Juadah Melayu Sedap di Tingkap Cafe, PJ

Oleh: Mymuslimin.com

Tingkap Cafe membawa pengunjung menikmati pelbagai juadah Melayu yang sedap dengan harga yang berpatutan. Bertempat di sebuah deretan kedai di PJ Old Town, kafe ini menggamit kenangan masa silam apabila menampilkan konsep vintaj dengan tatarias barangan antik masyarakat Malaysia.

Seterika arang, mesin jahit Singer lama, mesin taip, tin biskut, mangkuk tingkat, bekas air basuh tangan antara yang menggamit memori mereka yang membesar sebelum era milenium. Suasana lama ini dilengkapkan lagi dengan alunan lagu-lagu zaman P.Ramlee dan Saloma yang membangkit suasana. 

Deretan makanan bungkus di Tingkap Cafe memudahkan pelanggan membuat pilihan, dan khabarnya juadah seperti nasi tumpang, nasi kerabu dan nasi dagang diimpot terus setiap hari dari Pantai Timur! Tentu sekali tidak boleh dipertikaikan keasliannya. Berjenis-jenis kuih juga ditawarkan di sini termasuk nona manis, apam kampung, kuih koci, tepung bungkus, cur badak dan banyak lagi untuk dinikmati pelanggan.

Sate juga tersedia di Tingkap! Rasa sate di sini persis sate Muo yang terkenal dengan cebisan lemak di antara ketulan daging yang diperap sempurna. Harganya sedikit tinggi berbanding sate Muo tetapi sedapnya memang setara. Selain sate, roti jala juga jangan lupa untuk dicuba kerana bukan sahaja rotinya lemak, kari ayam yang dipadankan memang bukan kari ayam biasa. Lontong nasi impit di sini juga berperisa, serupa gaya orang Selatan menyediakannya.

Apa saja yang tiada di Tingkap? Nasi lemak, nasi goreng, mee goreng, mihun, nasi berlauk dan bermacam-macam lagi juadah Melayu yang sesuai untuk makan pagi, tengahari dan minum petang. Ubi rebusnya juga direbus cukup empuk dan dipadan dengan sambal dan kelapa parut, memang nostalgik sekali!

Tingkap Cafe juga menawarkan kopi popular 434 Muar untuk dicuba tanpa perlu memandu ke selatan tanahair.  Teh di sini juga rasanya seperti teh zaman dulu, ada sedikit aroma yang berbeza; menggamit memori zaman kanak-kanak di awal 80an. 

Pemilihan dan susunan kerusi meja di Tingkap boleh memuatkan ramai pelanggan dalam satu-satu masa. Tetapi, walaupun ada barisan menunggu, ianya tidaklah lama mana. Yang pasti, makanan di sini memang lazat dan sesuai dengan citarasa orang Malaysia. 

Tingkap Cafe
 52, Jalan 1/14, PJ Old Town, 46000 Petaling Jaya, Selangor
Buka: 800 pagi – 430 petang Setiap Hari (kecuali Isnin)
Tutup: Isnin

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑