“SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Al-Baqarah 2:222)
Daripada Abi Malik al-Harith bin ‘Asim al-Asyari a berkata, baham
Rasulullah bersabda:
لطَّهُورُ شَطْرُ الْإِيْمَانِ. وَالْحَمْدُ لِلهِ تَمْلَكُ الْمِيزَانَ. وَسُبْحَانَ لِلَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَآنِ – أَوْ تَمْلَأُ – مَا بَيْنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ. وَالصَّلَاةُ نُورٌ. وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ. والصَّبْرُ ضِيَاءٌ. وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ . كُلُّ النّاس يَغْدُوْ، فَبَائِعٌ نَفْسَهُ . فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوْبِقُهَا
Maksudnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman, (ucapan) alhamdulillah memberatkan timbangan, (ucapan) subhanallah dan alhamdulillah, kedua-duanya memenuhi ruang di antara langit dengan bumi. Solat itu adalah cahaya, sedekah itu adalah bukti, sabar itu adalah sinaran dan al-Quran itu adalah hujah (untuk membela atau menentang). Setiap manusia bekerja; maka ada yang menjual dirinya dan ada yang membebaskan dirinya dengan bekerja keras untuk keselamatan atau kecelakaannya.”
(Riwayat Muslim no. 223)
Huraian
Hadis ini memuatkan salah satu pokok atau kaedah penting dalam ajaran agama Islam iaitu kebersihan. Yang dimaksudkan dengan kebersihan ialah perbuatan bersuci lahir dan batin.
Imam al-Nawawi menerangkan bahawa Imam al-Ghazali berpendapat bahawa kesucian itu ialah:
- Mengucap dua kalimah syahadah untuk mendapat sebahagian iman.
- Membersihkan hati daripada saki-baki penyakit hati seperti curang, dengki, dendam dan lain-lain untuk mendapatkan sebahagian iman lagi.
Menurut Imam al-Nawawi, membersihkan hati terbahagi kepada dua:
- Membersihkan lahir seperti berwuduk, mandi dan mendirikan solat.
- Membersihkan jiwa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Allah tidak memandang kepada rupa bentuk kamu dan harta kamu, tetapi Dia memandang kepada hati dan amalan kamu.”
(Riwayat Muslim no. 2564)
“Alhamdulillah memberatkan timbangan” bermaksud “ganjaran atau pahala menyebutnya serta memahami maknanya dan beramal dengan maksudnya memenuhi timbangan kebajikan di akhirat kelak.”
“Subhanallah dan alhamdulillah, kedua-duanya memenuhi ruang di antara langit dengan bumi” bermaksud “betapa banyaknya ganjaran yang diberikan kepada orang yang menyebutnya dengan cara yang sebenar.”
Solat itu Cahaya
Yang dimaksudkan dengan “solat itu adalah cahaya” ialah “solat itu mencegah perbuatan maksiat, menghalang perbuatan keji dan mungkar, serta menunjuk ke jalan yang benar, sebagaimana cahaya dijadikan orang sebagai penyuluh dan petunjuk jalan.”
Sebahagian ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan ialah “solat itu kelak akan menjadi petunjuk jalan bagi pelakunya pada hari kiamat.”
Sedangkan sebahagian yang lain berpendapat bahawa “solat seseorang kelak akan menjadi cahaya yang memancar di wajahnya pada hari kiamat, dan ketika di dunia menjadikan wajah pelakunya cemerlang, yang mana hal ini tidak diperoleh orang yang tidak solat.”
Sabar
Sabar ertinya tahan menempuh suatu yang sukar. Sabar yang terpuji ialah sabar atas mengerjakan taat kepada Allah, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya.
Al-Quran
Al-Quran menjadi hujah atau bukti yang kuat untuk menolong diri seseorang pada hari kiamat kelak atau untuk menyusahkan dan menyulitkannya hingga ditimpakan azab ke atasnya pada hari tersebut.
Manusia Menjual Dirinya
Manusia menjual diri dengan dua cara:
- Dengan mengerjakan amal soleh dan Allah akan merdekakan mereka daripada kesengsaraan azab.
- Menjual diri kepada syaitan dan kepada hawa nafsu dengan mengikuti kehendaknya lantas membinasakan dirinya sendiri.
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria
Leave a comment