Kisah Musa a.s dan Malaikat Pencabut Nyawa

Daripada Abu Hurairah r.a., ketika itu beliau menyebutkan beberapa hadis, antaranya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Pada suatu ketika Izrail, malaikat maut diutus Allah SWT kepada Nabi Musa a.s., dia berkata, ‘Sahutlah panggilan Tuhanmu.’ 

Tamparan Musa a.s.

Malaikat maut tersebut lantas ditampar oleh Nabi Musa a.s. hingga buta kedua-dua matanya. Malaikat kembali kepada Allah SWT dan berkata, ‘Ya Allah, Engkau telah menghantar aku kepada seorang hamba yang tidak ingin mati, dan dia mencucuk mataku.’

Kemudian Allah mengembalikan penglihatannya dan berfirman, ‘Kembalilah dan katakan, ‘Adakah kamu masih ingin hidup? Jika begitu, letakkan tanganmu di belakang lembu. Untuk setiap bulu yang tertutup oleh tanganmu, engkau masih berkesempatan hidup selama satu tahun.’

Musa bertanya,’ Setelah itu?’ Dia menjawab, ‘Kemudian kamu akan mati!’ Musa berkata, ‘Kalau begitu sekarang kematian itu sudah dekat!’ Dia pun memohon kepada Allah SWT supaya mematikannya dekat Baitul Maqdis dengan jarak satu lemparan batu.”

Makam Musa a.s.

Rasulullah s.a.w. seterusnya bersabda, “Jika sekiranya aku berada di sana akan kutunjukkan kepadamu makamnya, iaitu di pinggir jalan berhampiran tompokan-tompokan pasir merah.”

(Riwayat al-Bukhari, 1339; Ahmad, 2/269)

Pengajaran

  1. Para nabi dan rasul diberi kesempatan untuk memilih antara kematian atau ingin terus hidup.
  2. Malaikat boleh mengubah bentuk dengan menyamar sebagai manusia.
  3. Boleh melawan atau memukul orang yang menyerang terlebih dahulu, jika serangannya itu boleh membawa kepada kemudaratan, sebagaimana disebutkan dalam sunah. Jika seseorang itu mati kerana mempertahankan diri maka matinya itu merupakan syahid.
  4. Kematian adalah suatu kepastian dan tidak mungkin dapat dielakkan.
  5. Nabi Musa mempunyai kedudukan yang tinggi di hadapan Allah SWT, sebagaimana ketika dia menampar malaikat pencabut nyawa lalu Allah menjadikan matanya buta. sekiranya bukan kerana tingginya kedudukan Musa di sisi Allah SWT tentulah malaikat akan membalas tamparannya.
  6. Allah SWT memuliakan seorang hamba-Nya yang Mukmin dan bertakwa, kemudian Allah akan melebihkan kedudukannya dengan melimpahkan kebaikan dan nikmat kepadanya.
  7. Disunatkan menguburkan jenazah di tempat-tempat yang suci seperti Baitul Maqdis dan negeri-negeri yang penuh berkah atau di kuburan orang soleh.
  8. Makam Nabi Musa a.s. terletak berdekatan dengan Baitul Maqdis jaraknya lebih kurang satu lontaran batu.

Sumber: 101 Kisah & Pengajaran Daripada Al-Quran, Al-Hadis & Hayatus Sahabah oleh Zahazan Mohamed

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑