Tafsir Ringkas Surah al-Anbiya’ 21: 83-8, Kisah Kesabaran Nabi Ayyub A.S.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ (٨٣) فَٱسْتَجَبْنَا لَهُۥ فَكَشَفْنَا مَا بِهِۦ مِن ضُرٍّۢ ۖ وَءَاتَيْنَـٰهُ أَهْلَهُۥ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةًۭ مِّنْ عِندِنَا وَذِكْرَىٰ لِلْعَـٰبِدِينَ(٨٤)
Maksudnya: “Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika dia berdoa kepada Tuhannya, (Ya Tuhanku), sungguh, aku telah ditimpa penyakit, padahal Engkau Tuhan Yang Maha Penyayang dari semua yang penyayang. Maka Kami kabulkan(doa)nya, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan (Kami lipat gandakan jumlah mereka) sebagai suatu rahmat dari Kami, dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Kami.”
(Al-Anbiya’ 21:83-8)
Tafsir dan Penjelasan
Nabi Ayyub a.s. adalah potret kesabaran yang ideal dan masyhur dalam menjalani ujian dan menghadapi musibah sehingga ia menjadi perumpamaan dalam kesabaran dan ketabahan. Sering diucapkan kata-kata “seperti kesabaran Nabi Ayyub a.s.“.
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ (٨٣)
Dan ingatlah wahai Rasul (supaya menjadi keteladanan, pelajaran, dan panutan) tentang kisah Nabi Ayyub a.s. yang mengalami ujian pada harta, anak, dan tubuh badannya. Tatkala dia berdoa kepada Tuhannya sedang dia menderita suatu penyakit, “Ya Rabbi, sesungguhnya hamba tertimpa penyakit dan kepayahan, sedang Engkau adalah Zat Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.”
Di sini, Nabi Ayyub a.s. menggambarkan dirinya dengan sesuatu yang membangkitkan belas kasihan serta menyebut Tuhannya dengan puncak sifat kasih tanpa menyebutkan secara jelas permintaannya. Ini adalah satu bentuk kelembutan dan sikap kasihan dalam berdoa, sekaligus kerana keimanannya bahawa Tuhannya Maha Mengetahui tentang keadaannya.
(نَادَىٰ) di sini bererti berdoa. Nabi Ayyub a.s. menderita penyakit yang tidak sembuh-sembuh. Namun, penyakitnya bukanlah penyakit yang menjijikkan dan merosakkan tubuh badan kerana para nabi terjaga dari berbagai penyakit yang menjijikkan. Meskipun Nabi Ayyub a.s. sakitnya cukup lama, isterinya tetap setia menjaga, mencurahkan kasih sayangnya serta sentiasa merawat dan mengurusnya.
Rasulullah SAW dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Bukhari, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah dari Sa’d r.a., bersabda yang maksudnya:
“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, kemudian orang-orang soleh, begitu seterusnya sesuai dengan tingkat keimanan dan keberagamaannya. Seseorang diberi ujian sesuai dengan tingkat keberagamaannya. Jika seseorang kuat dan kukuh dalam keberagamaannya, maka ujian yang diberikannya juga berat.” (HR Ahmad, Bukhari, Tirmidzi, dan Ibnu Majah)
Adh-Dhahhak dan Muqatil menuturkan, Nabi Ayyub a.s. menjalani ujian itu dalam tempoh waktu tujuh tahun tujuh bulan tujuh hari tujuh jam. Ibnul Arabi mengatakan bahawa itu sesuatu yang mungkin, tetapi perlu diingat bahawa tidak ada suatu riwayat yang sahih tentang berapa lama dia menjalani ujian tersebut
Maka Kami kabulkan(doa)nya, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya (فَٱسْتَجَبْنَا لَهُۥ فَكَشَفْنَا مَا بِهِۦ مِن ضُرٍّۢ ۖ)
Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan (Kami lipat gandakan jumlah mereka) (وَءَاتَيْنَـٰهُ أَهْلَهُۥ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ)
Kami mengganti harta, keluarga, dan anak-anaknya yang hilang, serta mengembalikan keadaan tubuhnya seperti sediakala sebagai rahmat Kami kepadanya sekaligus mengingatkan orang-orang yang menyembah Allah SWT agar meneladaninya, bersabar seperti kesabarannya, supaya mendapatkan pahala seperti yang didapatkannya. Selain itu, hal tersebut bertujuan agar, seorang Mukmin tidak berputus asa dari pengampunan, rahmat dan kurnia Allah SWT. Jangan sampai seorang Mukmin berfikir bahawa dia tidak akan terkena musibah yang tidak diinginkan. Sebab dunia adalah panggung ujian dan dugaan. (رَحْمَةًۭ مِّنْ عِندِنَا وَذِكْرَىٰ لِلْعَـٰبِدِينَ)
Az-Zamakhsyari menuturkan kerana rahmat Kami kepada orang-orang yang beribadah menyembah Tuhannya. Atau sebagai rahmat dari Kami kepada Nabi Ayyub a.s. sekaligus sebagai peringatan kepada untuk orang-orang yang beribadah kepada-Nya agar bersabar seperti kesabaran Ayyub a.s. sehingga mereka pun mendapatkan pahala seperti yang dia perolehi baik di dunia maupun di akhirat.
Sumber: Tafsir Al-Munir, Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, Jilid 9
Leave a comment