Daripada Abi Dzar al-Ghifari r.a meriwayatkan daripada Nabi SAW berdasarkan firman daripada Allah SWT.
Maksudnya: “Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram atas kamu, maka janganlah kamu saling berbuat kezaliman. Wahai hamba-Ku, semua daripada kamu berada dalam kesesatan, kecuali yang telah Ku-beri petunjuk, maka mintalah petunjuk kepada-Ku nescaya Ku-beri. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu ialah orang yang lapar, kecuali yang telah Aku beri makan, maka mintalah makan kepada-Ku nescaya Ku-beri. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu ialah orang yang telanjang, kecuali yang telah Ku-beri pakaian, maka mintalah pakaian kepada-Ku nescaya akan Ku-beri. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu selalu berbuat salah siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, maka mintalah ampun kepada-Ku nescaya Ku-beri. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya (kemaksiatan) kamu tidak dapat menimpakan kecelakaan pada-Ku dan tidak juga (ketaatan) kamu dapat memberi manfaat pada-Ku. Wahai hamba-Ku, jika orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terakhir daripadamu, juga umat manusia dan para jin, semuanya bertakwa seperti yang paling takwa antara kamu, maka hal itu tidak menambah keagungan-Ku sedikit pun. Wahai hamba-Ku, jika yang pertama dan terakhir daripada kamu semua, juga umat manusia dan para jin, semuanya berbuat jahat seperti sejahat-jahat orang antara kamu, maka hal itu tidak mengurangi keagungan-Ku sedikit pun. Wahai hamba-Ku, jika orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terakhir antara kamu, juga umat manusia dan para jin, semuanya berada di satu tempat untuk meminta kepada-Ku, dan Aku penuhi permintaan setiap mereka, hal itu tidaklah mengurangi milik-Ku sedikit pun, kecuali seperti sebatang jarum yang terkena air tatkala dicelupkan di lautan. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya semua itu adalah amal perbuatanmu. Aku catat semuanya untukmu kemudian Ku-balasnya, maka barang siapa mendapatkan kebaikan, hendaklah memuji Allah, dan barang siapa mendapat selain itu, janganlah menyalahkan kecuali dirinya sendiri.”
(Riwayat Muslim no. 2577)
Huraian
Hadis ini ialah hadis kudsi. Allah SWT tidak berbuat suatu perbuatan yang bersifat kezaliman kerana sifat itu tiada bagi-Nya. Oleh sebab itu, diharamkan kepada hamba-Nya melakukan kezaliman:
- Terhadap Allah SWT
- Terhadap diri mereka sendiri, yang terbesar ialah syirik (menyekutukan Allah) selain dosa maksiat sama ada besar mahupun kecil.
- Terhadap orang lain.
Kezaliman ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya atau memperlakukan sesuatu yang bukan haknya atau miliknya dengan ketiadaan mendapat keizinan daripada yang berkenaan.
Segala persoalan hidup seorang manusia rohani dan jasmani tidak dapat dipisahkan daripada Allah yang Maha Pencipta.
Ini bukan atas kehendak diri kita sendiri. Oleh sebab itu kita disuruh memohon ke hadrat Allah SWT agar dipermudahkan keperluan hidup.
Barulah kita akan berasa kekerdilan dan kelemahan kita dengan memerlukan perlindungan daripada Allah SWT yang Maha Gagah dan Maha Kuasa.
Segala amal akan dihitung secara saksama dan diberi balasan jika tidak di dunia lagi, sudah tentu di akhirat.
Firman Allah SWT yang maksudnya: Sesiapa berbuat kebaikan daripada orang lelaki atau perempuan pada hal ia beriman, maka Kami akan hidupkan dia dengan penghidupan yang baik.
(Surah al-Nahl 16:97)
Orang yang berbuat jahat di dunia, Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami akan rasakan kepada mereka daripada azab yang dekat sebelum azab yang besar, semoga mereka kembali.“
(Surah al-Sajdah 32:21)
Kalimat Satu
Kalimah “sesungguhnya itu semua adalah amal perbuatanmu” bermaksud “Allah SWT mencatatkan semuanya untukmu, kemudian Dia membalasnya.”
Kalimah Dua
Kalimah “maka barang siapa yang mendapatkan kebaikan, hendaklah bersyukur kepada Allah” bermaksud “janganlah orang beranggapan bahawa ketaatan dan ibadahnya merupakan hasil usahanya sendiri, tetapi hendaklah dia menyedari bahawa hal ini merupakan pertolongan daripada Allah dan sebab itu dia hendaklah bersyukur kepada Allah”
Kalimah Tiga
Kalimah “dan barang siapa mendapati selain daripada itu” digunakan dan tidak digunakan kalimah “mendapati kejahatan (keburukan),” maksudnya “barang siapa yang menemukan sesuatu yang tidak baik, maka hendaklah dia mencela dirinya sendiri.”
Penggunaan kata penegasan dengan “janganlah sekali-kali” merupakan peringatan agar jangan sampai terlintas di dalam hati orang yang mendapati sesuatu yang tidak baik ada keinginan menyalahkan orang lain, tetapi hendaklah dia menyalahkan dirinya sendiri.
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria
Leave a comment