Soalan
Kebelakangan ini tular di media sosial berkenaan produk makanan yang tertentu yang dikatakan menjadi penyumbang dana kepada aktiviti pembunuhan umat Islam di Palestin. Saya musykil berkenaan hukum memakannya kerana produk tersebut jelas disahkan halal oleh pihak berautoriti.
Penjelasan
Segala pujian hanya untuk Allah SWT, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW. Terima kasih atas persoalan yang diajukan.
Tidak dinafikan, sebilangan produk atau restoran terkemuka yang berasal dari Barat semakin diterima di negara-negara Timur termasuk Malaysia, Arab Saudi, Jordan, dan sebagainya. Realitinya, ia adalah fenomena globalisasi dan perdagangan yang sukar untuk dielakkan. Hal ini kerana mereka mempunyai jaringan perniagaan dan modal yang besar untuk mengembangkan perniagaan sehinggalah berjaya menapak di Negara-Negara Asia.
Tidak dinafikan, kebanyakan umat Islam keliru dan musykil dengan produk atau syarikat yang dikatakan menyumbang dana memusnahkan umat Islam di Palestin. Namun, dalam masa yang sama disahkan halal oleh pihak autoriti.
Dua elemen penting yang seharusnya diberi perhatian: Produk makanan yang disahkan halal dan hasil keuntungan yang digunakan oleh syarikat untuk tujuan kepentingan mereka adalah dua isu yang berbeza. Misalnya, Syarikat A menaja program yang ada unsur haram namun tidak semestinya produk Syarikat A yang halal bertukar menjadi haram.
Sekiranya benar syarikat tersebut secara jelas menganjurkan aktiviti yang bercanggah dengan Islam menggunakan hasil daripada produk halal, maka ia perlu dipertimbangkan sewajarnya oleh pihak yang berautoriti.
Ini melibatkan sensitiviti syarikat terhadap aktiviti yang bertentangan dengan prinsip halal dan haram. Sekiranya hal itu tidak benar maka kita tidak boleh menghukum berdasarkan isu global. Sebagai contoh, ada produk tertentu disahkan halal di Malaysia dan sebahagian besar Negara Asia Tenggara. Namun tidak mustahil produk yang sama tetapi berbeza status di rantau lain seperti Afrika, Eropah dan Amerika.
Jika sudah jelas produk tersebut halal, maka tidak perlu memperbanyakkan pertikaian yang akhirnya memberi kemudaratan kepada manusia.
Rasulullah bersabda:
إِنَّ أَعْظَمَ الْمُسْلِمِيْن فِي الْمُسْلِمِيْن جُرْمًا مَنْ سَأَلَ عَنْ أَمْرٍ لَمْ يُحَرَّمْ فَحُرِّمَ عَلَى النَّاسِ مِنْ أَجْلِ مَسْألتِهِ
“Sesungguhnya kaum muslimin yang paling besar dosa dan kejahatannya terhadap (sesama) kaum muslimin adalah yang bertanya tentang perkara yang tidak diharamkan, lantas hal tersebut menjadi haram kepada manusia karena pertanyaannya tadi.”
(Riwayat Muslim: IV/1831/2358; Ahmad: I/179/1545; Abū Dāwūd: II/612/4610; dan lain-lain.)
Wallahu A’lam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment