Teks Khutbah Jumaat (WP): Suburkan Tarbiah Ramadan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita memupuk keimanan dan ketakwaan yang sebenar-benarnya dalam kehidupan dengan melaksanakan segala perintah Ilahi, serta menjauhi semua larangan-Nya yang dimurkai. Mudah-mudahan, kita menjadi hamba-Nya yang dikasihi lagi diredhai, lalu dimasukkan ke dalam syurga penuh kenikmatan lagi kekal abadi. 

Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang lalai ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Semoga Allah SWT menerima amal ibadah kita.

Mimbar mengingatkan para jemaah sekalian, marilah kita istiqamah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau dan bersama-samalah menyemarakkan kempen “subuh macam Jumaat” yang diadakan di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan.

Semoga kita tergolong bersama hamba-hamba Allah SWT yang tekun mengimarahkan rumah Allah serta mendapat limpahan rahmat dan berkat daripada-Nya.

Khutbah yang akan disampaikan pada hari dalam bulan penuh keberkatan ini bertajuk “Suburkan Tarbiah Ramadan.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita telah memasuki bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh para hamba Allah yang beriman. Di serata dunia, seluruh umat Islam pasti menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini. Manakan tidak, setiap saat di dalam bulan Ramadan ini mengalir pahala dan berkat tanpa henti kurniaan Allah SWT dan pintu keampunan-Nya dibuka seluas-luasnya. Seluruh perhatian mereka terarah kepada memperbanyakkan ibadah demi meraih takwa. 

Itulah kehendak Allah SWT apabila difardukan puasa sejak zaman berzaman sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

(al-Baqarah 2:183)

Takwa bukan sahaja ketika melaksanakan ibadah, bahkan takwa turut meresap ke segenap sudut kehidupan manusia selaku khalifah Allah SWT yang mentadbir bumi ini. Melalui lidah Rasul-Nya, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran besar bagi mereka yang mencari dan memburu takwa khususnya dalam bulan Ramadan ini. Beruntunglah bagi mereka yang mengerjakan amal ibadah di sepanjang bulan ini dengan penuh keikhlasan, keimanan dan mengharapkan rahmat daripada Allah SWT.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullah daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu; dan sesiapa yang mendirikan malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Biarpun ramai umat Islam yang berpuasa, namun kualiti ibadah puasa ini berbeza-beza di antara satu sama lain. Semuanya bergantung kepada keikhlasan semasa kita melaksanakan ibadah yang menepati al-Quran dan as-Sunnah. Ibadah puasa bukan setakat menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja, bahkan sepatutnya kita menjaga diri daripada perkara yang akan mengurangkan atau melenyapkan sama sekali pahala, seterusnya merugikan peluang keemasan Ramadan yang amat berharga.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang wujudnya golongan manusia yang berpuasa, namun tidak mendapat sebarang ganjaran daripada ibadahnya melainkan merasai lapar dan dahaga sahaja tanpa memperoleh ganjaran pahala. Siapakah mereka?

Pertama: Mereka adalah golongan yang tidak menjaga lidahnya. Mereka gemar bercakap perkara yang sia-sia, berbohong serta keji. Hayatilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”.

Kedua: Mereka yang suka berbalah, bertengkar dan bermusuh. Perbalahan biasanya akan menimbulkan kebencian, saling merendahkan bahkan mencetuskan permusuhan. Sebenarnya puasa itu sendiri mengajar kita erti kesabaran dan kematangan. Justeru, sekiranya kita dipancing untuk berbalah, bersabarlah dan ucapkan “sesungguhnya aku berpuasa”. Inilah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abi Daud, daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Puasa itu adalah perisai. Oleh itu, janganlah berkata keji dan jangan juga bertelingkah laku (seperti orang) jahil. Sekiranya ada seseorang memeranginya atau mencelanya, maka katakanlah: Sesungguhnya aku sedang berpuasa – sebanyak dua kali.”

Ketiga: Tidak menahan diri dan anggota tubuh badan daripada melakukan maksiat. Membiarkan sahaja mata melihat perkara yang haram, telinga mendengar umpatan dan cacian, tangan melakukan perbuatan dosa dan kemaksiatan, dan kaki menuju ke arah kejahatan dan kemungkaran. Alangkah ruginya jika kita masih lagi meneruskan tabiat tidak beretika dan berakhlak dalam pergaulan seharian di bulan Ramadan ini lebih-lebih lagi ketika menggunakan media sosial. Ingatlah bahawa kita sedang berpuasa dan janganlah mensia-siakannya dengan perbuatan menulis, membuat sebarang komentar yang berbaur penghinaan atau memuatnaik perkara-perkara yang tidak berfaedah dan seumpamanya.

Keempat: Golongan yang suka membazir. Bagaikan tidak percaya, Ramadan sebagai sebuah bulan mulia sering dicemari dengan tabiat membazir yang dinisbahkan sebagai perbuatan saudara syaitan. Ironinya, tatkala syaitan dirantai, manusia yang membazir pula mengambil tempatnya! Tidak salah mencari kelainan juadah untuk berbuka puasa, namun kawallah diri dengan membeli hanya yang diperlukan untuk berbuka puasa, bukan yang dimahukan nafsu hingga terbuang akhirnya.

Justeru, janganlah mensia-siakan puasa kita dengan hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Marilah kita menjauhi pelbagai perkara yang dapat mengurangi kesempurnaan pahala puasa kita.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Puasa mengajar kita erti ikhlas beribadah. Puasa juga menyedarkan kita bahawa kita sentiasa dalam pemerhatian Allah SWT. Puasa membugarkan kesabaran di jiwa. Semoga kita dapat mengharungi Ramadan kali ini dengan bersungguh-sungguh sehingga ke akhirnya demi merebut segala kelebihan agung yang terhidang pada setiap saat di dalam bulan ini.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, khatib ingin menekankan beberapa kesimpulan sebagai pedoman buat kita semua:

Pertama: Rebutlah ganjaran besar yang disediakan sepanjang bulan Ramadan ini dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam melaksanakan ibadah serta bertakwalah dalam apa jua yang dilakukan dalam kehidupan.

Kedua: Usah mensia-siakan Ramadan dengan perbuatan yang mengurangkan pahala kita seperti berkata keji, berbalah sesama manusia, tidak menahan anggota lain daripada melakukan maksiat serta pembaziran khususnya ketika waktu berbuka puasa.

Ketiga: Sedarlah umur kita semakin hari, semakin singkat. Jalanilah Ramadan kali ini seolah-olah ini merupakan Ramadan yang terakhir dalam hidup kita dan bersungguh-sungguhlah agar kita dapat meraih ganjaran syurga serta keampunan-Nya.

Mengakhiri khutbah, hayati firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut, ayat 58 hingga 59:

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَنُبَوِّئَنَّهُم مِّنَ ٱلْجَنَّةِ غُرَفًۭا تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ نِعْمَ أَجْرُ ٱلْعَـٰمِلِينَ (٥٨)

ٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ(٥٩)

Bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh”.

(al-Ankabut 29:58-59)

Tarikh Dibaca: 4 Ramadan 1445H/15 Mac 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑