Rahsia Kelemahan Umat Islam

Masa telah berubah dan keadaan telah berganti rupa, mengenai kehidupan kaum Muslimin. Mereka mengalami kesempitan dan tersepit sesudah berkembang pesat, ditimpa kelemahan sesudah mempunyai kekuatan.

Itu adalah disebabkan kerana iman mereka tidak lagi berpengaruh dalam jiwa dan tidak membimbing budi pekerti dan tingkah-laku mereka. 

Keimanan mereka hanya merupakan iman geografi kerana dilahirkan di negeri Islam atau iman pusaka, yang diperolehnya dari nenek-moyang, sebagaimana mereka mempusakai harta-benda dan sawah ladang. 

Keimanan yang tertutup, tidur dan tersembunyi tidak memberikan kesan dan pengaruh. Bagaimana keimanan yang serupa itu akan melahirkan kekuatan, menghembuskan kemahuan yang kuat dan semangat yang menyala? 

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, telah membukakan tabir rahsia kelemahan umatnya, sehingga mereka tidak mempunyai kekuatan dan tidak menggentarkan musuh barang sedikitpun. 

Apa yang digambarkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam itu telah menjadi kenyataan dalam zaman kelemahan kaum Muslimin. Sabda baginda:

يُوْشِكُ أَنْ تَتَدَاعَى عَلَيْكُمُ الأُمَمَ كَمَا تَتَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا، قَالُوا: أَمِنْ قِلَّة نَحْنُ يَوْمَئِذٍ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غَنَاء كَفْتَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزِعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عُدُوكُمُ الْمُهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ فِي قُلُوْبِكُمُ الْوَهَنَ قَالُوا: وَمَا الْوَهَنُ؟ – أَيْ مَا سَبَبُهُ وَمَا سِرُّهُ فَإِنْ مَعْنَى الْوَهَنِ مَعْرُوْفٌ وَهُوَ الضَّعْفُ – قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَة الْمَوْت

Maksudnya: Akan terjadi suatu masa di mana umat-umat lain berkerumun memperebutkan kamu, sebagaimana orang-orang yang makan dengan lahapnya menghadapi piring. Mereka bertanya: “Apakah kerana kita sedikit ketika itu, ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak! Melainkan kamu ketika itu banyak, tetapi kamu bagai buih ketika banjir dan Allah menghilangkan kegentaran hati musuh terhadap kamu dan Allah menumpahkan kelemahan ke dalam hati kamu.” Mereka bertanya: “Apakah kelemahan itu (sebabnya)?” Jawab Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam: “Mencintai kesenangan dan kemewahan dunia dan takut mati.”

Terlampau oleh kesenangan dunia itulah yang menyebabkan seorang raja yang bermahkota, menjadi hamba sahaya yang da’if. Enggan dan takut mati, itulah menjadikan orang perseorangan dan masyarakat memilih kehidupan yang hina dari mati dalam kemuliaan. 

Inilah penyakit yang menimpa kaum Muslimin di zaman kelemahannya. Maka selama mereka belum membuang jauh dan mengikis habis sifat yang demikian, nescaya mereka tidak akan dapat kembali menaiki tangga kemuliaan dan kebesaran, mengulangi zaman keemasannya.

Sumber: Iman dan Kehidupan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑