Oleh: Umamah Binti Yusof, Universiti Sains Islam Malaysia
Firman Allah SWT:
وَمِنَ ٱلَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِۦ نَافِلَةًۭ لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًۭا مَّحْمُودًۭا (٧٩)
“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
(Surah Isra’; 17:79)
Apakah Itu Solat Sunat Tahajjud?
Solat sunat tahajjud merupakan solat sunat yang dilakukan setelah bangun daripada tidur pada waktu malam selapas solat isyak sehingga terbit fajar. Solat sunat tahajjud ini amat dituntut dalam islam untuk mengerjakannya dan ia juga afdal didirikan secara bersendirian serta disarankan untuk mendirikannya sebagai amalan tambahan bagi umat islam.
Bilakah Waktu Yang Sesuai Untuk Mengerjakannya?
Solat sunat tahajjud ini sebaik–baiknya dilakukan pada satu pertiga malam atau dua pertiga malam iaitu diantara pukul 3.00 pagi sehingga tibanya waktu subuh.
Daripada Abi Hurairah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
“Apabila berlalu setengah malam atau dua pertiga malam, turunlah Allah Yang Maha Tinggi ke langit dunia seraya berfirman: “Adakah sesiapa yang meminta untuk diberi (Aku perkenankan permintaannya), adakah sesiapa yang berdoa untuk dimakbulkan (Aku makbulkan doanya), adakah sesiapa yang beristighfar untuk diberi ampun kepadanya (Aku ampunkannya)’, sehinggalah terbit fajar.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Niat Solat Sunat Tahajjud
Lafaz niat solat Sunat Tahajjud adalah seperti berikut:
أُصَلِّيَ سُنَّةَ التَّحَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatat-Tahajjudi Rak’ataini Lilaahi Ta’ala
Niat dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku solat tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala
Kaifiat Solat Sunat Tahajjud
- Solat Tahajjud dimulakan dengan takbiratul ihram sambil berniat dalam hati: “Sahaja Aku Solat Tahajjud Dua Rakaat Kerana Allah Taala”
- Kemudian pada rakaat pertama bacalah surah al-Fatihah. Setelah itu, bacalah mana- mana surah-surah lazim seperti Surah al-Kafirun.
- Seterusnya lakukan rukuk, sujud dua kali dan bangun semula untuk rakaat kedua dengan menjaga tuma’ninah.
- Rakaat kedua pula dimulakan dengan takbir intiqalat. Kemudian bacalah surah al-Fatihah dan surah lazim yang seterusnya seperti Surah al–Ikhlas.
- Kemudian lakukan rukuk, sujud dan tahiyyat akhir untuk rakaat kedua. Akhiri Solat Tahajjud dengan memberi salam.
- Setelah selesai solat, sempurnakan solat dengan membaca wirid bersama doa tahajjud.
Berapakah Jumlah Rakaat Solat Sunat Tahajjud?
Solat sunat tahajjud ini boleh dilakukan secara :
- 2 – 12 Rakaat bersama witir
- Selain itu, ia juga boleh didirikan mengikut kemampuan seseorang itu untuk mengerjakannya tetapi sekurang–kurangnya sebanyak 2 rakaat.
Apakah Kelebihan Apabila Mengerjakan Solat Sunat Tahajjud?
Di antara beberapa kelebihan yang diperolehi apabila mengerjakan solat sunat tahajjud ialah:
1. Seseorang itu dapat masuk syurga tanpa hisab
Sabda Rasulullah SAW:
“Seluruh manusia akan dihimpunkan di suatu kawasan pada hari kiamat, lalu kedengaran satu suara yang menyeru: ‘Siapakah (di dunia) yang telah meninggalkan tempat-tempat tidur mereka (untuk qiamullail)?’ Lalu sekumpulan kecil orang yang bangun malam itu masuk syurga tanpa hisab. Selepas itu barulah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dilakukan hisab kepada semua manusia.”
(Hadis Riwayat al-Baihaqi)
2. Dipermudahkan Segala Urusan dalam Kehidupan
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya beribadah pada malam hari lebih khusyuk (mantap) dan bacaan waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya pada siang hari kamu mempunyai urusan yang banyak.”
(Al-Muzammil : 5-7)
Ayat diatas menerangkan jika seseorang itu bangun semata-mata menunaikan ibadah pada waktu malam, maka segala urusannya pada esok hari akan menjadi lebih mudah dan teratur kerana hatinya menjadi lebih terbuka dalam semua perkara.
3. Dikurniakan Rezeki oleh Allah SWT
Ini adalah kerana solat sunat tahajjud ini juga merupakan amalan yang mulia untuk dikerjakan pada waktu malam oleh itu sudah pasti Allah SWT akan melimpahruahkan rezeki apabila mengerjakannya.
Bukan sahaja rezeki dari segi makanan dan minuman akan tetapi kesihatan yang baik, keluarga harmoni dan bahagia, pekerjaan yang baik, sahabat yang pekerti mulia dan sebagainya juga merupakan antara rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hambanya.
4. Mendapat Ketenangan Jiwa
Sebenarnya ibadah malam yang dilakukan adalah zikir dan doa yang mampu menenteramkan jiwa dan perasaan, kerana semakin fokus beribadah semakin tenang akal fikiran. Ketenteraman dan ketenangan jiwa dapat diperoleh melalui pelaksanaan solat tahajjud dan ibadah malam. Apatah lagi ibadah yang dikerjakan dalam suasana malam yang sunyi pasti akan membawa kepada minda dan jiwa yang lapang.
Manakala, dengan melepaskan setiap keluhan pada Allah SWT membuatkan hati lebih teduh dan dapat menyucikan jiwa untuk bermuhasabah.
5. Mudah Diterima Doa oleh Allah SWT
Ini adalah kerana waktu sepertiga malam adalah antara salah satu masa yang sesuai untuk berdoa kerana dapat dimakbulkan oleh Allah SWT.
Daripada Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda :
“Apabila berlalu setengah malam atau dua pertiga malam, turunlah Allah Yang Maha Tinggi ke langit dunia seraya berfirman: ‘Adakah sesiapa yang meminta untuk diberi (Aku perkenankan permintaannya), adakah sesiapa yang berdoa untuk dimakbulkan (Aku makbulkan doanya), adakah sesiapa yang beristighfar untuk diberi ampun kepadanya (Aku ampunkannya)’, sehinggalah terbit fajar.”
(Hadis Riwayat Muslim)
6. Mudah Mendapat Pertolongan daripada Allah SWT
Barangsiapa sentiasa melakukan solat tahajjud maka dia akan mudah untuk mendapat pertolongan daripada Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya pada malam terdapat satu waktu tiadalah hamba yang muslim membetulinya dengan berdoa meminta kebaikan kepada Allah kecuali dikurniakan kepadanya, yang demikian itu setiap malam.” (Hadis Riwayat Ahmad)
7. Mendapat Ganjaran Istimewa di Akhirat Kelak
Allah SWT mengurniakan kelebihan yang cukup hebat bagi hamba-Nya yang mendirikan solat malam secara istiqomah dan ikhlas kerana-Nya. Antara ganjaran yang akan di perolehi oleh golongan yang mengerjakan solat malam adalah : Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri, dipermudahkan hisab, dapat melalui titian sirat al-mustaqim seperti kilat, dan akan menerima buku catatan dari tangan kanan.
8. Menyihatkan Tubuh Badan
Salman al-Farisi menceritakan, Rasulullah SAW pernah bersabda;
“Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada TuhanMu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari amalan dosa dan dapat menghalangi penyakit.”
(Hadis Riwayat Tirmizi dan Ahmad)
Solat sunat tahajjud juga dapat dapat menyihatkan tubuh badan sama ada mental mahupun fizikal. Ini adalah kerana ia dikerjakan pada tengah malam dimana ia merupakan masa yang sesuai untuk menambah dan membaikpulih tubuh manusia. Serta ia juga merupakan senaman ringan yang mengandungi kebaikan tersendiri iaitu dengan menjauhkan diri daripada penyakit.
Bacaan Doa Selepas Selesai Solat
اَللّٰهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ اَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ، وَلَكَ الْحَمْدُ اَنْتَ مَالِكُ السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ، وَلَكَ الْحَمْدُ اَنْتَ نُوْرُ السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ، وَلَكَ الْحَمْدُ اَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ وَلِقَاءُكَ حَقٌّ وَقَوْلُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ وَالنَّبِيُّوْنَ حَقٌّ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ
اَللّٰهُمَّ لَكَ اَسْلَمْتُ وَبِكَ اَمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَاِلَيْكَ اَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ وَاِلَيْكَ حَاكَمْتُ فَاغْفِرْلِيْ مَاقَدَّمْتُ وَمَا اَخَّرْتُ وَمَا اَسْرَرْتُ وَمَا اَعْلَنْتُ وَمَا اَنْتَ اَعْلَمُ بِهِ مِنِّيْ، اَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَاَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لاَاِلَهَ اِلاَّ اَنْتَ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ
Maksudnya: “Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah penegak langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Bagi-Mulah segala puji. Engkau raja penguasa langit dan bumi. Bagi-Mulah segala puji, pemancar cahaya langit dan bumi. Bagi-Mulah segala puji, Engkaulah yang hak, dan janjiMu adalah benar, dan perjumpaanMu itu adalah hak, dan firman-Mu adalah benar, dan surga adalah hak, dan neraka adalah hak, dan nabi-nabi itu hak benar, dan Nabi Muhammad SAW adalah benar, dan saat hari kiamat itu benar.”
“Ya Allah, kepada-Mulah kami berserah diri, kepada Engkau jugalah kami kembali, dan kepada-Mulah kami rindu, dan kepada Engkaulah kami berhukum. Ampunilah kami atas kesalahan yang sudah kami lakukan dan yang sebelumnya, baik yang kami sembunyikan maupun yang kami nyatakan. Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan engkau Allah Rabbil ‘alamin. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah.”
Kesimpulan
Melalui penerangan ini sudah jelas bahawa Allah SWT sangat mencintai akan hamba-Nya yang sentiasa beristiqomah serta ikhlas untuk bangun mendirikan solat tahajjud. Apabila mendirikannya Allah SWT akan menganugerahkan ganjaran yang begitu besar kepada hambanya. Maka beruntunglah bagi sesiapa yang mampu bangu, ambil wudhuk lalu melakukan ibadah pada waktu malam kepadaNya.
Oleh itu, semoga kita ini adalah di antara yang terpilih dalam menjadikan tahajjud sebagai cara hidup yang baik dalam mencari keredhaan serta ketaqwaan Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin.
Leave a comment