Teks Khutbah Jumaat (Jakim): Waspada Jarum Beracun

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ ٱلْيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم بَعْدَ ٱلَّذِى جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا نَصِيرٍ (١٢٠)

(سورة البقرة)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Semoga kita termasuk dalam kalangan umatnya yang mendapat syafaat. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual. 

Saya juga mendapati bahawa masih ada segelintir jemaah yang leka menggunakan telefon bimbit ketika khutbah sedang disampaikan. Tinggalkanlah sejenak urusan duniawi dan dengarkan baik-baik khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua. 

Pada hari ini saya akan membicarakan khutbah bertajuk: “Waspada Jarum Beracun”. 

Sebelum itu, saya ingin mengingatkan seluruh umat Islam untuk terus mendoakan penduduk Palestin yang semakin teruk ditindas oleh rejim zionis Israel yang serangannya kini telah pun sampai ke Rafah yang merupakan tempat perlindungan penduduk Palestin. Jelas dan nyata bahawa Israel memang berniat melakukan genosid terhadap rakyat Palestin dan seterusnya merampas keseluruhan bumi Palestin untuk mereka. 

Maka teruslah bermunajat kepada Allah SWT memohon pertolongan buat mereka dan janganlah lupakan mereka. Semoga mereka semua diberi kekuatan, kesabaran, dan kemenangan dalam mematahkan segala muslihat dan tipu daya rejim zionis laknatullahi ‘alaihim. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah

Dunia Islam hari ini berhadapan dengan “perang saraf” atau serangan pemikiran yang meliputi fahaman sekularisme, liberalisme, pluralisme, hedonisme dan bermacam lagi yang memberi impak sangat besar terhadap umat Islam dari aspek kepercayaan mahupun amalan dalam beragama. Idealisme-idealisme ini sudah tentunya berasal dari Barat yang semakin hari semakin berkembang ke seluruh pelusuk dunia melalui jarum-jarum halus beracun yang dimasukkan perlahan-lahan dalam urusan kehidupan manusia. 

Perkembangan ideologi dan fahaman Barat ini begitu meresahkan kerana kita dapat melihat perubahan yang sangat ketara terhadap cara hidup masyarakat Melayu dan umat Islam hari ini terutamanya yang telah pun diracuni sedikit demi sedikit dengan fahamanfahaman ini. Serangan ideologi ini juga telah menyebabkan manusia semakin ketandusan akhlak mulia dan nilai-nilai pekerti sama ada terhadap ibu bapa, ahli keluarga, guru, rakan-rakan dan masyarakat umumnya. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah Sekalian, 

Saya ingin menjelaskan secara ringkas berkenaan fahaman-fahaman yang telah dan sedang menyerang masyarakat hari ini. 

Pertama: Pluralisme iaitu fahaman yang mengajar bahawa semua agama adalah sama. Pemeluk agama tidak boleh mendakwa hanya agamanya sahaja yang benar manakala agama lain salah. Bagi kita umat Islam, ia bertentangan dengan al-Quran yang menyatakan dengan jelas sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah ali Imraan ayat 19: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

نَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ ۗ وَمَا ٱخْتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ (١٩)

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya”.

(Ali Imraan 3:19)

Kedua: Liberalisme iaitu fahaman yang memperjuangkan masyarakat yang bebas bersuara, berfikir dan menolak pembatasan terutamanya daripada pemerintah dan agama. Fahaman ini juga mengajarkan bahawa masalah hubungan antara makhluk dengan penciptanya merupakan masalah peribadi. Mereka didoktrin dengan kebebasan menjalankan ajaran agama mengikut tafsiran mereka sendiri, atau kebebasan untuk tidak memilih agama. 

Ketiga: Sekularisme iaitu mengajarkan pengasingan agama dengan urusan-urusan dunia. Fahaman ini tidak lain bertujuan menjauhkan manusia dari kehidupan akhirat demi mencapai kehendak sendiri yang berorientasikan dunia semata-mata tanpa mengambil kira halal dan haram sesuatu perkara. Sayid Qutb mendefinisikan sekularisme sebagai “pembangunan struktur kehidupan tanpa dasar agama dan menganggap bahawa fahaman ini jelas bertentangan dengan Islam bahkan merupakan musuh Islam yang paling berbahaya”. Ia bertentangan dengan konsep kesyumulan Islam bahkan bagi kaum Muslimin, agama itulah yang menjadi pengawal kepada setiap urusan kehidupan manusia agar manusia tidak bertindak sesuka hati dan melampaui batas. 

Keempat: Hedonisme iaitu fahaman yang menyeru manusia untuk mengejar keseronokan dan kenikmatan material sebagai tujuan utama hidup. Dalam lingkungan penganut fahaman ini, hidup dilaksanakan dengan sebebas-bebasnya tanpa batas demi memenuhi hawa nafsu melalui pesta-pesta hiburan dan seumpamanya. Dari fahaman ini, ia tidak lain mewujudkan kesan negatif lain. Bermula dengan sikap ego yang menjadi pangkal kepada hasrat mengejar keduniaan seterusnya membentuk peribadi yang mementingkan diri dan keghairahan terhadap kemewahan lalu kemudiannya mula menindas orang lain demi mencapai matlamatnya itu. 

Ibn Khaldun pernah mengungkapkan: “Sejauh mana sesebuah masyarakat tenggelam dalam hedonisme, sejauh itulah mereka akan mendekati batas kehancuran. Proses kehancuran akan terjadi kerana hedonisme secara perlahan akan menyebabkan kemiskinan masyarakat dan negara. Sejauh mana hedonisme mewabak, sejauh itu jugalah kemiskinan akan tersebar di tengah masyarakat. Di pihak lain, membuang-buang harta untuk membeli barang-barang mahal yang hanya dimaksudkan untuk berbangga-bangga, perlahan-lahan akan mengheret sesebuah negara kepada pihak asing”.

Begitulah sebenarnya keadaan umat akhir zaman sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya kamu akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kamu ikuti itu masuk ke lubang dhab (yang sempit sekalipun), pasti kamu pun akan mengikutinya”. Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah! Apakah yang diikuti itu ialah Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Lantas siapa lagi?”.

(Hadis riwayat Imam Muslim) 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian

Semua fahaman yang disebutkan tadi menyerang masuk melalui pelbagai cara antaranya seperti drama, filem, media sosial, sukan, lagu dan segala bentuk kesenangan dan keseronokan yang disukai oleh fitrah manusia. Ada sebahagian filem dan karya seni pula yang dihasilkan pada hari ini semakin berani menyinggung kesucian Islam dan mempersendakan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ia nampak kecil pada zahirnya atas alasan sekadar hiburan namun hakikatnya ia memakan kesan yang sangat besar terhadap pemikiran dan cara hidup masyarakat terutamanya pada golongan muda. 

Ada sebahagiannya pula masuk melalui persatuan-persatuan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Mereka cukup lantang mempersoalkan dan mencabar hukum-hakam Islam malah mentafsir ajaran Islam mengikut logik akal mereka sendiri. 

Maka umat Islam hendaklah sentiasa berhati-hati dengan dakyah dan tipu daya hiasan iblis melalui golongan ingkar yang sentiasa berusaha memadam cahaya kebenaran (Islam) walaupun Allah SWT telah menjamin keselamatan dan pemeliharaan cahaya Islam di muka bumi ini. 

Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin membuat beberapa rumusan: 

Pertama: Dunia hari ini berhadapan dengan “perang saraf” yang bergerak secara halus melalui pelbagai ideologi songsang yang dibawa oleh Barat. 

Kedua: Idealisme yang dibawa oleh Barat berteraskan keduniaan dan kebebasan hidup semata-mata dan bertujuan menjauhkan manusia dari Penciptanya. 

Ketiga: Umat Islam perlu sentiasa berhati-hati dengan dakyah yang dibuat oleh pihak yang memusuhi Islam dengan cuba memadamkan cahaya Islam melalui pelbagai cara dari bersinar di muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 32:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

يُرِيدُونَ أَن يُطْفِـُٔوا۟ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفْوَٰهِهِمْ وَيَأْبَى ٱللَّهُ إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُۥ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْكَـٰفِرُونَ (٣٢)

Maksudnya: “Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”

(at-Taubah 9:32)

Tarikh Dibaca: 13 Syaaban 1445H/23 Februari 2024M
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑