Tidak Pedulikan Waswas Antara Cara Ubati Waswas

Soalan

Saya ingin bertanya tentang cara menghilangkan was-was. 

Penjelasan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Waswas Itu Datangnya Dari Syaitan

Sesuatu yang perlu ditekankan bagi mereka yang mengalami penyakit waswas ini bahawa sesungguhnya waswas itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu merupakan musuh manusia yang teramat nyata. Firman Allah SWT:

أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ وَأَنِ ٱعۡبُدُونِيۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ

Maksudnya: Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagi kamu, dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.

(Surah Yasin 36:60-61)

Musuh manusia yang nyata ini, akan menggunakan pelbagai wasilah dalam menyesatkan manusia. Antara wasilah yang digunakan adalah dengan mencampakkan perasaan waswas kepada manusia itu sendiri. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ

Maksudnya: yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia

(Surah Al-Naas 114:5)

Al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya yang dimaksudkan dengan waswas syaitan itu adalah seumpama doa untuk mentaatinya dengan perkataan yang halus sehingga sampai mafhumnya ke jantung hati seseorang tanpa mendengar suaranya.

Cara Mengubati Penyakit Waswas

Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ia penyakit yang berkaitan dengan jantung hati. 

Kami cuba nukilkan beberapa panduan dari para ulama’ dalam ikhtiar untuk memulihkan penyakit ini. Antara yang disebutkan:

1. Mengambil Sikap Tidak Peduli

Iaitu dengan membiarkan perasaan waswas tersebut. Ini sepertimana yang ditanyakan kepada al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah mengenai ubat bagi penyakit was-was. Maka jawab beliau Rahimahullah:

 لَهُ دَوَاءٌ نَافِعٌ وَهُوَ الْإِعْرَاضُ عَنْهَا جُمْلَةً كَافِيَةً. وَإِنْ كَانَ فِي النَّفْسِ مِنْ التَّرَدُّدِ مَا كَانَ – فَإِنَّهُ مَتَى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَمَا جَرَّبَ ذَلِكَ الْمُوَفَّقُونَ، وَأَمَّا مَنْ أَصْغَى إلَيْهَا وَعَمِلَ بِقَضِيَّتِهَا فَإِنَّهَا لَا تَزَالُ تَزْدَادُ بِهِ حَتَّى تُخْرِجَهُ إلَى حَيِّزِ الْمَجَانِينِ بَلْ وَأَقْبَحَ مِنْهُمْ، كَمَا شَاهَدْنَاهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِهَا وَأَصْغَوْا إلَيْهَا وَإِلَى شَيْطَانِهَا

Maksudnya: Baginya (penyakit waswas itu) ubat yang sangat bermanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang di wawaskan itu). Meskipun dalam dirinya terdapat perasaan waswas, selagi mana dia tidak melihat, mengambil peduli perkara waswas tersebut maka ia tidak akan tetap bahkan akan hilang selepas beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas daripada penyakit waswas ini. Adapun mereka yang mendengar (mengambil peduli waswas tersebut) dan mengikutinya, waswas tersebut tidak akan hilang bahkan bertambah sehingga menjadikannya gila dan boleh jadi lebih buruk dari itu sepertimana yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit waswas yang mendengar daripada bisikan syaitan.

[Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra.  Al-Maktabah al-Islamiyyah, jld.1, hlm.149]

2. Bersabar Dan Terus Mencuba

Mereka yang ditimpa penyakit waswas ini sebenarnya sedang diuji. Ia merupakan ujian menentang syaitan kerana waswas itu adalah daripada syaitan. Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit waswas. Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah menukilkan perkataan Sultan al-Ulama’ al-‘Izz bin Abd al-Salam yang mana menyebut:

 دَوَاءُ الْوَسْوَسَةِ أَنْ يَعْتَقِدَ أَنَّ ذَلِكَ خَاطِرٌ شَيْطَانِيٌّ، وَأَنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أَوْرَدَهُ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يُقَاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوَابُ الْمُجَاهِدِ؛ لِأَنَّهُ يُحَارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإِذَا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ

Maksudnya: Ubat bagi penyakit waswas ini sesungguhnya dengan beriktikad bahawa ia merupakan godaan syaitan dan sesungguhnya iblis, dialah yang sedang dibawa dan sedang diperangi dan baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh Allah. Sekiranya dia merasa waswas maka dia akan menghindarinya.

[Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. Al-Maktabah al-Islamiyyah, jld.1, hlm.150]

3. Mempelajari Tatacara Ibadah Yang Sahih

Mempelajari yang sahih dari tatacara beribadat dapat membantu dalam menghindari penyakit waswas. Seseorang yang ampuh pengetahuannya dalam soal agama akan mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan trend beragama tanpa ilmu yang benar dan akhirnya akan mengelirukan dirinya. Penyakit waswas akan mudah mengambil alih peranan akal dan jantung hati mereka yang beramal namun tidak mengetahui akan kesahihannya.

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah sekali lagi menyebutkan:

 أَنَّ الْوَسْوَسَةَ لَا تُسَلَّطُ إلَّا عَلَى مَنْ اسْتَحْكَمَ عَلَيْهِ الْجَهْلُ وَالْخَبَلُ وَصَارَ لَا تَمْيِيزَ لَهُ، وَأَمَّا مَنْ كَانَ عَلَى حَقِيقَةِ الْعِلْمِ وَالْعَقْلِ فَإِنَّهُ لَا يَخْرُجُ عَنْ الِاتِّبَاعِ وَلَا يَمِيلُ إلَى الِابْتِدَاعِ

Maksudnya: Sesungguhnya waswas itu tidak akan menguasai melainkan ke atas mereka yang jahil dan kurang akal yang tidak dapat membezakan (antara yang sahih ataupun tidak). Sedangkan mereka yang berada atas hakikat ilmu dan akal tidak akan terkeluar daripada mengikut petunjuk dan tidak pula cenderung kepada perlakuan bid’ah.

[Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. Al-Maktabah al-Islamiyyah, jld.1, hlm.150]

Selalulah kita untuk berada di dalam majlis ilmu untuk mempelajari ilmu agama khususnya dalam bab ibadat. Semoga dengan kehadiran kita ke majlis-majlis ilmu tersebut dapat menambahkan pengetahuan kita dalam beragama seterusnya dapat menghindar kita daripada ditimpa penyakit waswas.

4. Memohon Perlindungan Allah SWT:

Syaitan akan selalu datang untuk membisikkan waswas kepada manusia. Disebabkan itu, perlindungan daripada Allah SWT teramat penting dalam usaha mengekangnya. Dalam sebuah hadis, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya oleh sahabat yang mana syaitan telah datang dan mengganggu ketika mana dia dalam solat dan bacaannya. Lalu Nabi SAW bersabda:

 ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خِنْزِبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا

Maksudnya: Itu ialah syaitan yang namanya Khinzib. Jika kamu merasa akan gangguannya, maka mohonlah perlindungan daripada Allah SWT dan ludahlah ke bahagian kirimu sebanyak tiga kali.

(Riwayat Muslim, 2203)

Selain itu, boleh juga berdoa kepada Allah Azza wa Jalla, sepertimana yang telah diajarkan oleh Allah SWT:

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ. وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ

Maksudnya: Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau daripada bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, daripada kedatangan mereka kepadaku”.

 (Surah al-Mu’minun 23:97-98)

Juga doa yang biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Aisyah R. Anha:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ

Maksudnya: Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.

(Riwayat Imam Ahmad, 26133 dalam Musnad).

Akhir kalam, dengan sedikit perkongsian ini, sedikit sebanyak dapat membantu dalam memperbaiki mutu ibadah kita di samping dapat menjauhkan kita daripada penyakit waswas ini.

Sentiasalah kita berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa berada di bawah petunjuk hidayah-Nya agar dapat melakukan amal ibadah dengan cara yang sahih dan aman dari segala kekacauan dalaman ataupun luaran. Amin.

Wallahuaklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑