Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Bahana Pemberi Dan Penerima Rasuah

 أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ(١٨٨)

 يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua. 

Pada hari ini, khatib akan menyampaikan khutbah yang bertajuk “Bahana Pemberi Dan Penerima Rasuah.” 

Hadirin yang dikasihi Allah sekalian

Jenayah rasuah adalah satu perbuatan yang telah membarah menyelinap dalam sistem kehidupan masyarakat kita pada hari ini. Dewasa ini, tohmahan yang dilemparkan sama ada realiti atau persepsinya, isu-isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa sering dikaitkan dengan politik, sektor perkhidmatan awam, sektor ekonomi, perdagangan, keselamatan dan sebagainya. 

Ia meliputi kesalahan memberi, menawar, menerima suapan, tuntutan palsu, penipuan transaksi dan dokumen untuk kepentingan individu, keluarga dan golongan-golongan tertentu. Inilah bentuk-bentuk kesalahan yang jelas merupakan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan. 

Hadirin Jemaah sekalian, 

Sesungguhnya perbuatan rasuah adalah haram di sisi Islam, berdosa besar serta dimurkai oleh Allah SWT. Hal ini sebagaimana dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang dinyatakan pada mukaddimah khutbah ini bermaksud: 

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.”

(al-Baqarah 2:188)

Manakala disebut dalam sepotong hadis yang mengingatkan kita tentang haramnya perbuatan rasuah yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”.

(Riwayat Ibnu Hibban)

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Kitab al-Halal wal-Haram Fil Islam, beliau menyatakan: “Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah (suapan), iaitu wang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukuman yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada sesuatu kepentingan dan sebagainya.” 

Manusia yang sanggup melakukan jenayah rasuah, mereka ini tidak takut akan ancaman dan laknat Allah dan Rasul-Nya kerana mereka ini hanya mementingkan diri sendiri, bersifat rakus, tamak, sanggup mendapatkan sesuatu yang bukan hak mereka sehingga menggadai maruah diri demi memenuhi nafsu mengumpul kekayaan dengan jalan yang salah dan melakukan penganiayaan. Golongan ini sebenarnya telah berlaku zalim terhadap diri sendiri dan orang lain serta mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan atas bahu-bahu mereka. 

Rezeki yang diperolehi daripada sumber haram diberikan pula kepada anak, isteri dan ahli keluarga, maka bagaimanakah hendak melahirkan zuriat yang soleh dan solehah, keluarga yang ada mawaddah dan sakinah? Lebih malang lagi, hilangnya keberkatan dalam rezeki yang diperolehi. Ingatlah peringatan Baginda SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah Radiallahuanhuma yang bermaksud:

 “Sesungguhnya tidak akan masuk syurga setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka nerakalah lebih layak untuknya.”

(Riwayat Ahmad)

Hadirin sekalian,

Perbuatan rasuah merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan. Terdapat tiga kesan buruk yang sangat besar akibat jenayah rasuah yang berlaku, iaitu: 

1. Pelaku rasuah (pemberi, penerima atau orang tengah yang menjadi perantara) telah melakukan satu bentuk kezaliman. Hal ini berlaku apabila suapan (rasuah) kepada pihak yang menerima telah mengubah suatu keputusan yang memihak kepada dirinya, dalam masa yang sama menafikan hak orang lain. 

2. Orang yang dinafikan haknya iaitu orang yang dizalimi ini akan dikabulkan oleh Allah SWT doa yang mereka pohon. Maka awas dan beringatlah, bahawa lambat laun, mereka yang melakukan jenayah rasuah ini tidak akan terlepas daripada balasan atas perbuatan keji mereka. Jika terlepas di dunia, jangan ingat akan terlepas di akhirat kelak. 

3. Perbuatan atau perlakuan jenayah rasuah yang berleluasa dalam kalangan masyarakat kita akan memberi impak negatif yang sangat dahsyat sekiranya tidak dibendung. la boleh menyebabkan keadaan politik yang tidak stabil, ekonomi yang merudum, tatakelola yang hancur, mengancam keselamatan negara, penyalahgunaan kuasa berleluasa, kekayaan dikuasai oleh golongan-golongan tertentu, yang kaya terus kaya dan semakin rakus, yang miskin semakin tertekan dan ditindas namun tiada pembelaan, maka natijahnya sesebuah negara itu bakal runtuh dan mencetuskan huru-hara akibat jenayah rasuah yang membarah umpama api dalam sekam, atau gunting dalam lipatan.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian, 

Umum mengetahui, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan agensi yang berperanan dan bertanggungjawab menangani isu-isu rasuah di negara kita. Dalam usaha SPRM memerangi jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, agensi ini juga memerlukan sokongan dari agensi-agensi kerajaan yang lain, termasuk sektor swasta, korporat, golongan profesional serta pelbagai lapisan masyarakat umumnya, agar berganding bahu bersama-sama SPRM dalam kerangka memerangi jenayah rasuah dan berusaha bersungguh-sungguh menjadikan Malaysia sebagai negara yang bebas rasuah. 

Mimbar juga menyeru semua pihak agar sama-sama berusaha memerangi jenayah rasuah dalam negara kita secara serius demi memperkasa urus tadbir dan tata kelola terbaik dalam perkhidmatan kerajaan, agensi-agensi badan berkanun, badan swasta dan pelbagai lapisan masyarakat umumnya. Inilah yang dikehendaki dan selaras dengan tuntutan syarak, juga mendorong hasrat kerajaan dalam usaha meningkatkan integriti serta kualiti penyampaian perkhidmatan. 

Hadirin sekalian, 

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah sama-sama kita hayati pengajaran berikut: 

1. Umat Islam hendaklah sedar Allah dan Rasul-Nya melaknat pelaku rasuah yang terdiri daripada pemberi, penerima dan perantara perbuatan tersebut. 

2. Hindarilah rasuah kerana orang yang melakukan perbuatan rasuah tidak mempunyai harga diri kerana sanggup menggadai maruah demi kepentingan peribadi, dan menafikan hak orang lain. 

3. Umat Islam hendaklah memastikan rezeki yang dicari dan diinfakkan adalah dari sumber yang halal untuk memperolehi kebahagiaan dunia dan keselamatan di akhirat.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ   

خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ 

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenarbenar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.”

(Surah Ali Imran 3:110)

Tarikh Dibaca: 23 Februari 2024M/13 Sya’ban 1445H
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑