Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Terima Kasih Pembayar Zakat

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّۭا كَأَنَّهُم بُنْيَـٰنٌۭ مَّرْصُوصٌۭ (٤)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.

Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Terima Kasih Pembayar Zakat”.

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah

Sejak penubuhan Pusat Zakat Negeri Selangor pada tahun 1994 yang kemudian ditukar kepada Lembaga Zakat Selangor pada tahun 2006, ia menjadi institusi tunggal yang menguruskan zakat di negeri Selangor sebagai mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah dilantik untuk mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam urusan agama. Atas dasar itu, maka Lembaga Zakat Selangor hakikatnya adalah amil yang dilantik sebagai wakil kepada Ulil-Amri (pemerintah) iaitu Duli Yang Maha Mulia dalam memastikan ibadah zakat dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur di negeri ini.

Banyak inovasi, pemodenan dan penambahbaikan dalam pengurusan zakat telah dilakukan dari semasa ke semasa, baik dalam bidang kutipan zakat, aspek agihan zakat, pembangunan asnaf mahu pun melibatkan pengurusan zakat secara umumnya. Ia meliputi aspek fatwa, penggunaan teknologi dan penerapan tadbir urus korporat yang berkesan dan bertepatan dengan piawaian dan panduan Syariah. 

Dalam bidang kutipan zakat misalnya, dengan kerjasama Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (JKFNS), pelbagai fatwa berkaitan dengan hukum hakam dan isu kontemporari zakat telah dikeluarkan dari semasa ke semasa demi memenuhi keperluan umat Islam di Selangor. Ini terbukti pada tahun 2002, Fatwa Zakat Pendapatan pertama kalinya telah dikeluarkan dan ia kemudiannya telah ditambah baik beberapa kali pada tahun 2010 dan 2017. Malah pada tahun 2021, Fatwa Zakat Harta Digital (Mata Wang Kripto) telah diperhalusi dan dikemukakan kepada masyarakat awam. Perkara ini menunjukkan kesungguhan Lembaga Zakat Selangor dalam mendepani perubahan zaman. 

Dalam mendepani perkembangan teknologi baru Lembaga Zakat Selangor telah mengintegrasikan kecanggihan teknologi yang ada untuk memudahkan urusan pembayaran dan pengagihan zakat. Apa yang berlaku, pada hari ini, aplikasi E-Zakat Online (EZO) telah dilancarkan dan ia memudahkan kedua-dua pihak, iaitu pembayar zakat dan para asnaf yang menerima bantuan. Semua taksiran zakat, transaksi dan juga rekod lampau dapat disemak dan dirujuk oleh pengguna aplikasi tersebut dengan mudah. Bagi pemohon bantuan zakat, mereka boleh menyemak status permohonan zakat dan membuat tindakan susulan yang perlu jika mendapati permohonannya bermasalah.

Demikian juga dalam aspek tadbir urus, pengurusan zakat menerapkan pengurusan korporat yang mementingkan kecekapan, kredibiliti dan menjangkau masa hadapan (futuristik) serta mematuhi piawaian dan ketetapan Syariah. Mengutamakan urusan pengagihan zakat, Lembaga Zakat Selangor sentiasa melihat apakah bentuk bantuan yang terbaik demi memenuhi keperluan asnaf dalam jangka masa panjang dan bagaimana ia mampu membina kehidupan mereka secara mandiri dan konstruktif berpandukan peraturan dan panduan Syarak.

Lalu lahirlah beberapa tindakan yang memberi penumpuan agihan zakat dalam bentuk program ekonomi, sosial dan pendidikan yang menumpukan kepada pembinaan kemahiran, ilmu dan daya saing asnaf. Selain itu, agihan dalam bentuk manfaat juga dijana, agar asnaf mampu mendapat hak mereka dengan lebih baik. Hal ini diterjemahkan melalui penubuhan Baitul Salam sebagai rumah perlindungan asnaf muallaf dan Program Sekolah Angkat (PROSA) yang memfokuskan kepada pendidikan anak-anak asnaf. 

Hadirin Jemaah yang dirahmati Allah SWT, 

Kesedaran pembayar-pembayar zakat telah dilihat melalui kutipan zakat yang hanya memperoleh kutipan berjumlah RM757.1 juta pada tahun 2017, dan ia meningkat pada tahun 2022 dengan perolehan melebihi RM 1 billion. Begitu jugalah dalam aspek agihan, pada tahun 2017, agihan hanyalah dibuat sejumlah RM616.5 juta sahaja. Alhamdulillah pada tahun 2022, RM1.05 billion mampu kita agihkan. Mudah-mudahan, peningkatan data-data ini menunjukkan bahawa pengurusan zakat di negeri ini berada di landasan yang betul, pendekatannya adalah berkesan dan ia perlu dikekalkan. Moga taufiq dan pertolongan Allah SWT akan sentiasa mengiringi pengurusan Lembaga Zakat Selangor dalam menjaga amanah umat Islam ini. 

Data juga menunjukkan berlaku peningkatan jumlah pembayar zakat dan juga penerima zakat. Pada tahun 2017, terdapat seramai 278,668 bilangan pembayar zakat harta di Selangor, dan pada tahun 2022 ia meningkat kepada 458,000 ribu orang. Manakala dalam agihan zakat, pada tahun 2017, terdapat sebanyak 45,471 buah keluarga penerima zakat kategori fakir dan miskin, dan semakin bertambah pada tahun 2022 mencapai 63,000 buah keluarga yang telah direkodkan. 

Jumlah ini menunjukkan bahawa kesedaran umat Islam tentang adanya hak bagi orang-orang fakir dan miskin dalam kalangan umat Islam. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa Lembaga Zakat Selangor amat serius mengenal pasti data-data kemiskinan di negeri ini dan berusaha memastikan lebih ramai yang memerlukan dibantu dengan sebaik mungkin. 

Tanggungjawab ini dilaksanakan dengan mengaktifkan pelbagai gerak kerja dan program seperti Operasi Jejak Kemiskinan melalui kerjasama erat pelbagai pihak di lapangan, sama ada masjid, surau, sekolah, NGO dan persatuan penduduk. 

Hadirin Jemaah yang dirahmati Allah SWT, 

Hakikatnya, dengan kemampuan mengagihkan zakat sebanyak RM1.05 billion dan membuat kutipan zakat sebanyak RM1.07 billion pada tahun 2022, jelas menunjukkan dengan izin dan pertolongan daripada Allah ‘Azza Wajalla, pengurusan Zakat Selangor mendapat thiqah (kepercayaan) rakyat negeri Selangor untuk melaksanakan amanah yang berat ini. 

Semua ini diperolehi dengan pertolongan dan bantuan daripada Allah serta susah payah dan penuh perjuangan para amil yang berkhidmat di Lembaga Zakat Selangor di pelbagai peringkat. Sejajar dengan usia 30 tahun Zakat Selangor pada tahun 2024, maka pengurusan Zakat Selangor sedar bahawa kunci kejayaan ini adalah dengan sentiasa memohon pertolongan daripada Allah SWT, beramanah dan istiqamah memberikan khidmat yang terbaik, khususnya dalam aspek agihan zakat. Apabila para muzakki merasa tenang hati dan yakin serta penuh kepercayaan kepada Lembaga Zakat Selangor, mereka akan terus menunaikan zakat melalui para amil Lembaga Zakat Selangor dan tidak menyalurkannya secara sendiri tanpa kawalan dan panduan. 

Pada kesempatan ini, mewakili Pengurusan Zakat Selangor tidak lupa ingin mengucapkan jazakumullahu khairan wabarakallahu fiikum dan jutaan terima kasih kepada semua pembayar zakat di negeri ini atas kesetiaan dan kepercayaan yang telah diberikan selama ini. Lembaga Zakat Selangor menyeru dengan penuh rasa tanggungjawab dan pengharapan yang tinggi, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk menjadikan pengurusan zakat di negeri ini terus kekal sebagai institusi pengurusan zakat contoh kepada pihak lain, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. 

Segala teguran, idea dan cadangan yang bernas kepada Lembaga Zakat Selangor demi maslahah ummah adalah sangat dialu-alukan dan jika menemui orang-orang yang layak dibantu, laporkanlah segera kepada Lembaga Zakat Selangor melalui pelbagai medium yang tersedia. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 2:

…تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ (٢) 

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”

(al-Ma’idah 5:2)

Hadirin Jemaah yang dirahmati Allah sekalian,

Pengajaran daripada khutbah hari ini ialah: 

1. Umat Islam hendaklah memahami bahawa zakat itu amat besar peranannya dalam memberi manfaat dan memelihara maslahah umat Islam.

2. Umat Islam juga hendaklah menyedari bahawa pengurusan institusi zakat yang baik dan sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT dalam melaksanakan amanah agama-Nya akan menatijahkan kebaikan yang banyak kepada umat Islam di negeri ini.

 3. Lembaga Zakat Selangor selaku institusi yang diamanahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk menguruskan zakat perlulah diberikan kepercayaan, sokongan dari sudut doa, moral dan material agar institusi penting umat Islam ini dapat menjalankan fungsinya dengan sebaikbaiknya serta sentiasa berada di atas landasan yang diredhai oleh Allah SWT. 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمْ رَٰكِعُونَ (٥٥)

“Sesungguhnya penolongmu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orangorang yang beriman, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku’ (tunduk menjunjung perintah Allah).” (al-Maidah 5:55)

Tarikh Dibaca: 6 Syaaban 1445H/16 Februari 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑