أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ (٢٧)
وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَـٰدُكُمْ فِتْنَةٌۭ وَأَنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌۭ (٢٨)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan perbuatan kemungkaran. Mudah-mudahan, kita sentiasa berada dalam rahmat, taufik dan hidayah-Nya di dunia untuk memburu kejayaan di akhirat.
Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang lalai ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Semoga Allah SWT mengganjari pahala atas amal ibadah yang kita laksanakan.
Mimbar mengingatkan para jemaah sekalian, marilah kita istiqamah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau dan mengimarahkan program-program serta kuliah-kuliah pengajian yang dilaksanakan. Semoga kita tergolong bersama hamba-hamba Allah SWT yang tekun mengimarahkan rumah Allah serta mendapat kerahmatan dan keberkatan dalam kehidupan.
Khatib pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Anak Amanah Berharga”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Anak-anak merupakan anugerah yang amat bermakna kepada ibu bapa. Kehadiran mereka di dalam rumah tangga menjadi satu amanah yang besar daripada Allah SWT dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Allah SWT telah menyatakan secara jelas tentang tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Anfaal ayat 27 dan 28 yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”
(Al-Anfal 8:27-28)
Oleh kerana anak-anak adalah tanggungjawab dan anugerah yang amat bernilai daripada Allah SWT, maka sebagai ibu bapa atau penjaga, kita hendaklah sentiasa memberikan penjagaan dan didikan yang terbaik kepada mereka. Allah SWT pasti memberikan ganjaran dan kebaikan di dunia dan di akhirat bagi ibu bapa yang berusaha dan bersabar dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Namun, jika ibu bapa lalai dan alpa dalam mendidik mereka, pasti ianya mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Seringkali kita dipaparkan dengan kes-kes pengabaian tanggungjawab dan kecuaian ibu bapa untuk menjaga dan mengawasi anak-anak. Lebih mendukacitakan apabila ia membawa kepada kes-kes kemalangan yang menyebabkan kehilangan nyawa anak-anak kerana sikap kurang kepekaan ibu bapa atau penjaga dalam memberi perhatian pada setiap gerak geri anak-anak dan sikap tidak acuh terhadap mereka ketika berada di rumah atau di luar. Dalam kesibukan mencari nafkah keluarga, terdapat juga ibu bapa yang terpaksa keluar bekerja, namun anak-anak yang masih kecil ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan orang dewasa. Ini juga merupakan salah satu bentuk pengabaian ibu bapa terhadap anak-anak.
Ketahuilah bahawa kecuaian kita terhadap tanggungjawab memastikan keselamatan dan pengawasan yang rapi terhadap anak-anak terutama di usia mereka masih bayi dan kecil merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Justeru, kerajaan sentiasa mengambil perhatian yang serius dalam membasmi pengabaian, kecuaian, penderaan dan jenayah yang membabitkan kanak-kanak. Dasar Kanak- Kanak Negara telah digubal mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak agar dapat mencapai perkembangan yang baik dalam persekitaran yang kondusif.
Dasar ini bermatlamatkan untuk melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni. Semua pihak khususnya ibu bapa perlu memainkan peranan yang menyeluruh agar anak-anak mendapat penjagaan dan pendidikan yang terbaik serta memastikan hak-hak mereka dapat dipelihara.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya peranan kita sebagai ibu bapa atau penjaga sangat besar dalam mendidik dan menjaga keselamatan anak-anak. Mereka bukan sahaja anugerah dan amanah daripada Allah SWT tetapi juga menjadi saham di dunia dan di akhirat yang berterusan kepada ibu bapa sekiranya dididik dengan ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”
Maka kita lebih bertanggungjawab dalam menjaga segala keperluan fizikal, rohani dan emosi anak-anak pada setiap masa. Justeru, bagi membantu ibu bapa atau penjaga, mimbar mengambil kesempatan untuk mencadangkan beberapa perkara antaranya:
Pertama: Tingkatkanlah kawalan fizikal kepada anak-anak ketika berada di rumah dan diluar rumah termasuklah melakukan pemeriksaan sebelum meninggalkan rumah atau kenderaan. Ini bagi mengelakkan kejadian anak-anak yang ditinggalkan di rumah atau kenderaan sehingga membawa musibah kepada mereka.
Kedua: Banyakkanlah komunikasi dua hala dengan anak-anak supaya mereka lebih menumpukan perhatian terhadap kita. Hubungan kekeluargaan yang erat, stabil dan penyayang adalah sokongan terbaik untuk perkembangan positif kanak-kanak.
Ketiga: Suami dan isteri mesti saling berperanan untuk ingat mengingati antara satu sama lain tentang pengawasan anak-anak. Komunikasi yang baik dapat mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
Keempat: Kerjasama masyarakat setempat, orang ramai dan kaum keluarga mesti dijalinkan terutama keprihatinan terhadap isu kanak-kanak. Laporkan segera kepada pihak berkuasa jika berlaku kes-kes pengabaian kanak-kanak dalam kejiranan dan persekitaran.
Kelima: Semua pihak mesti berperanan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keselamatan kanak-kanak melalui kempen-kempen yang berterusan di media sosial.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mimbar sekali lagi mengingatkan kepada semua ibu bapa dan penjaga, pastikanlah keselamatan anak-anak kita walau di mana mereka berada dan dalam apa jua keadaan. Ingatlah, kelalaian dan kecuaian kita hanya mengundang padah dan malapetaka yang tidak terduga.
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Anak-anak adalah anugerah yang amat bermakna kepada ibu bapa dan sentiasalah kita memberikan penjagaan dan didikan yang terbaik kepada mereka dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Kedua: Jadilah ibu bapa yang peka dan cakna akan tugas keibubapaan supaya pengabaian tanggungjawab serta kecuaian terhadap anak-anak dapat dielakkan.
Ketiga: Bersabarlah dalam mendidik dan membesarkan anak-anak kerana mereka adalah gudang pahala buat kita dan berusahalah sedaya upaya untuk menjadi ibu bapa yang terbaik buat mereka.
Mengakhiri khutbah, hayati firman Allah SWT dalam surah at-Tuur, ayat 21:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَـٰنٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَآ أَلَتْنَـٰهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَىْءٍۢ ۚ كُلُّ ٱمْرِئٍۭ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌۭ (٢١)
“Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.”
(At-Tuur 52:21)
Tarikh Dibaca: 13 Syaaban 1445H/23 Februari 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment