Kebahagiaan
1. Kebahagiaan itu merupakan syurga impian, yang dirindukan oleh setiap orang. Sejak dari ahli fikir yang berada di puncak pemikiran dan renungannya, sampai kepada rakyat biasa yang hidup dalam serba kekurangan dan kesederhanaan. Sejak dari raja-raja yang bersemayam dalam mahligai dan istana yang indah, sampai kepada kaum miskin melarat, yang berdiam dalam tempat kecil, semuanya merindukan kebahagiaan. Kami mengira, tidak ada seorangpun yang menginginkan atau mencari nasib malang, dan tidak ada pula yang merasa puas dengan kesengsaraan hidupnya.
Di Mana Letaknya Bahagia?
2. Maka timbullah pertanyaan: “Di manakah letaknya kebahagiaan?” Persoalan ini sejak dari zaman purba sampai sekarang, tetap menjadi teka-teki, yang belum terjawab. Atau ada jawaban yang berbeza jauh antara satu dengan yang lain. Banyak orang yang mencari kebahagiaan, tetapi dicarinya bukan ditempatnya kebahagiaan itu terletak. Akibatnya, bagai orang mencari mutiara di gurun pasir, lalu pulang sahaja dengan hampa tangan. Dia kembali hanya membawa keletihan badan, kekecewaan perasaan, kesal dan putus harapan.
3. Sepanjang masa, manusia telah mencari dan mencuba memperolehi kebahagiaan dalam bermacam-macam kebendaan dan beraneka ragam kesenangan dunia. Diturutkannya syahwat dan nafsu, dipenuhinya keinginan dan kepuasan kebendaan. Tetapi sayang, mereka tidak memperoleh bahagia. Tidak merasakan kebahagiaan, menurut erti yang sesungguhnya, atau sebagai yang diinginkannya. Kalau dia beruntung dapat merasainya, tetapi itu hanya sebentar sahaja dan sepintas lalu. Bahkan setiap yang diperolehnya, berakibat menambah kemasyghulan, kesulitan, kekecewaan dan kesedihan baru, padahal sebelumnya tidak ada dan tidak dikiranya.
4. Apakah hidup berbahagia itu dapat dicapai dengan kesenangan dan kecukupan barang-barang benda? Memang segolongan manusia yang berpendapat begitu. Dikiranya kebahagiaan terletak dalam kumpulan kekayaan dan tumpukan harta-benda, kecukupan hidup, kesenangan dan kemewahan dalam segala bentuk. Tetapi dalam kenyataannya, perhatikanlah bangsa-bangsa yang telah tinggi tingkat penghidupannya, telah cukup segala keperluan kebendaan, dan semuanya telah diperoleh dengan segala kemudahan, seperti makanan, minuman, pakaian, kediaman dan kenderaan! Segalanya ada dan serba cukup. Tidak kedengaran lagi keluhan kerana kesulitan dan kepahitan hidup. Tetapi anehnya, mereka masih merasa sempit dan tersepit, sehingga memandang perlu mencari jalan, untuk memperoleh kebahagiaan. Rupanya mereka masih merasa belum berbahagia dalam hidupnya.
Bahagia Bukan Dalam Kebendaan
5. Sebagai contoh, kita kemukakan di sini apa yang ditulis oleh Pemimpin Redaksi Majalah “Ros El Yusuf”, sebuah majalah yang biasanya tidak memperhatikan persoalan-persoalan kerohanian. Tulisan itu berjudul; “Penduduk Syurga Bukanlah Orang-Orang Yang Berbahagia” Yang dimaksudnya dengan penduduk itu ialah penduduk negeri Sweden, yang hidup dalam tingkat ekonomi yang tinggi, hampir merupakan impian. Setiap penduduk Sweden dalam kehidupannya tidak merasa takut dan cemas terhadap kemiskinan, pengangguran dan kesengsaraan di hari tua. Tidak perlu cemas terhadap semua kesulitan dalam lapangan penghidupan kebendaan. Negara memberikan jaminan yang cukup besar dalam segala keperluan hidup, sehingga bagaimana juapun tidak perlu ada kekhuatiran akan mengalami kesulitan dalam segala bidang kehidupan kebendaan.
6. Setiap orang di Sweden mempunyai penghasilan per kapita yang cukup besar, sehingga dapat melenyapkan dalam kenyataannya perbezaan tingkat penghidupan rakyat dalam masyarakat. Disediakan jaminan kesihatan dan sosial yang tidak didapati di negara-negara lain. Setiap penduduk berhak mempunyai mata pencarian yang cukup, bantuan kesihatan, bantuan kemahiran, bantuan perumahan dan bantuan untuk orang-orang buta, bantuan wang dan pengubatan di rumah sakit tanpa bayaran. Selanjutnya bantuan “keibuan” bagi kaum wanita, seperti perbelanjaan melahirkan anak, pemeliharaan di rumah sakit dan bantuan-bantuan yang diperlukan untuk pemeliharaan bayi yang baru dilahirkan.
7. Demikian pula bantuan sosial terhadap orang yang kehilangan mata pencarian atau mendapat kecelakaan dalam bekerja. Jaminan-jaminan itu jauh melebihi jaminan yang ada di negara manapun. Bantuan terhadap anak-anak dan pemuda-pemuda seolah-olah merupakan impian, kerana terhadap anak-anak sampai berumur enam belas tahun, diberikan bantuan wang dan pemeliharaan kesihatan percuma. Pengangkutan ke mana-mana tanpa bayaran, bagi mereka sampai berumur empat belas tahun. Pelajaran dan pendidikan di semua tahap, di samping tidak bayar wang sekolah dan segala keperluan pelajaran, dapat pula bantuan pakaian dan bantuan kewangan bagi yang tidak mampu. Dan selanjutnya pinjaman yang cukup banyak, bagi pelajar-pelajar yang rajin dan cerdas.
8. Penduduk yang akan melangsungkan perkahwinan diberikan pinjaman yang cukup untuk perbelanjaan mendirikan rumahtangga dengan kadar faedah yang ringan dan dibayar dalam masa lima tahun. Pendeknya, penduduk Sweden terjamin hidupnya dan memenuhi segala keperluannya oleh negara. Perbelanjaan yang paling besar dalam anggaran Belanja Negara ialah untuk Kementerian Sosial dan Kementerian Pendidikan. Demikian gambaran singkat, tentang kemakmuran hidup penduduk negara Sweden, yang disebut oleh pengarang tadi sebagai “Penduduk Syurga“.
9. Tetapi anehnya, keadaan demikian senang, begitu makmur serta kehidupan yang selesa penduduk di sana, namun orangnya masih hidup susah, berkeluh-kesah, mengeluh dan kesal, serta ada yang sampai berputus asa. Akibatnya, banyak yang melarikan diri dari hidup yang dirasanya penuh kesulitan dan kepayahan itu dengan jalan membunuh diri. Cara yang demikian yang dipergunakan oleh beratus-ratus dan bahkan beribu-ribu orang sebagai jalan keluar dari kesulitan.
10. Pada penutup tulisannya, pengarang tadi mengambil kesimpulan, yang merupakan suatu kenyataan, bahawa rahsia tersembunyi di balik kesusahan dan kegelisahan itu hanya satu, iaitu; “ketiadaan iman.” Amerika negeri yang kaya-raya, timbunan emas dan tumpukan harta, serta penuh dengan kemewahan dan berpeleseran segala rupa, dalam pandangan ahli-ahli masyarakat sana, yang mempunyai tinjauan yang dalam, digambarkannya sebagai suatu keburukan yang berselimutkan keindahan. Itulah akibatnya kehilangan iman dan keruntuhan moral, budi dan kemanusiaan.
11. Maka dapat dijadikan alasan dan kenyataan, bahawa harta yang banyak bukanlah suatu kebahagiaan dan bukan unsur pertama untuk dapat hidup berbahagia. Bahkan harta yang banyak, mungkin pula menjadi bencana dan malapetaka bagi yang mempunyainya. Diterimanya bahaya di dunia ini, sebelum datang hari akhirat. Sebab itu, diperingatkan oleh Tuhan tentang keadaan kaum munafiq, dalam firman-Nya:
فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَٰلُهُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُهُمْ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَـٰفِرُونَ(٥٥)
Maksudnya: Harta-benda dan anak-anak mereka (kaum munafiq) janganlah engkau mengkagumi mereka, kerana Allah hendak menyeksa mereka dengan itu dalam kehidupan dunia dan akan hilang nyawanya ketika mereka dalam keadaan tidak beriman.
(Surah Al-Taubah 9:55)
Anak Dan Harta Benda
12. Walaupun demikian, perlu kita ketahui, bahawa harta itu diperlukan dalam hidup ini, bahkan menjadi pokok dalan memenuhi berbagai keperluan hidup. Tetapi kita tidak boleh menganggap bahawa kebahagiaan itu terletak dalam kekayaan. Dan harta bukanlah satu-satunya kunci ke- bahagiaan. Kalau begitu, adakah kebahagiaan kerana mempunyai anak? Memang anak-anak itu bunga kehidupan, perhiasan dunia dan tumpuan harapan masa depan. Tetapi, tidak sedikit jumlahnya anak-anak yang mendatangkan bencana kepada ibu-bapanya, membalas kasih-sayang dengan kederhakaan. Air susu dibalas dengan air tuba (racun). Bahkan tidak sedikit pula, bapa yang dibunuh oleh anaknya sendiri, kerana lobanya untuk memperoleh kwkayaan besar dengan cepat dari pusaka ayahnya.
13. Jumlah ibu bapa yang menderita penyakit lahir dan ke sengsaraan batin, disebabkan tingkah-laku anaknya, sesungguhnya, tidak sedikit. Contoh di mana-mana cukup banyak. Sebab itu, diperingatkan oleh Tuhan kepada genap ibu-bapa, supaya sentiasa memohon kepada Tuhan, untuk dikurniaiNya keluarga dan keturunan yang baik, sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an:
وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍۢ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا(٧٤)
Maksudnya: Dan mereka memohonkan do’a: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami, isteri dan keturunan yang menjadi cahaya mata (menyenangkan hati), dan jadikanlah kami pimpinan (ikutan) bagi orang-orang yang memelihara dirinya dari kejahatan!”
(Surah Al-Furqan 25:74)
Pengetahuan Dan Teknologi
14. Adakah kebahagiaan itu dalam ‘ilmu pengetahuan dan teknologi? Adakah ilmu dan teknologi yang telah berjasa besar kepada manusia, mendekatkan yang jauh dan memudahkan hal yang sulit, akan dapatkah menjamin kebahagiaan hidup manusia? Seorang pujangga Barat, di samping pandangan yang materialistik, telah mengambil suatu kesimpulan, bahawa manusia dalam perjuangannya dengan alam, sesungguhnya telah mencapai kemenangan dengan senjata ‘ilmu pengetahuan. Tetapi, dalam perjuangan melawan nafsunya sendiri, belum mengarah kepada kemenangan, sedang senjata ‘ilmu pengetahuan tidak dapat menolongnya. Diakuinya, bahawa hanya agama yang dapat dijadikan kawan dalam perjuangan ini (melawan pengaruh nafsu).
15. Kalau begitu, di manakah terletaknya kebahagiaan? Kebahagiaan sebenarnya terletak dalam diri manusia itu sendiri. Bahagia bukan dalam harta yang banyak, bukan dalam kekuasaan dan kemuliaan, bukan dalam memperoleh berbagai macam kesenangan, kesenangan dan kemewahan. Bukan pula dalam ilmu pengetahuan tentang kebendaan. Kebahagiaan itu suatu hal yang abstrak (tidak dapat dirasa), tidak dapat dilihat mata, tidak dapat dihitung dengan jumlah angka-angka, tidak dapat disimpan dalam gudang, tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, pound dan dollar. Kebahagiaan itu suatu hal yang dirasakan oleh manusia dalam batinnya sendiri, bukan didatangkan dari luar, iaitu jiwa yang bersih, hati yang tenteram, fikiran yang lapang dan perasaan tenang. Pada hakikatnya, kebahagiaan itu adalah suatu yang tumbuh dan bersemi dalam diri manusia, dan bukan didatangkan dari luar.
Suami Isteri
16. Menurut cerita, ada seorang suami yang marah kepada isterinya dan dengan cepat mengucapkan ancaman, katanya: “Nanti saya akan melenyapkan kebahagiaanmu.” Isteri menjawab dengan tenang: “Anda tidak sanggup melenyapkan kebahagiaanku sebagaimana anda tidak sanggup memberikan kebahagiaan kepadaku.” Suaminya bertanya dengan hati kesal: “Mengapa aku tidak akan sanggup melenyapkan kebahagiaanmu?” Isterinya menjawab dengan penuh keyakinan: “Kalau seandainya kebahagiaanku terletak dalam perbelanjaan, tentu anda akan sanggup menghilangkannya. Dan kalau terletak dalam pakaian dan perhiasan, tentu anda juga sanggup menahannya. Tetapi kebahagiannku adalah sesuatu yang bukan kepunyaan anda dan tidak dapat anda kuasai, baik anda sendiri ataupun orang lain.” Suaminya bertanya dengan penuh kehairanan: “Di mana itu kebahagiaan?” Isterinya menjawab dengan penuh keyakinan: “Sesungguhnya aku memperoleh kebahagiaan dalam keimananku. Dan imanku itu dalam hatiku. Tiada seorang pun yang dapat menguasai hatiku, selain dari Tuhanku.”
17. Kita tidak membantah, bahawa barang-barang kebendaan mempunyai kedudukan penting untuk mencapai kebahagiaan. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah bersabda:
منْ سَعَادَةِ ابْنِ آدَمَ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، وَالْمَسْكَنُ الصَّالِحُ
وَالْمَرْكَبُ الصَّالِحُ. (رواه أحمد)
Maksudnya: Termasuk kebahagiaan hidup seseorang manusia, ialah memperoleh isteri yang baik, kediaman yang baik dan kenderaan yang baik.
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)
18. Sudah terang, suatu kenyataan yang tidak dapat dibantah bahawa hal-hal yang dapat menghilangkan kebahagiaan seseorang, di antaranya isteri yang jahat dan buruk tingkahlakunya, kediaman yang sempit dan kotor, kenderaan yang buruk dan perhubungan yang sukar. Semuanya sangat menyusahkan dan menyesalkan hati. Sebagai kesimpulan singkat, kebahagiaan itu dapat digambarkan bagai sebuah pohon yang rindang. Tempat tumbuh ialah jiwa dan perasaan kemanusiaan (hati nurani). Keimanan ada Allah itulah pengairan dan makanannya, menjadi udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya.
Iman Sumber Kebahagiaan
19. Hanyalah keimanan yang dapat memancarkan ke dalam hati manusia sumber-sumber kebahagiaan, yang dirindukan oleh setiap orang. Kebahagiaan baru menjadi suatu kenyataan yang dapat dirasakan, hanyalah jika ada ketenangan, ketenteraman, keamanan batin, pengharapan, kepuasan, cita-cita dan kasih-sayang. Untuk semua itu iman yang menjadi sumbernya. Tanpa ada keimanan, hal-hal di atas hanyalah dapat menjadi sebutan dan harapan kosong belaka. Dengan iman, tercipta keamanan zahir dan batin.
20. Tuhan mengajarkan, bahawa kebahagiaan di dunia yang disebut “kehidupan yang baik” hanyalah akan diperoleh dengan keimanan dan perbuatan baik, sebagai disebutkan dalam firmanNya:
مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ
Maksudnya: Dan siapa yang mengerjakan perbuatan baik, lelaki atau wanita, sedang dia beriman, nescaya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…..
(Surah Al-Nahl 16: 97)
21. Taman syurga di hari akhirat juga dengan iman dan ‘amal salih, sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an:
وَبَشِّرِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ
Maksudnya: Dan sampaikanlah berita gembira. kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan ‘amal salih (perbuatan baik), bahawa mereka akan memperoleh taman syurga yang me- ngalir di dalamnya sungai-sungai…..
(Surah Al-Baqarah 2:25)
Sumber: Iman dan Kehidupan oleh Dr. Yusuf Al-Qaraqawi
Leave a comment