Bolehkah Solat Jamak Dan Qasar Untuk Orang Tua Yang Uzur? 

Soalan

Ibu saya kini dalam keadaan sakit dan agak keuzuran. Ibu juga sukar menguruskan diri sendiri dan memerlukan bantuan orang lain untuk pengurusan diri beliau. Bolehkan ibu saya menunaikan solat fardhu dibuat secara qasar dan jamak atau jamak sahaja memandangkan keadaan kesihatannya yang tidak sihat dan pergerakannya yang agak terbatas untuk bergerak dari segi untuk membersihkan diri dan mengambil wuduk? 

Penjelasan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Pentingnya solat dapat dilihat melalui banyak nas dari al-Quran dan hadis-hadis Nabi. Antaranya, firman Allah SWT:

إِنَّنِيٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعۡبُدۡنِي وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكۡرِيٓ

Maksudnya: Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

(Surah Taha 20:14)

Firman-Nya lagi:

وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱرۡكَعُواْ مَعَ ٱلرَّٰكِعِينَ

Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

(Surah al-Baqarah 2:43)

Firman-Nya lagi:

فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ ٱلسَّٰجِدِينَ

Maksudnya: Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.

(Surah al-Hijr 15:98)

Berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Dibina Islam itu di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha IllaLlaah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.”

(Riwayat Muslim, 16)

Rasulullah SAW telah menunjukkan pedoman rukun-rukun dan kaifiat yang khusus untuk kewajiban solat, sebagaimana terlihat dalam dalil-dalil di atas. Pelaksanaan yang tepat dan betul dari rukun-rukun ini merupakan kehendak Allah SWT yang diwahyukan kepada Nabi-Nya. Namun, penting untuk diingat bahawa Syarak menetapkan syariat sesuai dengan kemampuan manusia, sehingga setiap individu bertanggungjawab untuk melaksanakan ibadat sesuai dengan kemampuannya. Allah SWT berfirman:

فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُمۡ

Maksudnya: Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.

(Surah al-Taghabun 64:16)

Islam adalah agama yang tidak memberatkan umat dengan hal-hal yang tidak dapat dijalankan. Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menjadi dasar bagi prinsip pemberian keringanan dan toleransi dalam Islam serta menolak kesulitan atau kesusahan.

Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

(Surah al-Baqarah 2:286)

Firman Allah SWT:

مَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيَجۡعَلَ عَلَيۡكُم مِّنۡ حَرَجٖ

Maksudnya: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan)

(Surah al-Maidah 5:6)

Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ

Maksudnya: Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

(Surah al-Haj 22:78)

Firman Allah SWT:

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ

Maksudnya: (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah 2:185)

Nas-nas yang dinyatakan ini merupakan landasan bagi pendekatan yang memudahkan (Manhaj al-Taisir) dalam fiqh Islam. Antara kemudahan atau keringanan yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya ialah Solat Jamak dan Qasar.

Solat Qasar

Qasar ialah melakukan solat yang 4 rakaat, iaitu Zuhur, Asar dan Isyak dengan 2 rakaat sahaja. Dalil disyariatkan qasar ialah firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُواْ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ

Maksudnya: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) solat.

(Surah al-Nisa’ 4: 101)

Syarat Sah Qasar adalah seperti berikut:

  1. Solat fardhu berkenaan wajib atas seseorang ketika bermusafir dan dia melakukannya ketika bermusafir itu.
  2. Perjalanannya telah melepasi pagar sempadan qaryah atau kawasan bangunan jika qaryah tersebut tidak berpagar.
  3. Syarat perjalanan yang dibenarkan Qasar adalah seperti berikut:
  4. i. Perjalanan yang melebihi 2 marhalah.
  5. ii. Perjalanan yang tentu tempat tujuannya.
  6. iii.Perjalanan tersebut tidak bertujuan maksiat.
  7. Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar.
  8. Tidak mengikut imam yang bermukim.

 Jika tidak dipenuhi syarat-syarat di atas maka tidak sah solat qasar tersebut.

(Rujuk: al-Fiqh al Manhaji, jld. 1, hlmn. 185-191)

Solat Jamak

“Jamak” bermaksud menghimpunkan dua solat ketika menunaikannya. Solat yang boleh dihimpunkan ialah solat zohor dengan asar, dan kedua solat maghrib dengan isyak. Manakala solat subuh tidak boleh dijamakkan dengan mana-mana solat. Begitu juga tidak sah dijamakkan solat maghrib dan solat asar.

Solat jamak ini dibolehkan hanya apabila terdapat masyaqqah (kepayahan) yang dihadapi oleh seseorang, maka syarak telah memberi keringanan padanya untuk melaksanakan ibadah solat tersebut agar ia tidak rasa terbeban. Hal ini demikian kerana terdapat hadis daripada Ibnu Abbas r.a., beliau berkata:

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ. قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ.

Maksudnya: Telah solat Rasulullah SAW zohor dan asar secara jamak di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan juga bermusafir. Telah berkata Abu Zubair: Aku telah bertanyakan Sa’id: Mengapakah dilakukan sebegitu? Maka jawab Sa’id: Aku telah bertanyakan Ibn Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka jawab Ibn Abbas: Rasulullah SAW mengkehendaki untuk tidak menyusahkan umatnya.

(Riwayat Muslim, 705)

Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah iaitu:

المشقة تجلب التيسير

Maksudnya: “Kesusahan akan membawa kepada kemudahan.”

Jamak Kerana Sakit

Sebahagian ulama bermazhab al-Syafi’i membenarkan jamak ketika sakit. Imam al-Nawawi telah menukilkan pandangan sebahagian ulama bermazhab al-Syafi’i seperti al-Qadhi Husain, Abu Sulaiman al-Khattabi, al-Ruyani, Abu Qasim al-Rafi’i dan lain-lain. Mereka menyatakan bahawa harus untuk menjamakkan solat kerana dalam keadaan ketakutan dan sakit. Solat boleh dilakukan sama ada secara taqdim dan ta’khir. Keluasan ini diberikan adalah kerana ingin memberikan keringanan kepada golongan yang terlibat atau ditimpa sebab-sebab tersebut.

(Rujuk: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, jld. 4, hlmn. 240)

Syeikh Zainuddin Al-Malibariy menyebut di dalam kitabnya:

“يجوز الجمع بالمرض تقديما وتأخيرا على المختار ويراعي الأرفق فإن كان يزداد مرضه كأن كان يحم مثلا وقت الثانية قدمها بشروط جمع التقديم أو وقت الأولى أخرها بنية الجمع في وقت الأولى.”

Maksudnya: “Adalah dibenarkan untuk mengumpulkan ibadah fardu ketika sedang sakit, sama ada menjalankannya secara taqdim atau ta’khir, dengan mempertimbangkan yang mudah. Jika penyakitnya semakin teruk, contohnya jika merasa sakit pada waktu yang kedua maka dia boleh diawalkan solat secara taqdim atau jika sakit pada waktu awal maka boleh dilewatkan dengan waktu yang kedua dengan niat bermula pada waktu pertama.” (Rujuk: Fathul Muin, jld 1, hlmn 214).

Kesimpulan

Berdasarkan nas yang telah dinyatakan di atas, kami berpandangan bahawa golongan yang ditimpa kesakitan sehingga menyukarkannya dalam menjalani ibadah maka dibolehkan untuk melaksanakan solat secara jamak taqdim ataupun ta’khir. Manakala keringanan untuk mengqasarkan solat hanya sah pada golongan yang bermusafir sahaja.

Berkenaan soalan penanya, kami simpulkan di sini bahawa ibu penyoal;

i. Tidak diharuskan untuk solat secara qasar selagimana tidak terlibat dengan perjalanan yang mencukupi syarat Qasar

ii. Beliau diharuskan menjamakkan solat secara jamak taqdim ataupun ta’khir sahaja disebabkan keuzuran yang menimbulkan kesukaran kepadanya untuk melaksanakan solat.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Waallahu’alam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑