Miqat Umrah: Penjelasan

Soalan

Saya sekeluarga bercadang untuk bercuti di Arab Saudi dan di samping itu ingin menunaikan ibadah umrah. Kami akan bertolak dari Malaysia ke Kota Jeddah dan kemudian melancong selama 4 hari 3 malam di sekitar bandar Jeddah sebelum menunaikan ibadah umrah (tinggal di kota mekah selama 5 hari 4 malam) dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke kota Madinah sebelum berangkat pulang ke Malaysia.

Bilakah saya perlu berniat ihram? Dan di mana lokasi saya perlu berniat ihram? Adakah saya perlu berpatah balik semula dari Jeddah ke Qarnul Manazil untuk bermiqat?

Penjelasan 

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Umrah secara bahasa bererti ziarah atau musafir ke tempat yang berpenghuni. Manakala menurut istilah syarak, umrah bermaksud mengunjungi Mekah untuk menunaikan ibadah tertentu dengan syarat-syarat tertentu dan ia tidak boleh menggugurkan haji meskipun ibadah-ibadah yang ada di dalamnya mencakupi ibadah yang ada pada haji.

Ulama bersepakat mengenai pensyariatannya. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah RA, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW apakah ada jihad bagi wanita? Lalu baginda SAW bersabda:

نَعَمْ: جِهَادٌ لاَ قِتَالَ فِيهِ: الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ

Maksudnya:Ya, jihad tanpa peperangan, iaitu haji dan umrah.

(Sunan Ibnu Majah: 2901)

Rukun Dan Wajib Umrah

Rukun umrah merujuk kepada perkara-perkara yang berada dalam rangkaian ibadah yang membentuk ibadah umrah tersebut. Seseorang dikatakan telah menunaikan umrah apabila melakukan perkara-perkara ini dan sekiranya tidak melakukan cukup salah satu daripadanya maka umrahnya tidak sah. 

Rukun umrah 5 perkara iaitu:

  • Niat ihram umrah
  • Tawaf
  • Sa’ie
  • Bergunting/bercukur
  • Tertib pada semua rukun

Wajib umrah pula merujuk kepada perkara yang perlu dilakukan ketika menunaikan umrah. Sekiranya tidak dilaksanakan, umrah tetap sah namun wajib membayar dam. Wajib umrah 2 perkara iaitu:

  • Niat ihram umrah di miqat
  • Meninggalkan perkara larangan semasa semasa dalam ihram

(Rujuk al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, jil. 2 hlm. 293 dan 371)

Miqat Umrah

Miqat menurut bahasa bermaksud batas manakala menurut istilah syarak bermaksud masa dan tempat beribadah. Terdapat 2 jenis miqat iaitu:

  • Miqat Zamani: Merujuk tempoh masa yang sah untuk berniat ihram umrah (atau haji).
  • Miqat Makani: Merujuk kepada tempat yang sah untuk berniat ihram umrah (atau haji).

Miqat Zamani umrah adalah sepanjang tahun dan tiada waktu makruh untuknya.

Miqat Makani terdapat perincian berdasarkan tempat seseorang yang ingin melakukan umrah itu berada. Ia terbahagi kepada 2 situasi:

a) Orang Yang Berada di Luar Mekah:

  1. Zul Hulaifah/Bir Ali: bagi yang datang dari arah Madinah
  2. Al-Juhfah: yang datang dari arah Syam
  3. Qarn al-Manazil: yang datang dari Najd dan dari arah Asia
  4. Yalamlam: yang datang dari arah Yaman
  5. Zat ‘Irqin: yang datang dari arah Iraq

(Rujuk al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, jil. 2 hlm. 305-308)

Ketetapan ini berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas RA, katanya:

أنَّ النبيَّ ﷺ وقَّتَ لأهْلِ المَدِينَةِ ذا الحُلَيْفَةِ، ولِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، ولِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ المَنازِلِ، ولِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، هُنَّ لأهْلِهِنَّ، ولِكُلِّ آتٍ أتى عليهنَّ مِن غيرِهِمْ مِمَّنْ أرادَ الحَجَّ والعُمْرَةَ، فمَن كانَ دُونَ ذلكَ، فَمِنْ حَيْثُ أنْشَأَ، حتّى أهْلُ مَكَّةَ مِن مَكَّةَ.

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW menetapkan Zulhulaifah sebagai miqat bagi penduduk Madinah, Juhfah bagi penduduk Syam, Qarnu al-Manazil bagi penduduk Najd, Yalamlam bagi penduduk Yaman, miqat-miqat ini adalah untuk penduduknya dan penduduk negeri yang lain yang melaluinya untuk mengerjakan haji dan umrah. Sesiapa yang tinggal di kawasan selepas miqat tersebut, berihramlah di tempat dia memulakan perjalanannya, sebagaimana penduduk Makkah berihram di Makkah itu sendiri.

(Sahih al-Bukhari: 1530)

Manakala dalam hadis lain daripada Aisyah RA bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقَّتَ لأَهْلِ الْعِرَاقِ ذَاتَ عِرْقٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW menetapkan miqat bagi penduduk Iraq di Zat ‘Irqin.

(Sunan Abu Daud:1739)

b) Orang Yang Berada di Mekah:

Bagi jemaah atau penduduk yang berada di Mekah, mereka perlu keluar dari tanah haram dan pergi ke tanah halal terdekat untuk melakukan ihram. Ketetapan ini berdasarkan hadis daripada Aisyah RA, beliau berkata:

أُخْرُجْ بأُخْتِكَ مِنَ الحَرَمِ، فَلْتُهِلَّ بعُمْرَة

Maksudnya: “Keluarlah bersama saudara perempuanmu ini dari Tanah haram Mekah, kemudian lakukanlah ihram umrah (niat umrah).” 

(Sahih Muslim: 1211)

Terdapat beberapa perkara yang diperoleh daripada hadis ini sebagaimana yang disebutkan oleh imam al-Nawawi iaitu:

  1. Orang yang berada di Mekah dan ingin menunaikan umrah perlu keluar terlebih dahulu dari Tanah Haram ke tanah halal, dan berniat ihram umrah di Tanah Halal.
  2. Sekiranya dia menyalahinya iaitu tetap berniat ihram umrah dari tanah haram, kemudian dia keluar ke Tanah halal sebelum melakukan tawaf, umrahnya diterima dan tidak dikenakan dam ke atasnya.
  3. Akan tetapi, sekiranya dia tidak keluar ke Tanah halal tetapi terus melakukan tawaf, saie dan bercukur. Terdapat dua pendapat dalam isu ini.
  • Pertama: umrahnya tidak sah sehinggalah dia keluar ke Tanah halal, kemudian tawaf, saie dan bercukur.
  • Kedua: umrahnya sah tetapi dia dikenakan dam. Menurut Imam al-Nawawi pendapat yang kedua ialah pendapat yang sahih.

Para ulama mengatakan bahawa diwajibkan bagi mereka yang mahu mengerjakan ibadah umrah untuk keluar ke Tanah halal adalah supaya terhimpun di dalam tatacara umrahnya antara tanah halal dan haram sebagaimana orang yang mengerjakan ibadah haji telah menghimpunkan dua buah tempat tersebut di dalam manasik (tatacara) haji mereka. (Rujuk Sahih Muslim bi Syar hal-Nawawi, jil. 4 hlm. 418)

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-38

Kertas Kerja 1 Tajuk: Niat di Miqat Bagi Jemaah Haji dan Umrah: Perincian Pandangan Fuqaha Mazhab Empat

  1. Berniat di Miqat adalah salah satu wajib haji dan umrah. Jemaah yang menuju ke Makkah dan melepasi Miqat Makani tanpa niat ihram sedangkan dia ada kehendak untuk melakukan haji atau umrah, maka dia dikenakan Dam Tertib dan Taqdir.
  2. Mereka yang tinggal di antara Makkah dan Miqat Makani yang lima seperti di Jeddah, Bahrah dan lain-lain, maka Miqat haji dan umrahnya adalah dari tempat tinggalnya.
  3. Jemaah yang ke Makkah menggunakan visa selain visa umrah dan mempunyai kehendak untuk melakukan umrah, wajib berniat di miqat asal, sama ada niat secara biasa atau niat bersyarat. Bagi mereka yang melepasi miqat asal tetapi kemudiannya kembali ke miqat asal atau pergi ke mana-mana miqat yang jaraknya sama dengan miqat asal atau pergi ke mana-mana tempat yang jaraknya ke Makkah adalah sama atau lebih jauh dari jarak miqat asalnya ke Makkah boleh berniat di situ tanpa dikenakan dam. Sekiranya Jemaah tidak dapat kembali semula ke mana-mana tempat di atas, dia boleh berniat di tempat dia hendak memulakan perjalanan ke Makkah tetapi dia dikenakan dam. Namun sekiranya Jemaah tidak ada kehendak (qasad) untuk melakukan umrah semasa melepasi miqat asal, tetapi kemudiannya ada kehendak (qasad) untuk melakukan umrah dan dia belum sampai ke Makkah, maka miqatnya adalah di tempat di mana dia ada kehendak tersebut.

Miqat Orang Yang Melepasi Miqat Asal

Seseorang yang sampai di mana-mana miqat makani, atau pada tempat yang selari dengannya (jarak tempat tersebut ke Mekah sama seperti jarak miqat tersebut ke Mekah), atau melepasi miqat tersebut, tanpa berkeinginan untuk menunaikan umrah, kemudian setelah berada di tempat tersebut beliau berkehendak menunaikan umrah, maka miqatnya adalah pada tempat dia berada itu.

Namun sekiranya dia mempunyai niat umrah ketika sampai atau melepasi miqat, atau ketika sampai ke tempat yang selari dengan miqat, tidak boleh melepasi kawasan tersebut tanpa berihram, sekiranya dia sedang menuju Mekah.

Seandainya dia melepasi kawasan miqat bukan menuju ke arah Mekah, tetapi ke arah kiri atau kanan Mekah, dia boleh melewatkan berihram, dengan syarat dia perlu berniat dan memakai ihram di tempat yang jarak tempat tersebut ke Mekah sama dengan jarak Miqat tersebut ke Mekah. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj, jil. 2 hlm. 18-19)

Kesimpulan

Seperti yang telah dinyatakan dalam Resolusi Muzakarah Haji, miqat bagi penduduk atau jemaah yang berada di Jeddah adalah pada tempat itu sendiri. Keadaan ini berlaku sekiranya seseorang jemaah itu menuju ke Mekah bukan bertujuan umrah, dan hanya berkehendak menunaikan umrah setelah berada di Jeddah dengan tidak menetapkan tarikhnya bila.

Sekiranya qasad umrah telah ada ketika menuju Mekah, dan tidak berniat ihram ketika melalui miqat asal:

  • Perlu kembali ke miqat asal dan berniat di situ, atau
  • Miqat lain yang jaraknya ke Mekah sama seperti jarak miqat asal dan berniat di situ, atau
  • Mana-mana tempat yang jaraknya ke Mekah sama atau lebih jauh daripada jarak miqat asal ke Mekah dan berniat di situ.

Ketiga-tiga keadaan ini tidak dikenakan dam. Adapun jika tidak berpatah balik ke salah sebuah tempat yang telah disebutkan di atas, saudara boleh berniat di tempat saudara ingin memulakan perjalanan ke Mekah, namun dikenakan dam tertib dan taqdir.

Manakala bagi orang yang melepasi miqat asal, ketika dia sedang menuju bukan ke arah Mekah, tetapi ke kiri atau kanan Mekah, dia boleh berihram di mana-mana kawasan yang jaraknya ke Mekah sama dengan jarak miqat asal ke Mekah.

Justeru, disarankan agar tidak berqasad melakukan umrah ketika permulaan perjalanan menuju ke Jeddah serta tidak menetapkan bila hendak melakukannya. Setelah selesai melancong dan sebagainya serta apabila sudah bersedia untuk melakukan umrah, maka boleh berniat ihram umrah di kawasan saudara berada (Jeddah atau tempat qasad). 

Namun begitu sekiranya saudara telah berqasad untuk melakukan umrah ketika dalam perjalanan atau sebelum ke Jeddah (dengan menetapkan tarikhnya), maka setelah selesai melancong dan sebagainya, saudara hendaklah pergi ke kawasan yang jaraknya sama atau lebih daripada jarak Qarn al-Manazil ke Mekah dan berniat ihram dan umrah di situ.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahua’lam.

__________________________

Rujukan:

  • Al-Nawawi, Abi Zakaria Yahya ibn Syiraf (2001). Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi. Mesir, Kaherah: Dar el-Hadith.
  • Al-Zuhaili, Dr. Muhammad (2010). Al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’e. Damsyik: Dar al-Qalam, 2010.
  • Ibn Hajar al-Haitami, Shihabuddin Abi Al- ‘Abbas Ahmad Ibn Muhammad Ibn ‘Ali (2011). Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al- ‘Ilmiyyah.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑