Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 19 – Jagalah Allah, Nescaya Allah Menjagamu

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تَنصُرُوا۟ ٱللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ (٧)

“Kalau kamu membela agama Allah, nescaya allah akan membela kamu untuk mencapai kemenangan dan meneguhkan pendirian kamu.”

(Surah Muhammad 47:7)

Daripada Abi al-Abbas, Abdillah bin Abbas r.a. berkata: “Saya pernah berada di belakang Nabi s.a.w pada suatu hari, maka Baginda bersabda yang maksudnya: “Wahai anak, saya hendak mengajarmu beberapa kalimah: ‘Jagalah Allah nescaya Allah menjagamu; jagalah Allah nescaya engkau mendapati-Nya bersamamu; jika engkau meminta, mintalah kepada Allah; jika engkau meminta tolong, mintalah tolong kepada Allah. Ketahuilah bahawasanya, jika umat manusia bersatu untuk memberimu manfaat dengan sesuatu, mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan bagimu, dan jika mereka bersatu untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan bagimu. Telah diangkat kalam dan telah kering tinta (dakwat) lembaran-lembaran itu (tintanya).””

(Riwayat al-Tirmizi no. 2516)

Dalam riwayat selain Imam al-Tirmizi disebutkan yang maksudnya: “Jagalah Allah nescaya engkau mendapati-Nya di hadapanmu; kenalilah Allah pada waktu lapang nescaya Dia mengenalimu pada waktu kesusahan, Ketahuilah, bahawa apa yang luput daripadamu tidak bakal mengenaimu, dan apa yang mengenaimu tidak bakal luput daripadamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu ada bersama kesabaran, setiap jalan keluar itu akan bersama kesusahan (bersusah payah) dan bersama kesulitan itu pasti ada kesenangan.”

Huraian 

Sabda Rasulullah s.a.w: “Jagalah Allah, nescaya engkau mendapati-Nya di hadapanmu,” maksudnya hendaklah beramal kerana-Nya dengan penuh ketaatan sehingga Allah tidak memandangmu sebagai orang yang menyalahi perintah-Nya, nescaya kamu akan mendapati Allah menjadi penolongmu pada waktu kesusahan.

Sabda Nabi s.a.w: “Jika engkau meminta, mintalah kepada Allah; jika engkau meminta tolong, mintalah tolong kepada Allah,” memberikan petunjuk supaya bertawakal kepada Allah s.w.t, tidak bertuhan kepada selain-Nya, tidak menggantungkan nasib kepada sesiapa pun baik sedikit ataupun banyak. Allah s.w.t berfirman:

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ

Maksudnya: Dan sesiapa bertawakal kepada Allah, maka Allah pasti akan memberinya kecukupan.

(Surah al-Talaq 65: 3)

Kisah 3 Pemuda Di Dalam Gua

Ini bertepatan dengan kisah yang pernah terjadi kepada tiga orang yang tertimpa hujan lebat lalu mereka berlindung di dalam sebuah gua. Kemudian pintu gua itu tertimbus oleh batu. Pada saat itu mereka berkata sesama mereka: “Ingatlah kebaikan yang pernah kamu lakukan, lalu mohonlah kepada Allah dengan kebaikan itu supaya kamu diselamatkan-Nya.” Kemudian, masing-masing menyebut kebaikan yang pernah dilakukan, maka batu yang menutup pintu gua itu kemudian terbuka lalu mereka dapat keluar. Kisah mereka ini popular dan terdapat dalam hadis sahih. (Riwayat Muslim no. 2743)

Pengajaran

  • Sesiapa yang melaksanakan perintah-perintah Allah s.w.t nescaya Allah akan menjaganya di dunia dan di akhirat.
  • Beramal soleh serta melaksanakan perintah Allah s.w.t dapat menghindarkan bencana dan mengeluarkan seseorang daripada kesulitan. 
  • Jangan meminta apa pun selain daripada Allah s.w.t.
  • Manusia tidak akan mengalami apa-apa musibah kecuali berdasarkan ketetapan Allah s.w.t.
  • Kita hendaklah sentiasa menghormati waktu dan menggunakannya kepada sesuatu yang bermanfaat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.
  • Gunakanlah masa mudamu untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan.
  • Orang yang selalu bersyukur kepada Allah akan mendapat perhatian, pertolongan dan perlindungan.
  • Hanya kepada Allah kita panjatkan doa dan meminta pertolongan kerana Dia Maha Dekat, Maha Menjawab, Maha Kuat dan merupakan Zat yang tidak pernah bosan memberi.
  • Meminta pertolongan kepada selain daripada Allah s.w.t merupakan kehinaan, kerendahan dan kelemahan.
  • Beriman kepada qada’ dan qadar akan mendatangkan keberanian, ketenangan dan ketenteraman. 
  • Kita hendaklah bersabar dengan musibah yang didatangkan daripada Allah s.w.t. Kemenangan hanya akan diperoleh dengan kesabaran. Kita juga hendaklah sabar dengan perlakuan tidak baik orang lain kepada kita.
  • Kita hendaklah bersabar di medan dakwah mahupun di medan perang.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

One thought on “Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 19 – Jagalah Allah, Nescaya Allah Menjagamu

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑