Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 21 – Istiqamah dan Iman

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (١٣)

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

(Al-Ahqaaf 46:13)

Daripada Abu ‘Amr (ada yang menyebut Abu Amrah) Sufyan bin Abdullah al-Tsaqafi berkata:

يَا رَسُوْلَ اللهِ، قُلْ لِي فِي الْإِسْلَام قَوْلًا، لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ ؟ قَالَ: قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ، ثُمَّ اسْتَقِمْ.

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, katakanlah kepada saya satu ungkapan tentang Islam, yang saya tidak memintanya kepada seorang pun kecuali kepadamu.” Rasulullah SAW bersabda: “Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah.”

(Riwayat Muslim no. 38)

Huraian 

Ungkapan “Katakanlah kepada saya satu ungkapan tentang Islam, yang saya tidak memintanya kepada seorang pun kecuali kepadamu,” bermaksud, “Ajarkanlah kepadaku satu kalimah yang pendek, tetapi mengandungi makna yang padat dan berisi tentang pengertian Islam yang mudah difahami, sehingga aku tidak lagi perlu penjelasan orang lain untuk menjadi dasar amalan.”

Maka Rasulullah SAW menjawab: “Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah.” Ini ialah kalimah pendek, padat berisi yang Allah SWT berikan kepada Rasulullah SAW. 

Dua kalimah ini telah memenuhi pengertian iman dan Islam secara utuh.

Baginda menyuruh orang tersebut untuk selalu memperbaharui imannya dengan ucapan lisan dan mengingat di dalam hati, serta menyuruh dia secara teguh melaksanakan amal-amal soleh dan menjauhi semua dosa.

Hal ini kerana seseorang tidak dikatakan istiqamah jika dia menyimpang walaupun hanya sebentar. Hal ini selari dengan firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللهُ ثُمَّ اَسْتَقَامُواْ

Maksudnya: Sesungguhnya mereka yang berkata: “Allah ialah Tuhan kami kemudian mereka istiqamah…”

(Surah al-Ahqaf 46:13)

Beriman kepada Allah semata-mata kemudian hatinya tetap teguh pada keyakinannya itu dan taat kepada Allah sampai mati.

Umar bin Khattab berkata:

“Mereka (para sahabat) istiqamah demi Allah dalam mentaati Allah dan tidak sedikit pun mereka itu berpaling, sekalipun seperti berpalingnya musang.”

Maksudnya, mereka lurus dan teguh dalam melaksanakan sebahagian besar ketaatannya kepada Allah, baik dalam keyakinan, ucapan, mahupun perbuatan dan mereka terus-menerus berbuat begitu (sampai mati). Demikianlah pendapat sebahagian besar para mufasir.

Inilah makna hadis tersebut, insyaAllah. Begitu pula firman Allah:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ

Maksudnya: “Maka hendaklah kamu beristiqamah seperti yang diperintahkan kepadamu.”

(Surah Hud 11:112)

Abul Qasim al-Qusyairi berkata: “Istiqamah ialah satu tingkatan yang menjadi penyempurna dan pelengkap semua urusan. Dengan istiqamah, segala kebaikan dengan semua aturannya dapat diwujudkan. Orang yang tidak istiqamah dalam melakukan usahanya, pasti sia-sia dan gagal.”

Beliau berkata pula: “Ada yang berpendapat bahawa istiqamah itu hanyalah dapat dijalankan oleh orang-orang besar, kerana istiqamah adalah menyimpang daripada kebiasaan, menyalahi adat dan kebiasaan sehari-hari, teguh di hadapan Allah dengan kesungguhan dan kejujuran.”

Pengajaran

  • Beriman kepada Allah SWT harus mendahului ketaatan.
  • Amal soleh dapat menjaga keimanan. 
  • Melaksanakan iman dan amal soleh harus berjalan serentak. 
  • Sifat beristiqamah (استقامة) merupakan darjat yang tinggi.
  • Para sahabat memiliki keinginan yang kuat untuk menjaga agama dan meningkatkan keimanan mereka.
  • Perintah untuk istiqamah dalam bertauhid dan ikhlas dalam beribadah hingga ke akhir hayat hanya kepada Allah semata-mata.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

One thought on “Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 21 – Istiqamah dan Iman

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑