinggallah aku di tempat Yahudi itu. Aku melihat pohon-pohon kurma, aku berharap mudah-mudahan inilah daerah sebagaimana yang disebutkan si Fulan kepadaku. Aku tidak biasa hidup bebas.

Ketika aku berada di samping orang Yahudi itu, saudaranya datang dari Madinah daripada Bani Quraidzah. Ia membeli aku daripada saudaranya. Kemudian ia membawa aku ke Madinah. Apabila aku tiba di Madinah aku segera tahu berdasarkan apa yang disebutkan si Fulan kepadaku. Sekarang aku tinggal di Madinah. 

Berita Ketika di Puncak Pohon Kurma 

Allah mengutus seorang Rasul-Nya, dia telah tinggal di Makkah beberapa lama, yang aku sendiri tidak pernah mendengar ceritanya kerana kesibukanku sebagai seorang hamba. Kemudian Rasul itu berhijrah ke Madinah. Demi Allah, ketika aku berada di puncak pohon kurma majikanku kerana aku bekerja di kebun, sementara majikanku duduk, tiba-tiba salah seorang saudaranya datang menghampiri, kemudian berkata: ‘Fulan, celakalah Bani Qailah (suku Aus dan Khazraj). Mereka kini sedang berkumpul di Quba’ menyambut seseorang yang datang dari Makkah pada hari ini. Mereka percaya bahawa orang itu nabi.’

Tatkala aku mendengar pembicaraannya, aku gementar sehingga aku takut jatuh menimpa majikanku. Kemudian aku turun dari pohon lalu bertanya kepada saudara majikanku, ‘Apa yang engkau katakan tadi?’ ‘Apa yang engkau katakan tadi?’ Majikanku sangat marah, dia memukulku dengan kuat. Kemudian berkata: ‘Kenapa bertanyakan hal ini, teruskan pekerjaanmu.’

Aku menjawab, “Tidak ada maksud apa-apa, aku ingin mencari penjelasan terhadap apa yang dikatakan. Padahal sebenarnya aku pernah mendengar mengenai seorang nabi yang akan diutuskan.’

Bertemu Rasulullah SAW

Pada suatu petang, aku mengambil sejumlah bekal kemudian aku menuju ke tempat Rasulullah s.a.w. yang ketika itu sedang berada di Quba’. Aku menemui Baginda dan aku berkata: ‘Telah sampai kepadaku khabar bahawasanya engkau seorang yang soleh, engkau memiliki beberapa orang sahabat yang dianggap asing dan miskin. Aku membawa sedikit sedekah, dan menurutku kamu semua lebih berhak menerima sedekah ini daripada orang lain.’

Aku pun menyerahkan sedekah tersebut kepada Baginda. Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda kepada para sahabat, “Silakanlah kamu makan,’ sementara Baginda tidak menyentuh sedekah itu dan tidak memakannya. Aku berkata, ‘Ini satu tanda kenabiannya.’

Ini Hadiah Penghormatanku

Aku pulang meninggalkan Baginda untuk mengumpulkan sesuatu. Rasulullah s.a.w. pun berpindah ke Madinah. Kemudian pada suatu hari, aku mengunjungi Baginda sambil berkata, ‘Aku memperhatikanmu tidak makan pemberian berupa sedekah, sedangkan ini merupakan hadiah sebagai penghormatanku kepada engkau.’

Kemudian Rasulullah s.a.w. makan sebahagian daripada hadiah pemberianku dan memerintahkan para sahabat untuk memakannya, mereka pun makan hadiahku itu. Aku berkata di dalam hati, engkau.’ ‘Inilah tanda kenabian yang kedua.’

Melihat Tanda Kenabian

Selanjutnya aku berjumpa Baginda s.a.w. ketika Baginda berada di kuburan Baqi’ al-Gharqad. Baginda sedang menghantarkan jenazah salah seorang sahabat. Baginda mengenakan dua lembar kain, ketika itu Baginda sedang duduk di antara para sahabat, aku mengucapkan salam kepada Baginda. Kemudian aku berpusing memperhatikan belakang Baginda, adakah aku akan melihat tanda yang disebutkan si Fulan kepadaku.

Pada masa Rasulullah s.a.w. melihatku sedang memperhatikan Baginda, Baginda mengetahui bahawa aku sedang mencari penjelasan tentang sesuatu ciri kenabian yang disebutkan salah seorang kawanku. Kemudian Baginda melepaskan kain selendang Baginda dari belakangnya, lantas aku dapat melihat tanda kenabian dan aku yakin bahawa Baginda ialah seorang Nabi. Maka aku meniarap di hadapan Baginda dan memeluknya seraya menangis.

Salman Bebas Ditebus Rasulullah 

Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku, ‘Datanglah ke mari.’ Maka aku pun datang dan menceritakan perihal keadaanku sebagaimana yang aku ceritakan kepadamu ini wahai Ibn Abbas. Kemudian para sahabat taajub ketika mendengar cerita perjalanan hidupku itu.”

Salman sibuk bekerja sebagai seorang hamba. Dan inilah yang menyebabkan Salman tidak dapat menyertai perang Badar dan Uhud. “Pada suatu Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku, ‘Mintalah kepada majikanmu untuk bebas, wahai Salman!’ Maka majikanku bersetuju membebaskan aku dengan tebusan 300 pohon kurma yang harus aku tanam untuknya dan 40 uqiyah (emas).

Bantuan Pokok Kurma

Kemudian Rasulullah s.a.w. mengumpulkan para sahabat dan bersabda: ‘Berilah bantuan kepada saudara kamu ini.’ Mereka pun membantuku dengan memberi pohon (tunas) kurma. Seorang sahabat ada yang memberiku 30 pohon, atau 20 pohon, ada yang 15 pohon, dan ada yang 10 pohon, masing-masing memberikanku pohon kurma sesuai dengan kadar kemampuan mereka, sehingga terkumpul sebanyak 300 pohon.

Setelah terkumpul, Rasulullah bersabda kepadaku, ‘Berangkatlah wahai Salman dan tanamlah pohon kurma itu untuk majikanmu, jika telah selesai datanglah ke sini aku akan meletakkannya di tanganku.’ Aku pun menanamnya dengan dibantu para sahabat.

Setelah selesai aku menghadap Rasulullah s.a.w. dan memberitahukan perihalku. Kemudian Rasulullah s.a.w. keluar bersamaku menuju kebun yang aku tanami itu. Kami dekatkan pohon (tunas) kurma itu kepada baginda dan Rasulullah s.a.w. pun meletakkannya di tangannya. Maka, dengan izin Allah,  tidak ada sebatang pokok pun yang mati.

Emas Sebesar Telur Ayam

Pokok kurma sudah kutanam, aku masih mempunyai tanggungan wang sebesar 40 uqiyah. Kemudian Rasulullah s.a.w. membawa emas sebesar telur ayam hasil daripada rampasan perang. Lantas Baginda bersabda: ‘Apa yang telah dilakukan Salman al-Farisi?’ Kemudian aku dipanggil oleh Baginda, lalu Baginda bersabda,’ Ambillah emas ini, gunakan untuk melengkapi tebusanmu wahai Salman!’

‘Wahai Rasulullah s.a.w. bagaimana status emas ini bagiku?’ Rasulullah menjawab, ‘Ambil saja! Insya-Allah, Allah s.w.t. akan memberi kebaikan kepadanya.’ Kemudian aku menimbang emas itu. Dengan izin Allah berat ukuran emas itu 40 uqiyah. Kemudian aku dipenuhi tebusan yang harus aku serahkan kepada majikanku, dan aku dimerdekakan.

Setelah itu aku turut serta bersama Rasulullah s.a.w. dalam perang Khandaq, dan sejak itu tidak ada satu peperangan yang tidak aku ikuti.”

(38 Riwayat Ahmad, 5/441;al-Thabrani dalam al-Kabir (6/222); Ibn Sa’ad dalam al-Thabagat, 4/75; al- Baihaqi dalam al-Kubra, 10/323)

PENGAJARAN

  1. Mentaati kedua-dua orang tua akan menyebabkan dicintai oleh orang ramai.
  2. Dipenjara, dipukul, dan dirantai adalah cara musuh Islam menghalangi kaum Muslimin daripada menegakkan agama Allah.
  3. Jika gigih memperjuangkan keimanan maka urusan dunia akan menjadi mudah.
  4. Hendaklah seorang Mukmin sentiasa bersedia dari segi mental menghadapi sebarang kemungkinan.
  5. Kadang-kadang orang jahat menyamar sebagai orang baik-baik.
  6. Jalan mencapai ilmu tidak akan dapat ditempuh melainkan dengan sentiasa dekat dengan orang yang berilmu.
  7. Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Allah memberikan jalan keluar daripada masalah hidupnya.
  8. Ukuran keimanan seseorang adalah mencintai dan membenci kerana Allah.
  9. Antara akhlak terpuji para nabi adalah mendengar dengan baik seseorang yang sedang bercakap.
  10. Seorang pemimpin hendaklah sentiasa memantau keadaan orang bawahannya.
  11. Dibolehkan membeli hamba daripada tawanan perang, menghadiahkan dan memerdekakannya.
  12. Saling tolong-menolong ialah gambaran yang wujud dalam hidup bermasyarakat.

Sumber: 101 Kisah dan Pengajaran daripada al-Quran, al-Hadis dan Hayatus Sahabah oleh Zahazan Mohamed

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑