Tidak Ada Ketenangan, Kalau Tiada Iman 

Tidak diragui lagi, bahawa ketenangan jiwa menjadi sumber pertama untuk memperoleh hidup bahagia. Tetapi bagaimana jalan untuk mencapai ketenangan, kalau ianya bukan sesuatu yang dapat dihasilkan oleh kecerdasan dan pengetahuan, bukan oleh kesihatan dan kekuatan, bukan oleh harta dan kekayaan, bukan dengan tuah dan kemasyhuran dan bukan pula oleh berbagai-bagai kesenangan kebendaan?

Dengan tegas dapat dijawab bahawa ketenangan jiwa itu hanya satu sumbernya, dan tidak ada duanya, iaitu IMAN dengan Allah dan hari akhirat, dengan keimanan yang benar dan mendalam, tidak dicampuri ragu-ragu dan kepalsuan.

Perjalanan hidup ini telah memberikan pelajaran kepada kita, bahawa kebanyakan orang yang dilamun keluh-kesah, kesempitan dan kegoncangan batin, merasa sepi dan tidak mempunyai apa-apa, hanyalah orang-orang yang tidak memperoleh nikmat iman dan keyakinan. Hidup mereka tiada rasa dan tiada perisa, hambar dan kosong, walaupun mereka dilingkungi kelazatan dan kemewahan.

Ketenangan jiwa itu adalah hembusan dari langit, diturunkan ke dalam hati orang yang beriman dari penduduk bumi, supaya mereka berhati teguh di kala orang banyak mengalami kegoncangan, mereka yakin ketika ramai orang penuh keraguan, mereka sabar ketika ramai orang telah berkeluh kesah dan mereka berdada lapang, ketika ramai orang telah cemas.

Ketenangan serupa inilah yang memenuhi jiwa Rasulullah Sallalahu ‘alaihi wasallam di hari hijrah bersama dengan Abu Bakar Radiyallahu ‘anhu; tiada perasaan cemas dan dukacita, tiada tekanan ketakutan dan kegentaran, tiada digoncangkan oleh ragu-ragu dan keluh-kesah. Disebutkan keadaannya dalam firman Allah Ta’ala:

فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَحِبِهِ، لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا …..

“….. sesungguhnya Allah telah menolongnya (Muhammad), ketika orang-orang kafir mengusirnya, hanya berdua sahaja, ketika keduanya dalam gua, di kala itu dia berkata kepada kawannya: “Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Allah bersama kita.”…..

(Surah Al-Taubah 9:40)

Ada orang yang bertanya: “Mengapa orang beriman lebih berhak merasakan ketenangan jiwa dan ketenteraman hati?” Apa sebab ketenangan itu tidak diperoleh manusia dalam ‘ilmu pengetahuan, kebudayaan dan falsafah? Atau dalam apa-apa yang dihasilkan oleh teknologi moden, yang menghasilkan alat-alat yang dapat mempermudah dan memperindahkan kehidupan?

Jawabnya memerlukan sedikit penjelasan, supaya terang sebab-musabab dan hukum yang berlaku mengenai kejiwaan, sehingga jelas apa yang menyebabkan orang beriman lebih berhak memperoleh ketenangan dan ketenteraman.

  1. Orang yang beriman itu memperoleh ketenangan ialah kerana dia menempuh jalan hidup yang sesuai dengan fitrah (kemanusiaan) yang ditanamkan Tuhan dalam jiwa manusia. 
  2. Orang yang beriman mengetahui rahsia kejadian alam di mana dalam lubuk hati manusia, ada suara tersembunyi yang sentiasa berbisik, dan pertanyaan-pertanyaan yang selalu meminta jawaban, untuk melenyapkan kegelisahan perasaan. Di antara pertanyaan itu berbunyi: ‘Alam ini apa? Manusia itu siapa? Dari mana datang keduanya? Siapa yang mencipta keduanya? Ke mana tujuan keduanya? Hidup ini apa? Mati itu apa?’
  3. Orang yang beriman bebas dari seksaan keraguan kerana dapat menjawab teka-teki kehidupan dengan yakin. 
  4. Orang yang beriman nampak tujuan dan jalan yang akan ditempuh dengan menuju keredaan Allah. Cita-citanya hanya satu, iaitu menempuh jalan yang dapat menghantarnya kepada keredaan Allah SWT. 
  5. Orang beriman merasa dirinya dekat dengan Tuhan. Iman yang kuat, dipandang sebagai ubat yang paling baik, bagi penyakit jiwa yang disebabkan kesepian. 
  6. Orang yang beriman tidak terumbang ambing di antara “kalau” dan “seandainya” kerana mereka mempunyai keyakinan yang kuat terhadap Tuhan dan percaya akan qada’ dan qadar Allah SWT, dan tidaklah dia mahu menyerahkan dirinya untuk menjadi mangsa peristiwa bahkan menyakini bahawa sesuatu yang diputuskan Allah SWT pasti terjadi. 

Sumber: Iman dan Kehidupan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑