Refleksi: Adakah Kita Sentiasa Sabar Dengan Ujian?

Hidup kita di dunia ini sentiasa ditimpa ujian besar ataupun kecil kerana sifat dunia ini adalah kediaman yang penuh dengan ujian, kesusahan, dan penderitaan. Allah SWT, Tuhan Yang Maha Tinggi, dengan tegasnya di dalam Al-Quran berfirman,

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

(Al-Baqarah 2: 155-156)

Kesabaran, seperti yang diajarkan kepada kita, adalah salah satu sifat yang paling terpuji. Cukuplah bagi seorang Islam itu memahami keutamaan dan besarnya pahala kesabaran. Allah SWT berfirman dalam hal ini,

..Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.

(Az-Zumar 39:10)

Kita harus faham bahawa kesabaran adalah nasihat bagi mereka yang dikecualikan daripada kehancuran. Allah SWT berfirman,

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Al-‘Asr 103: 1-3)

Imam ‘Ali berkata, “Janganlah kamu takut kecuali dosa kamu. Janganlah kamu rindu selain daripada Tuhanmu. Janganlah seorang yang kurang ilmu di antara kamu malu untuk bertanya sehingga dia belajar. Jangan biarkan orang yang ditanya sesuatu yang pengetahuannya kurang tentang hal itu menahan diri daripada berkata, ‘Saya tidak tahu.‘”

Apakah yang akhirnya merosakkan kita? Dosa! Syaitan tidak akan merosakkan kita, begitu juga manusia, mahupun perubahan zaman. Realitinya, dosalah yang menjadi punca kehancuran kita. Syaitan, manusia, dunia dan perubahan zaman hanyalah penyeru yang kadang-kadang mengajak kita melakukan dosa. Kita perlu mengehadkan pengaruh-pengaruh negatif terhadap kita ini dengan sentiasa mendekatkan diri dan mengingati Allah SWT, dan meletakkan ‘godaan-godaan dunia’ ini di tempat yang sepatutnya.

Di akhirnya, hanya Allah SWT yang akan menyelamatkan kita! Tidak ada kekuatan atau kuasa, tidak ada sumber keselamatan atau kutukan, tidak ada sumber bahaya atau manfaat kecuali Allah SWT. Oleh itu, kita harus berhenti lari daripada-Nya dan kita harus mula berlari ke arah-Nya. Kita digesa di dalam al-Quran di mana Allah SWT berfirman,

“.. Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.”

(Az-Zariyat 51:50)

Bagaimana caranya kita untuk menuntut ilmu agama? Kita memperolehnya dengan bertanya kepada orang lain. Mujahid, yang merupakan salah seorang ahli tafsir Al-Quran yang hebat dari generasi kedua umat Islam, berkata, “Orang yang pemalu dan orang yang sombong tidak akan mendapat ilmu.” Kenapa? Kerana yang pemalu dihalang oleh rasa malunya untuk bertanya, dan yang sombong menganggap dia sudah tahu segala-galanya. Dia biasanya digambarkan sebagai orang yang ditimpa oleh kejahilan majmuk. Dia tidak tahu dan dia terlalu jahil untuk menyedari bahawa dia tidak tahu.

Salah satu sikap terpuji generasi awal umat Islam ialah mereka tidak terlalu malu atau sombong untuk menuntut ilmu tentang isu-isu yang mereka jahil. Jika mereka tidak menemui cara untuk menangani kejahilan mereka, mereka akan menjawab pertanyaan dengan hanya berkata, “Saya tidak tahu.” Imam al-Mawardi, salah seorang ulama besar umat Islam, menceritakan sebuah kisah di mana dia terpaksa mengakui bahawa dia tahu jawapan kepada beberapa siri soalan yang dikemukakan kepadanya oleh dua orang Arab dari padang pasir. Dia menceritakan bahawa Ibn ‘Abbas berkata, “Sekiranya seorang ulama berhenti berkata, ‘Saya tidak tahu’, dia telah menemui sakit yang membawa maut.” Seorang ulama menyebut, “Sesiapa yang berhenti berkata, ‘Saya tidak tahu,’ dia telah rosak.”

Kesediaan mereka yang mempunyai ilmu yang benar untuk mengakui kejahilan mereka timbul daripada keinginan mereka untuk tidak bercakap tentang isu-isu yang berkaitan dengan agama Allah tanpa memiliki pengetahuan yang pasti. Mereka tahu bahawa bercakap tanpa ilmu adalah dosa besar. Telah diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda,

Sesiapa yang diberi jawapan yang tidak berasas untuk sesuatu soalan, dosanya adalah atas orang yang menjawabnya.

(HR Imam Abu Dawud Sulayman bin al-Ash’ath al-Sajistani, no 3656)

Riwayat-riwayat ini dan seumpamanya menggambarkan kerendahan hati, elemen penting bagi seorang ulama yang tulen. Ilmu adalah kurniaan Allah SWT yang diberikan-Nya kepada orang-orang yang khusyuk, bertaqwa, dan hatinya terlepas daripada perangkap dunia ini. Seseorang mungkin berkata bahawa dia mengenali seorang ulama yang sombong. Jika dia mengenali orang seperti itu, dia harus memahami bahawa dalam kes ulama itu, ilmu bukanlah anugerah kepadanya. Sebaliknya, bala daripada Allah SWT akan membawa orang itu kepada kebinasaannya.

Sumber: Treaties for the Seekers of Guidance, Al-Muhasibi’s Risala Al-Mustarshidin

Terjemahan: Mymuslimin.com

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑