Soalan
Saya mengajar di sekolah jenis kebangsaan Cina. Saya dimaklumkan ada waris pelajar saya yang menjalankan perniagaan judi nombor ekor. Waris tersebut bagaimanapun sering memberi hadiah dan belanja makan kepada guru-guru termasuk saya. Adakah saya boleh makan makanan yang dibeli waris tersebut dan menerima hadiah yang diberi kepada saya? Jenis makanan yang dibeli antaranya kfc, kek, buah-buahan atau makanan yang dibeli dari gerai orang Islam.
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Allah SWT membenarkan seluruh manusia, yang beriman ataupun tidak beriman untuk memakan apa sahaja di muka bumi Allah ini sama ada berupa biji-bijian, sayur-sayuran, buah-buahan dan daging haiwan yang memenuhi dua kriteria;
- Mestilah halal, iaitu bukan barang yang diharamkan seperti arak atau sesuatu yang halal yang diperoleh melalui cara yang haram seperti judi dan mencuri.
- Taiyyib iaitu sesuatu yang baik. Maksudnya bukan makanan yang keji seperti bangkai dan darah.
Firman Allah SWT;
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya: Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagimu..
(Surah al-Baqarah 2:168)
Pembahagian Harta Dari Sudut Halal dan Haram
Harta dari sudut halal dan haram boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian:
- Harta Haram: Ia bermaksud harta yang sudah jelas dan tidak diragukan lagi haram zatnya seperti arak, babi dan seumpamanya dan harta yang halal zatnya tetapi diperoleh dengan cara yang ditegah oleh syarak seperti hasil riba, rasuah, penipuan dan sebagainya.
- Harta Halal: Ia bermaksud harta yang zatnya sudah jelas halal dan diperoleh melalui wasilah yang dibenarkan syarak.
- Harta Syubhah: Syubhah ialah sesuatu perkara yang tidak diketahui hukumnya sama ada halal atau haram kerana berlakunya percampuran antara yang halal dengan yang haram. Justeru, harta syubhah ialah harta yang tidak diketahui statusnya sama ada halal atau haram.
Pembahagian ini bertepatan dengan maksud hadis daripada Abu Abdullah al-Nu’man bin Basyir R.A. bahawasanya beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إن الحلال بيّن وإن الحرام بيّن، وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس، فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه، ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام، كالراعي يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه، ألا وإن لكل ملك حمى ألا وإن حمى الله محارمه. ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله. وإذا فسدت فسد الجسد كله: ألا وهي القلب
Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua-dua perkara tersebut ada perkara-perkara meragukan (syubhah) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (meragukan), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. Dan sesiapa yang terjatuh (melakukan) perkara syubhah, sama seperti ia terjatuh (melakukan) perkara yang haram, umpama seorang penggembala yang menggembala berhampiran kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkan. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia ialah hati.”
(Sahih al-Bukhari No 384)
Berurusan Dengan Individu Yang Bercampur Pendapatannya
Dalam membahas isu ini, para ulama membuat kesimpulan seperti berikut;
a) Sekiranya pendapatannya daripada sumber yang halal dan juga yang haram, dan dapat pula dipisahkan di antara keduanya serta dapat dibezakan, maka hukum berurus niaga, menerima hadiah dan makanan bersumber hartanya yang halal adalah harus dan berurusan melibatkan hartanya yang haram pula adalah haram.
b) Dalam kes melibatkan percampuran harta halal dan haram dan tidak dapat dipisahkan dan dibezakan di antara kedua-dua pendapatan itu pula, para ulama memutuskan hukumnya seperti berikut;
1. Kadar pendapatan atau harta yang haram adalah sedikit, sama ada pendapatan bersumberkan harta yang haram itu adalah lebih sedikit atau sama banyak atau tidak diketahui secara yakin dan jelas peratusan keduanya. Dalam situasi ini, hukum berurus niaga, menerima hadiah, menerima jemputan makan adalah harus. Hukum ini berdasarkan kaedah;
وَمَا ضَاقَ عَلَى النَّاسِ أَمْرٌ إلَّا اتَّسَعَ حُكْمُهُ
Maksudnya: “Tidaklah sesuatu perkara itu menjadi kesempitan kepada orang ramai, kecuali akan diberi kemudahan pada hukumnya”.
[Rujuk: al-Ashbah Wa al-Nazair Ibnu Nujaim hlm. 89]
2. Sekiranya harta yang haram itu lebih banyak, maka hukum berurus niaga, menerima hadiah, menghadiri jamuannya adalah harus serta makruh. Hukum ini bertujuan bagi menghindari diri seseorang daripada terlibat menggunakan harta yang haram.
Namun apabila berlaku kesulitan dalam menghindarinya atau telah sampai ke peringkat mudarat dan terpaksa melakukannya atau telah menjadi umum balwa amalan tersebut di dalam masyarakat, maka berurusan dengannya adalah harus serta tidak makruh.
Hukum ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW dan para sahabatnya berurus niaga dan bermuamalat dengan orang-orang Yahudi dan Musyrikin sedangkan sebahagian harta mereka adalah daripada sumber riba, hasil penjualan arak dan kerja-kerja maksiat dan mungkar. Tidak terdapat dalil yang menunjukkan bahawasanya Nabi SAW menyelidik dari manakah sumber harta pemilikan mereka dan tidak pernah Nabi SAW menyuruh para sahabatnya berbuat demikian, walaupun kebiasaannya pasti harta yang mereka diperoleh itu daripada sumber yang haram. Amalan Nabi SAW dan para sahabatnya ini, secara umumnya menjadi dalil keharusan untuk kita berurusan dengan pemilik harta yang haram.
Sekiranya diyakini dan tidak ada kemungkinan dan keraguan lagi bahawa harta yang diurus niaga atau hadiah yang diberikan itu sememangnya dari harta yang haram, maka hukum berurus niaga dan menerima hadiahnya adalah haram.
Berkata al-Imam al-Nawawi
دَعَاهُ مَنْ أَكْثَرُ مَالِهِ حَرَامٌ، كُرِهَتْ إِجَابَتُهُ كَمَا تُكْرَهُ مُعَامَلَتُهُ. فَإِنْ عَلِمَ أَنَّ عَيْنَ الطَّعَامِ حَرَامٌ، حَرُمَتْ إِجَابَتُهُ
Maksudnya: “Makruh menerima jemputan makan dan juga berurus niaga dengan seseorang yang kebanyakan hartanya adalah haram, Namun sekiranya dia telah yakin bahawa ain makanan itu sebenarnya adalah haram maka menerima jemputan untuk makan adalah haram “.
[Rujuk: Raudhah al-Talibin jld 7 hlm. 337]
Imam al-Suyuti menjelaskan pula dengan katanya
مُعَامَلَة مَنْ أَكْثَرُ مَالِهِ حَرَامٌ وَلَمْ يُتَحَقَّقْ أَنَّ الْمَأْخُوذَ مِنْ مَالِهِ عَيْنَ الْحَرَامِ فَلَا تَحْرُمُ مُبَايَعَتُهُ لِإِمْكَانِ الْحَلَالِ وَعَدَمِ تَحَقُّقِ التَّحْرِيمِ، وَلَكِنْ يُكْرَهُ خَوْفًا مِنْ الْوُقُوعِ فِي الْحَرَامِ
Maksudnya: “Berurusan dengan individu yang haram kebanyakan hartanya sedangkan tidak diyakini barangan yang diambil darinya itu ialah sesuatu yang haram, adalah tidak haram berurus niaga dengannya, kerana berkemungkinan barangan itu adalah halal dan belum pasti ia adalah haram, tetapi perbuatan itu adalah makruh kerana dikhuatiri dia menghampiri perbuatan yang haram”.
[Rujuk: al-Ashbah Wa al-Nazair suyuti hlm 75]
Kesimpulan
Dari keterangan di atas kami simpulkan bahawa;
- Hukum menerima hadiah dan memakan makanan yang diberikan oleh seseorang yang kebanyakan hartanya daripada sumber yang haram dan telah pasti bahawa hadiah atau makanan tersebut dibeli dengan menggunakan wang yang haram, maka hukumnya adalah haram.
- Sekiranya tidak pasti hadiah atau makanan yang dibeli oleh individu tersebut adalah dari hartanya yang haram, maka hukum menerimanya adalah harus lagi makruh.
Namun pada situasi di atas jika dapat dielakkan dari menerimanya adalah terlebih baik, kerana ia termasuk dalam perkara yang syubhah. Meninggalkan perkara syubhah ialah suatu amalan yang digalakkan dalam agama, ini kerana berlandaskan hadis Nabi SAW;
فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه
Maksudnya: “Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (meragukan), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.
[Sahih al-Bukhari No 384]
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahu’aklam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment