أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًۭا (٣٢)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita dibangkitkan dalam kalangan orang yang bertakwa di akhirat kelak. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang lalai seperti menggunakan telefon atau berbual-bual ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Semoga Allah SWT menerima amal ibadah kita.
Mimbar mengingatkan para jemaah sekalian, marilah kita istiqamah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau dan bersama-samalah menyemarakkan kempen “subuh macam Jumaat” yang diadakan di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan.
Semoga kita tergolong bersama hamba-hamba Allah SWT yang tekun mengimarahkan rumah Allah serta mendapat limpahan rahmat dan berkat daripada-Nya.
Mutakhir ini, perbuatan dosa dan maksiat dalam kalangan masyarakat seolah-olah dianggap perkara biasa dan dipandang sebelah mata. Justeru, tajuk khutbah pada hari ini ialah, “Cegah Normalisasi Kemungkaran”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Perbuatan maksiat dan perlakuan dosa sangat dilarang oleh agama Islam. Ia membawa kepada kerosakan akidah dan keruntuhan akhlak bagi mereka yang terlibat dengan perbuatan tersebut. Di antara perbuatan maksiat yang menghancurkan masa hadapan ummah ialah perbuatan zina dan perkara-perkara yang mendorong ke arahnya. Pada hari ini, pengaruh daripada media sosial telah banyak membawa kesan-kesan negatif apabila ia begitu mudah menjadi medium untuk menyebarkan elemen-elemen seks bebas dan lucah secara terbuka oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.
Sedarlah bahawa Allah SWT telah memperingatkan kita melalui firman-Nya dalam surah al-Isra’, ayat 32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan.”
(al-Isra’ 17:32)
Setiap umat Islam bertanggungjawab untuk menghindari perbuatan zina ini. Ia termasuk dosa besar yang sangat ditegah oleh Islam. Selain jengkel dan menjijikkan, ia juga akan membawa kepada kerosakan nasab keturunan dan dalam masa yang sama meruntuhkan akhlak dan moral umat Islam.
Alangkah sedihnya kita apabila perbuatan zina ini dijadikan hiburan, hobi, tabiat bahkan sesetengah individu menjadikan ia sebagai sumber pendapatan yang lumayan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Amat menyedihkan apabila melihat sensitiviti umat Islam hari ini terhadap perbuatan dosa dan maksiat semakin hilang. Mereka yang terlibat dengan gejala negatif tersebut tanpa segan silu mendedahkannya kepada orang lain dan ditularkan pula di media-media sosial. Lebih menggusarkan lagi apabila sesetengah anak-anak muda bagaikan menjadikan golongan ini sebagai pempengaruh media sosial. Ini suatu trend yang membimbangkan kerana ia membawa kepada normalisasi terhadap perlakuan dosa dan maksiat, seolah-olah ia dianggap sebagai perkara yang kecil.
Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas’ud Radiallahuanhu pernah berkata yang maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosa-dosanya seperti dia duduk di bawah gunung, dia takut ia akan menimpanya, dan sesungguhnya orang fajir (yang selalu berbuat dosa) itu melihat dosa-dosanya hanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam usaha menangani normalisasi perlakuan maksiat dan dosa khususnya yang berleluasa di media-media sosial, pihak-pihak berwajib yang bertanggungjawab memantau dan mengawal segala aktiviti di media sosial mesti bertindak dengan lebih serius dan tegas akan perkara ini.
Dalam masa yang sama ia turut menjadi tanggungjawab sosial kepada setiap warganegara untuk cakna dan turut sama membasmi perkara ini.
Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri Radiallahuanhu, bahawa Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat suatu kemungkaran, maka dia hendaklah mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Perkara yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”
Sekiranya tanggungjawab ini dilaksanakan oleh semua umat Islam, tentulah maksiat dan kemungkaran itu dapat dibendung, tidak lagi dinormalisasikan dalam kalangan masyarakat yang kurang ilmu pengetahuan agama. Sesungguhnya perbuatan makruf yang paling besar dan utama untuk dibudayakan ialah mencegah kemungkaran itu sendiri.
Sidang Jemaah yng dirahmati Allah,
Kita harus sedar bahawa perbuatan yang membawa kepada maksiat, pergaulan bebas lelaki dan perempuan, melayari laman web yang tidak senonoh dan sebagainya mesti diperangi habis-habisan. Pemantauan yang berterusan terhadap aktiviti anak-anak di luar rumah atau di dunia maya mesti kita lakukan setiap masa. Dalam usaha untuk membasmi fenomena dan gejala maksiat yang berleluasa ini, tidak ada jalan pintas lain melainkan pendidikan agama dan pembangunan sahsiah insan sebagai seorang muslim sejati. Didikan Islam yang sempurna agar ia menjadi benteng kepada mereka daripada terlibat dengan perbuatan maksiat dan tidak bermoral.
Kita juga hendaklah menyokong dan bekerjasama dengan pihak berwajib dalam memastikan anak-anak muda dan jiran tetangga dalam komuniti setempat terhindar daripada gejala-gejala sosial. Islam juga mendidik kita untuk menyemai perasaan malu terhadap Allah SWT daripada melakukan perkara-perkara yang telah dilarang-Nya.
Budayakan sifat malu dalam diri anak-anak terhadap Allah SWT daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar sejak usia merekamasih kecil lagi. Renunkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Ummu Salamah Radiallahuanha, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya antara yang sampai kepada manusia daripada kata-kata (nasihat) kenabian yang awal (terdahulu ialah); “Sekiranya kamu tiada rasa malu, maka berbuatlah apa sahaja yang kamu mahu.”
Sesungguhnya rasa malu itu adalah sebahagian daripada iman. Ia mampu menjadi perisai yang melindungi manusia daripada melakukan perbuatan keji dan munkar sama ada ketika bersendirian atau di khalayak ramai kerana rasa malu kepada Allah SWT dan beriman kepada-Nya sebagai Tuhan Yang Menghakimi manusia di hari pembalasan kelak.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Pihak bertanggungjawab hendaklah menggiatkan lagi usaha pencegahan maksiat dan zina khususnya penguatkuasaan di media-media sosial secara lebih serius dan tegas.
Kedua: Sebagai umat Islam, kita bertanggungjawab memberikan pendidikan akidah, syariat dan akhlak dalam diri anak-anak dan ahli keluarga demi memastikan kehidupan mereka terpelihara daripada perbuatan keji dan mungkar.
Ketiga: Tegakkan amar makruf dan nahi mungkar dalam keluarga, masyarakat dan negara demi memastikan negara kita terhindar daripada normalisasi perbuatan maksiat dan dosa.
Mengakhiri khutbah, hayati firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 135:
وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا۟ فَـٰحِشَةً أَوْ ظَلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا۟ ٱللَّهَ فَٱسْتَغْفَرُوا۟ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلُوا۟ وَهُمْ يَعْلَمُونَ (١٣٥)
Bermaksud: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”
(Ali ‘Imran 3:135)
Tarikh Dibaca: 6 Syaaban 1445H/16 Februari 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment