Masjid Al-Hasanah telah dibina untuk penduduk Bandar Baru Bangi pada tahun 1990an. Ia telah dirasmikan oleh DYMM Tengku Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Sallehuddin Abd Aziz Shah Alhaj pada 10hb Mac 2000.
Masjid ini terletak di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi dan berada di atas tapak seluas 5 ekar dan bersebelahan dengannya adalah kompleks Mahkamah Syariah.

Tapak bangunan Masjid Al-Hasanah telah disediakan oleh PKNS, manakala kos pembinaannya adalah dari peruntukan kerajaan. Plan arkiteknya disediakan oleh pihak JKR dan pembinaan dilakukan oleh pihak swasta dengan kos pada akhir tahun 2000 itu hanya RM2 juta.
Masjid ini dibina berasaskan senibina moden yang mana terdiri dari batu bata konkrit dan beratapkan genting. Sisipan angin dibuat di bahagian atas dinding bagi memastikan pengudaraan yang baik masuk ke dalam masjid. Terdapat juga satu kubah besar yang berwarna hijau dan menara tinggi yang dibina di luar bangunan bagi melambangkan sebuah masjid.

Masjid Al-Hasanah telah terpilih antara salah satu dari 11 masjid dan sebuah kuil sebagai pelopor untuk program Rumah Ibadat Hijau di Malaysia. Empat elemen diberikan penekanan iaitu penjimatan tenaga elektrik, air, pengurangan penjanaan sisa buangan dan pengurusan sisa buangan yang teratur serta penggalakan pembelian produk hijau.

Leave a comment