Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Puasa Bukan Sekadar Menahan Lapar Dan Dahaga

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ ٱلْأَبْيَضُ مِنَ ٱلْخَيْطِ ٱلْأَسْوَدِ مِنَ ٱلْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا۟ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيْلِ ۚ وَلَا تُبَـٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَـٰكِفُونَ فِى ٱلْمَسَـٰجِدِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ(١٨٧) 

 يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian, 

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua. 

Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk: “Puasa Bukan Sekadar Menahan Lapar Dan Dahaga.” 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT, 

Ibadah puasa yang sedang kita laksanakan sekarang merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima, setiap orang Islam wajib menunaikan puasa, kecuali jika ada uzur syarie. Disamping kita berpuasa, kita juga perlu mengetahui hukum hakam berkaitan puasa, seperti berniat pada malam hari dan menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari di bulan Ramadhan, sepertimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang dibaca di awal khutbah ini yang bermaksud : 

“Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib) dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang ber’iktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa”. 

(al-Baqarah 2:187)

Kita perlu mengetahui perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan (iaitu mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur) dengan sengaja. Pada waktu siang hari di bulan Ramadhan, dilarang melakukan persetubuhan dengan sengaja dan wajib ke atas suami membayar kifarat serta qada’. Tiada kifarat pada isteri kecuali qada’ sahaja. 

Hikmah larangan perkara di atas adalah untuk menguji keimanan kita. Sejauh mana kejujuran kita terhadap ibadah puasa yang kita laksanakan dan keyakinan kita bahawa Allah SWT melihat apa yang kita kerjakan. 

Contohnya jika orang yang tidak berpuasa makan secara sembunyi, kemudian mendakwa dirinya berpuasa, tiada siapalah yang tahu melainkan Allah SWT sahaja. Jelas kepada kita bahawa puasa ini sebagai madrasah, mentarbiah dan melatih diri kita supaya bersifat amanah, jujur, berintegriti dan rasa tanggungjawab memikul tugas sebagai hamba Allah SWT. Semoga sifat ini menjadi amalan yang berterusan di dalam kehidupan kita, bukan hanya di bulan Ramadan sahaja. 

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah SWT

Bagi wanita yang sedang berhadas besar seperti haid atau nifas, mereka diharamkan berpuasa dan hendaklah diganti pada bulan-bulan yang lain. Islam juga memberi kelonggaran kepada beberapa golongan untuk berbuka atau meninggalkan puasa. Akan tetapi wajib diganti pada hari yang lain seperti orang yang sakit dan bertambah mudaratnya jika berpuasa atau mereka yang bermusafir sebelum naik fajar. Jarak perjalanannya melebihi dua marhalah, ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al- Baqarah ayat 184: 

أَيَّامًۭا مَّعْدُودَٰتٍۢ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ فَعِدَّةٌۭ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa diantara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”

(al-Baqarah 2:184)

Manakala bagi mereka yang tua dan orang sakit yang tiada harapan sembuh dan kedua-duanya tidak mampu berpuasa, dibenarkan berbuka dan dikenakan fidyah sehari secupak beras dan tidak wajib qada’. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 184: 

وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدْيَةٌۭ طَعَامُ مِسْكِينٍۢ ۖ

“Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

(al-Baqarah 2:184) 

Hadirin Jumaat yang dihormati sekalian

Hikmah berpuasa antara lainnya juga adalah dapat mengelakkan kita daripada bercakap perkara yang kotor, keji seperti mengumpat, mengeji, menghina, mencaci, hasad dengki, fitnah dan sebagainya kepada orang lain dan jangan pula berbuat bodoh yakni melakukan perbuatan orangorang jahil seperti menjerit, memekik-mekik, melolong dan sebagainya. 

Apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau bertengkar atau orang menghinanya maka katakanlah: ‘aku sedang berpuasa’. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Puasa itu perisai atau benteng, maka (orang yang melaksanakannya) janganlah berbuat kotor dan jangan pula berbuat bodoh. Apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya, maka katakanlah aku sedang berpuasa”.

(Riwayat al-Bukhari) 

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT sekalian

Puasa dapat melindungi tuannya dari melakukan dosa semasa di dunia, maka puasa juga akan melindungi tuannya daripada azab neraka di akhirat kelak, sepertimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Aishah Radhiallahuanha yang bermaksud: 

“Puasa itu adalah perisai dari api neraka”

(Riwayat Imam Ahmad) 

Ibadah puasa yang gagal mencegah seseorang yang berpuasa daripada melakukan perkara maksiat, mengikut hawa nafsu, berkunjung ke tempat maksiat, mengumpat, menfitnah, mengeji, menipu, berjudi dan sebagainya tidak dapat melindunginya dari seksaan azab Allah SWT di akhirat kelak. Maka ia tidak mendapat apa-apa pahala dari puasanya kecuali sekadar lapar dan dahaga sahaja. Ibadat malam yang didirikannya seperti solat sunat tarawih, hanya sekadar sahar (berjaga malam) sahaja. Ini berdasarkan hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”

(Riwayat Ibnu Majah) 

Hadirin yang dirahmati Allah SWT

Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Malah wajib bagi kita menjauhi segala bentuk kemaksiatan yang zahir dan yang batin bagi melahirkan insan yang berakhlak dan berjiwa mulia. Maksiat zahir adalah yang dilakukan dengan anggota yang tujuh iaitu mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki. Manakala maksiat yang batin ialah segala sifat kecelaan yang terdetik di dalam hati, antaranya hasad, marah, cintakan harta, cintakan kemegahan, cintakan dunia, takabbur, ujub, sum’ah, riak dan lain-lain lagi dari sifat terkeji. 

Semua anggota tersebut akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak. Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 36:

إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا(٣٦)

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua itu pasti akan dipertanggungjawabkan.” (al-Isra’ 17:36)

Marilah kita tunaikan ibadat puasa dan menghidupkan malamnya dengan penuh keimanan kepada Allah SWT, mengharapkan pahala dan mendapat keampunan dari-Nya. 

Muslimin yang dirahmati Allah SWT

Bagi mengakhiri khutbah pada hari ini marilah sama-sama kita mengambil pengajaran seperti berikut: 

1. Umat Islam hendaklah melaksanakan ibadah puasa dengan berpandukan syariat kerana ia merupakan satu kefardhuan. 

2. Setiap muslim hendaklah menjauhi perkara yang dilarang termasuk maksiat zahir dan batin

3. Puasa adalah perisai yang boleh menyelamatkan orang yang berpuasa daripada azab api neraka di akhirat kelak.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣)

“Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(al-Baqarah 2:183)

Tarikh Dibaca: 4 Ramadan 1445H/15 Mac 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑