Bayangkan seseorang yang dijemput ke istana sebagai seorang tetamu diraja atau sultan. Sudah tentu dia dihidangkan dengan pelbagai hidangan yang sedap dan beristirahat di tempat yang nyaman. Sudah tentu dia dilayan dengan layanan sebaiknya oleh beberapa orang pelayan yang berpakaian segak bergaya. Bermula dari pintu masuk istana sehinggalah ke dalam semula.
Namun, hebat bagaimanapun istana dunia, sesiapa yang memasukinya akan keluar darinya juga termasuklah penghuninya apabila ajal datang menjemput. Ini pula menjadi tetamu Raja dan Tuhan sekalian alam, Rabbul Alamin.
Beruntunglah mereka ini, yang percaya dan membenarkan segala yang disampaikan oleh para nabi dan beriman dengan-Nya yang Esa. Sesiapa yang memasukinya akan kekal selama-lamanya. Penghuninya tidak sama sekali berhajat untuk keluar, manakala ahli neraka berharap dapat memasukinya sepanjang mereka diazab. Alangkah indahnya syurga yang merupakan hadiah Allah SWT kepada orang beriman.
Dalam tulisan ini, saya akan cuba bawakan ayat al-Quran yang menceritakan tentang gambaran syurga Allah SWT. Ya! Gambarannya sahaja, kerana hakikatnya yang sebenar hanya akan dapat dirasai apabila seseorang itu berjaya memasukinya.
Tujuan penulisan ini tidak lain dan tidak bukan adalah supaya pembaca dapat bertambah semangat mencari keredaan Allah SWT dengan menambah amal kebaikan.
Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:
“Aku telah menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh kenikmatan yang belum pernah mata melihatnya, belum pernah telinga mendengarnya, dan belum pernah pula terdetik dalam kalbu manusia.”
(HR al-Bukhari)
Gambaran Pertama: Keluasan Syurga
Firman-Nya yang Esa: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Ali-Imran 3:133)
Menurut Imam al-Tabari luas bidangnya 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi. Dapat kita fahami dari gambaran keluasan syurga ini beberapa perkara. Pertama keagungan Allah SWT yang menciptanya. Kedua keagungan syurga itu sendiri. Ketiga rahmat Allah SWT kepada hamba-hambanya dengan melapangkan syurga seluasluasnya bagi mereka.
Gambaran Kedua: Kedudukan Mahligai Ahli Syurga
Kawasan perumahan ahli syurga ialah kebun-kebun di atas tempat yang Turath tinggi seperti bukit atau tanah tinggi. Di bawahnya pula terdapat sungai-sungai yang mengalir. Firman Allah SWT:
“(Mereka tinggal menetap) di dalam syurga tinggi (tempat kedudukannya darjatnya),”
(Al-Ghashiyah 88:10)
“Di dalam Syurga itu ada matair yang mengalir,”
(Al-Ghashiyah 88:12)
Sebahagian ulama tafsir berpandangan berdasarkan ayat di atas, mahligai-mahligai syurga kedudukannya di tempat tinggi. Untuk mendekatkan gambaran kepada pembaca, boleh kita bayangkan sebuah rumah di atas kawasan Cameron Highland.
Dengan kebun-kebun anggur dan teh yang pelbagai. Betapa nyamannya dan teduhnya pula berterusan sehingga ke tengahari dan petang.
Gambaran Ketiga: Keadaan Beristirahat Penghuni Syurga
Di dalam al-Quran diceritakan beberapa keadaan beristirahat ahli syurga.
Pertama: Duduk bersandar. Firman Allah SWT: “Dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar).” (Al-Ghashiyah 88:15)
Kedua: Baring sambil menikmati buah-buahan. “Mereka berehat di dalam syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk.” (Al-Insan 76:13)
“Sedang naungan pohon-pohon syurga itu dekat kepada mereka, dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.” (Al-Insan 76:14)
Imam al-Tabari menyebut dalam tafsirnya, makna “buah-buahannya pula dimudahkan untuk mereka memetiknya” bererti dimudahkan untuk mereka memetiknya dalam pelbagai keadaan mereka, sama ada berdiri, duduk, mahupun berbaring. Yakni rimbunan buah buahan itu datang menghampiri mereka untuk memudahkan mereka memetiknya. Lihatlah wahai sekalian pembaca, setelah mereka penat beribadah di dunia, bersabar atas larangan Allah dan mematahui segala arahanNya, kini tibalah masa mereka beristirahat di dalam syurga Allah SWT.
Ketiga: Tempat tidur mereka dari tilam yang empuk dan tinggi. Ini yang dapat difahami daripada firman Allah SWT: “Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya).” (Al-Ghashiyah 88:13) Pelamin atau tilam yang tinggi ini dapat difahami dengan tilam yang tebal dan empuk, dan juga pemandangan daripada tempat tidurnya yang tinggi itu, di mana dia melihat pemandangan yang indah tidak terkata.
Gambaran Keempat: Makanan dan Minuman Ahli Syurga
Makanan dan minuman mereka pula terdiri daripada hidangan yang lazat. Sebelum berbincang mengenai hidangan, mari kita lihat jenis pinggan mangkuk, cawan gelas yang digunakan dalam syurga Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): Bijana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya).”
(Al-Insan 76:15)
Pinggan mangkuknya adalah dari perak yang berkilauan menunjukkan kemewahan dan ketinggian darjat mereka. Manakala minuman dihidangkan daripada piala-piala yang lutsinar. Peminum dapat melihat warna dan jenis air di dalam gelas-gelas tersebut. Ini kerana melihat warna air dan jenisnya menarik minat peminum. Sepertimana mana kita lihat iklan air jus yang cantik warnanya menunjukkan seolah-olahnya air itu adalah air buah yang segar, sedangkan ianya hanyalah bahan pengawet dan perisa. Beginilah Allah SWT memancing hamba-hambanya yang soleh, tetapi di syurga air-airnya segar bugar seperti yang dijanjikan kerana ianya arahan dari Tuhan sekalian alam.
Manakala makanan mereka pula ialah daging dan buah-buahan. Bahkan segala yang mereka pernah memakannya ketika di dunia. Namun rasanya sangat lazat jauh beza dengan dunia. Firman Allah SWT:
“Dan (penduduk syurga itu) Kami tambahi mereka (dari semasa ke semasa), dengan buah-buahan dan daging daripada berbagai jenis yang mereka ingini.”
(At-Tur 52:22)
Bukan setakat buah yang berlainan rasa dan rupa, daging juga bukan setakat daging burung, tetapi segala jenis daging yang mereka ingini. Peminat daging kambing boleh mendapatkannya. Daging harimau menangis dan sebagainya, khas bagi tetamu-tetamu Allah SWT.
Air minuman pula daripada pelbagai jenis termasuklah arak, madu dan susu yang terdapat sungai khusus mengalir untuk mereka minum. Firman Allah SWT:
“Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buahbuahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!”
(Muhammad 47:15)
Sebahagian mufasirin menyebut ketiga-tiga sungai yang mengalir ini lahir dari asal yang baik dan suci. Bukan seperti di dunia, air seperti arak terhasil dengan peraman anggur yang membusuk. Susu keluar dari laluan najis dan darah binatang. Madu pula keluar dari perut lebah. Air-air di dalam syurga ini berasal dari syurga itu sendiri, bukan penghasilan sesuatu yang lain yang mungkin membusuk ataupun rosak. Subhanallah! Maha suci Allah SWT yang menganugerahkan kepada hamba-hambanya segala nikmat ini untuk keselesaan tetamu-Nya yang Esa. Ini merupakan janji-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Dan Allah SWT sama sekali tidak akan memungkiri janji-Nya.
Oleh yang demikian, seorang manusia yang berakal waijb mengambil kesempatan ini dan beribadah kepada Allah sebaik yang mungkin supaya dapat masuk ke dalam syurga Allah SWT. Sepertimana dia telah merasai penjagaan Allah SWT ketika di dunia meliputi rezeki, kehidupan dan kebahagian, Tuhan inilah yang akan mengganjari mereka di akhirat kelak. Keyakinan itulah keimanan.
Berpeganglah kepada iman dan amal, nescaya kita semua mendapat keredaannya serta kurniaan syurga-Nya yang Esa. Setiap orang dari kita juga tidak terlepas dari bermuhasabah diri, adakah layak dia mendapat syurga Allah SWT ini. Adakah dia telah memenuhi segala janji-janji kepada Allah SWT supaya mengesakan dan tidak menyembah selain Dia yang Esa. Wallahuallam.
Oleh: Dr. Muhammad Ikram bin Abu Hassan, Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Sumber: Majalah Sinar Rohani, JAKIM
Leave a comment