Ayat dan Surah Dalam Al-Quran Yang Digalakkan Dibaca Pada Waktu Tertentu

Surah yang Sunat Dibaca Semasa Solat 

Sunnah mengajar kita supaya membaca surah As-Sajdah sehingga habis pada hari Jumaat semasa solat subuh dalam rakaat pertama. Pada rakaat kedua, kita disarankan supaya membaca surah Al-Insan sehingga habis. 

Surah-surah ini perlu dibaca dengan sempurna sehingga habis, dan bacaan dalam surah-surah tersebut mestilah dilakukan secara tartil (bertajwid).

Selain daripada surah As-Sajdah dan Al-Insan, kita boleh juga membaca surah Al-A’la pada rakaat pertama dan surah Al-Ghasyiah pada rakaat kedua. Bacaan kedua-dua surah ini adalah sunnah yang sahih daripada Rasulullah s.a.w. supaya kita dapat menghindarkan diri daripada hanya membaca beberapa ayat daripada surah Al-Quran. Selain itu, supaya seseorang itu dapat membaca surah dengan lengkap sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.

Solat Subuh Jumaat
Rakaat Pertama | As-Sajdah — Rakaat Kedua | Al-Insan
atau
Rakaat Pertama | Al-A’la — Rakaat Kedua | Al-Ghasyiah

Disunatkan juga membaca surah Qaf pada rakaat pertama semasa solat hari raya dan membaca surah Al-Qamar dengan lengkap pada rakaat kedua. Jikalau kita mahu, kita boleh membaca surah Al-A’la pada rakaat pertama dan surah Al-Ghasyiah pada rakaat kedua. Ini kerana sahih daripada membaca kedua-dua surah ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. dan bagi mengelakkan kita hanya membaca beberapa ayat sahaja dalam satu surah.

Solat Hari Raya
Rakaat Pertama | Qaf — Rakaat Kedua | Al-Qamar
atau
Rakaat Pertama | Al-A’la — Rakaat Kedua | Al-Ghasyiah

Surah yang Sunat Dibaca Semasa Solat Sunat

Semasa solat sunat dua rakaat sebelum solat subuh, kita digalakkan bagi membaca surah Al-Kafirun sebaik selesai membaca surah Al-Fatihah pada rakaat pertama, dan pada rakaat kedua kita membaca surah Al-Ikhlas.

Solat Sunat Subuh
Rakaat Pertama | Al-Kafirun — Rakaat Kedua | Al-Ikhlas
atau
Rakaat Pertama | Al-Baqarah (2:136) — Rakaat Kedua | Ali Imran (3:64)

Jikalau mahu, kita juga boleh membaca pada rakaat pertama ayat ini:

قُولُوٓا۟ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْنَا وَمَآ أُنزِلَ إِلَىٰٓ إِبْرَٰهِـۧمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ وَٱلْأَسْبَاطِ وَمَآ أُوتِىَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَمَآ أُوتِىَ ٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍۢ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ (١٣٦)

Katakanlah, “Kami beriman pada Allah, dan pada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan pada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishaq, dan Nabi Yaaqub serta anak-anaknya, dan juga pada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan pada apa yang diberikan kepada nabi-nabi daripada Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang daripada mereka; dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata.”

(Surah Al-Baqarah 2:136)

Kemudian, membaca pada rakaat kedua ayat ini:

قُلْ يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ تَعَالَوْا۟ إِلَىٰ كَلِمَةٍۢ سَوَآءٍۭ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِۦ شَيْـًۭٔا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًۭا مِّن دُونِ ٱللَّهِ ۚ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَقُولُوا۟ ٱشْهَدُوا۟ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ (٦٤)

Katakanlah, “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu pun; dan jangan sebahagian daripada kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain daripada Allah. Kemudian jikalau mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka, ‘Saksikanlah bahawa kami adalah orang Islam.””

(Surah Ali Imran 3:64)

Kedua-dua bacaan ayat ini adalah sunnah yang sahih daripada perbuatan Rasulullah s.a.w.

Kita digalakkan membaca surah Al-Kafirun pada rakaat pertama dalam solat sunat maghrib dan surah Al-Ikhlas pada rakaat kedua. 

Solat Sunat Maghrib
Rakaat Pertama | Al-Kafirun — Rakaat Kedua | Al-Ikhlas

Kedua-dua surah ini juga digalakkan untuk dibaca dalam solat sunat sebaik selesai mengerjakan tawaf dan dalam solat istikharah. 

Dalam solat sunat witir sebanyak tiga rakaat, digalakkan bagi membaca surah Al-A’la pada rakaat pertama, surah Al-Kafirun pada rakaat kedua dan surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq, dan surah An-Nas pada rakaat ketiga.

Solat Sunat Witir
Rakaat Pertama | Al-A’la — Rakaat Kedua | Al-Kafirun — Rakaat Ketiga | Al-Ikhlas, Al-Falaq, & An-Nas

Galakan Membaca Surah Al-Kahfi pada Hari Jumaat

Kita digalakkan membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat berdasarkan hadith yang dilaporkan oleh Abu Said Al-Khudri r.a. dan selain daripadanya.

Imam As-Syafi’i menjelaskan dalam kitabnya, Al-Umm, “Digalakkan juga bagi membaca surah ini pada malam Jumaat.” Pandangan Imam As-Syafi’ ini berpandukan pada laporan hadith yang direkodkan oleh Abu Muhammad Ad-Darimi daripada sanad Abu Said Al-Khudri r.a.:

“Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat dia akan diterangi oleh cahaya yang jaraknya antara dia dengan Kaabah.”

Ad-Darimi juga menyatakan sebuah hadith yang menggalakkan bagi membaca surah Hud pada hari Jumaat. Manakala seorang tabiin terkemuka, iaitu Makhul menyatakan galakan membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat.

Hari Jumaat
Al-Kahfi | Hud | Ali Imran

Galakan Membaca Ayat Kursi

Digalakkan bagi memperbanyakkan bacaan ayat Kursi dalam setiap keadaan dan tempat serta membacanya pada setiap malam ketika hendak tidur.

Selain itu, digalakkan bagi membaca surah Al-Falaq dan surah An-Nas sebaik sahaja selesai solat. Hal ini berdasarkan kepada hadith yang dilaporkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir r.a.

Beliau mengatakan, “Rasulullah s.a.w. menyuruh saya membaca surah Al-Falaq dan surah An-Nas setiap selesai solat.”

(Direkodkan oleh Imam Abu Daud, At-Tirmidzi, dan An-Nasaie. Imam At-Tirmidzi mengatakan hadith ini hasan sahih.)

Galakan Membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Ma’udzatain, dan Ayat-Ayat Terakhir Surah Al-Baqarah

Digalakkan membaca ayat Kursi setiap kali mahu masuk tidur, juga surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq, surah An-Nas, dan ayat-ayat terakhir dalam surah Al-Baqarah.

Ini adalah perkara yang perlu diambil berat dan dipelihara kerana terdapat hadith-hadith yang shahih yang dilaporkan oleh Abu Mas’ud Al-Badri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. mengatakan, “Dua ayat terakhir dalam surah Al-Baqarah yang dibaca pada waktu malam adalah cukup bagi seseorang itu.”

Sekumpulan ilmuwan berkata, “Cukup bagi seseorang itu membaca kedua-dua ayat tersebut sekiranya dia tidak bangun malam untuk qiamullail”.

Ulama yang lain pula mengatakan, “Cukup bagi seseorang yang membaca kedua-dua ayat tadi bagi menghindarkan diri daripada perbuatan yang makruh pada malam hari.”

Saidatina Aisyah r.a. mengatakan, “Sesungguhnya Nabi s.a.w. membaca setiap malam surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq, dan surah An-Nas.” Kita sudah menyatakan hal ini pada bahagian menjampi diri dengan tiupan ayat Al-Quran.

Imam Abu Daud melaporkan melalui sanadnya daripada Saidina Ali karramallahu wajhah. Beliau mengatakan, “Saya tidak melihat seseorang yang memeluk Islam itu berakal sehingga dia membaca ayat Kursi sebelum dia tidur.” Ali juga mengatakan, “Saya tidak melihat seseorang itu berakal sehingga dia membaca tiga ayat terakhir dalam surah Al-Baqarah sebelum tidur.” Sanadnya sahih berdasarkan syarat Imam Al-Bukhari dan Muslim.

‘Uqbah bin ‘Amir r.a. mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepadanya:

إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ (١٩٠)

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Surah Ali Imran 3:190)

…sehingga ayat terakhir dalam surah Ali Imran.

Dalam hadith shahih Imam Al-Bukhari dan Muslim, dilaporkan bahawa Rasulullah s.a.w. membaca ayat-ayat terakhir surah Ali Imran apabila terbangun daripada tidur.

Ayat-Ayat Al-Quran yang Dibaca untuk Pesakit

Digalakkan bagi membacakan surah Al-Fatihah kepada pesakit berdasarkan kata-kata Nabi s.a.w. dalam sebuah hadith sahih, “Tidakkah kamu mengetahui bahawa ia (Surah Al-Fatihah) itu adalah jampi?”

Digalakkan juga bagi membacakan kepada pesakit surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas dengan meniupkan kepada kedua-dua tangan. Terdapat hadith sahih berkenaan perbuatan Nabi s.a.w. ini dalam Shahih Al-Bukhari dan Muslim.

Talhah bin Mithraf mengatakan, “Pesakit yang dibacakan di sisinya Al-Quran akan merasa sedikit keringanan. Saya pernah menemui Khaithamah ketika beliau sakit dan saya mengatakan, ‘Hari ini saya lihat kamu sihat, mengapa?’ Khaithamah menjawab, “Sesungguhnya seseorang membacakan kepadaku Al-Quran.”

Al-Khatib Abu Bakar Al-Baghdadi melaporkan dengan sanadnya, bahawa Ar-Ramadi r.a. apabila dia mengadu sesuatu kesakitan, beliau menyuruh orang memanggil ahli-ahli hadith datang kepadanya. Ketika ahli-ahli hadith datang, Ar-Ramadi mengatakan, “Bacalah satu hadith kepadaku.” Ini adalah rawatan dengan hadith, maka rawatan dengan Al-Quran lebih utama.

Ayat Al-Quran yang Dibaca ke atas Orang yang Meninggal Dunia

Para ulama daripada kalangan kami dan selain daripada mereka menyatakan bahawa digalakkan bagi membaca surah Yasin di sisi orang yang meninggal dunia. Ini berdasarkan hadith Ma’qil bin Yasar yang menyatakan, Nabi s.a.w. mengatakan, “Bacalah surah Yasin kepada orang yang meninggal dunia daripada kalangan kamu.” Hadith ini direkodkan oleh Imam Abu Daud dan An-Nasaie dalam kitab hadithnya berjudul Amal Al-Yaum wa Al-Lailah, serta direkodkan oleh Imam Ibnu Majad dengan sanad yang lemah.

Mujalid melaporkan daripada As-Sya’bi, As-Sya’bi menyatakan apabila orang-orang Ansar menghadiri kematian seseorang, mereka membaca surah Al-Baqarah. Namun Mujalid adalah seorang pelapor hadith yang lemah. Wallahu a’lam.

Sumber: Adab Berdamping Dengan Al-Quran oleh Imam An-Nawawi, Terjemahan Hakim Rosly

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑