Diriwayatkan oleh Abi Abdullah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a. bahawa seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW, katanya:
أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ، وَصُمْتُ رمَضَانَ، وَأَحْلَلْتُ الْحَلَالَ، وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ، وَلَمْ أَرَدْ عَلَى ذلِكَ شَيْئًا، أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ؟ قَالَ: نَعَمْ.
Maksudnya: “Bagaimana pendapatmu jika saya melakukan solat fardu, berpuasa pada bulan Ramadan, menghalalkan yang halal, dan mengharamkan yang haram, serta tidak menambahkan selain itu sedikit pun, adakah saya masuk syurga?” Nabi menjawab: “Ya!”
(Riwayat Muslim no. 15)
Huraian
Makna “mengharamkan yang haram” adalah “menjauhinya.”
Makna “menghalalkan yang halal” adalah “melaksanakannya dengan penuh keyakinan akan kehalalannya.”
Sahabat yang bertanya kepada Rasulullah SAW ini bernama Nukman bin Qauqal.
Pengarang kitab al-Mufhim mengatakan secara umum bahawa Nabi SAW tidak mengatakan dalam hadis ini sesuatu yang bersifat tathawwu’ (sunah).
Hal ini menunjukkan bahawa secara umum boleh meninggalkan yang sunah.
Orang Islam hendaklah bersungguh-sungguh mengamalkan ajaran asas agama Islam seperti solat, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji. Melakukan yang sunat akan menambah kesempurnaan Islam dan menghampirkan diri dengan Allah.
Tiga Kategori Orang Yang Meninggalkan Sunah
- Orang yang meninggalkan sunah dan tidak mahu melakukannya sedikit pun. Maka dia tidak memperoleh keuntungan yang besar dan pahala yang banyak.
- Orang yang terus-menerus meninggalkan hal-hal yang sunah. Maka dia telah berkurang agamanya dan berkurang pula nilai kesungguhannya dalam beragama.
- Orang yang meninggalkan sunah kerana sikap meremehkannya. Maka dia merupakan orang yang fasiq dan patut dicela.
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria
Leave a comment